SYARIKAT milik penuh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), YaPEIM Gold Sdn Bhd mencipta satu lagi sejarah dengan memperkenalkan wafer (kepingan) emas 1 gram, 5 gram dan dinar emas (4.25 gram) melalui kolaborasi hebat bersama penyanyi tersohor negara, Dato Seri Siti Nurhaliza sempena Jubli Siti 25 tahun dalam industri hiburan.

Sehubungan itu, YaPEIM Gold menyasarkan jualan 30,000 keping bagi varian emas 'bar' 1 gram, manakala 3,000 keping bagi edisi 1 dinar dan 3,000 keping bagi edisi 5 gram secara prapesanan (pre-order).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Siti Nurhaliza


"Bagi siri 1 gram yang mendapat  sambutan hangat, ia dijual pada harga RM360, manakala koleksi 1 dinar bernilai RM1,350 sementara 5 gram boleh diperolehi melalui tempahan awal pada harga mampu mencecah RM1,500," ujar Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hassan (gambar atas) pada majlis pelancaran wafer emas edisi terhad eksklusif Jubli Perak Dato Seri Siti Nurhaliza bersama YaPEIM Gold yang berlangsung di Muzium Kesenian Islam Malaysia pada petang 7 April 2021.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Siti Nurhaliza diringi bersama suami Dato Seri Mohamad Khalid Jiwa serta Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid (gambar bawah, tengah).


Foto kredit: Siti Dimiati.


Menurut Parihah, pengeluaran edisi terhad berkenaan merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan masyarakat terutama peminat Dato Sri Siti Nurhaliza sendiri menjadikan wafer emas berkenaan sebagai koleksi peribadi, sekali gus mendidik masyarakat untuk menyimpan emas.

Di samping itu juga, tambah beliau, dengan jualan Wafer Emas 999 ini, ia secara tidak langsung disumbangkan ke Tabung Amanah YaPEIM untuk meningkatkan aktiviti pembangunan sosioekonomi dan amal jariah oleh YaPEIM.

"Dalam masa sama inisiatif ini juga mempunyai matlamat melahirkan usahawan emas serta memberi kefahaman dan galakan kepada mereka khususnya golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang secara tidak langsung membuka ruang bagi mendapatkan pendapatan tambahan semudah 'share & earn' sahaja," tambah Parihah.

Sementara itu, Siti Nurhaliza atau lebih popular dikenali dengan gelaran Tok Ti menyambut baik kolaborasi tersebut sambil berharap ia akan menjadi satu simpanan pelaburan yang boleh digunakan pada waktu susah.



"Ramai dalam kalangan peminat saya khususnya SItizoners dah tak sabar untuk memiliki wafer emas ini dan memandangkan ia adalah terhad sempena meraikan jubli perak Siti yang ke-25, lebih baik membuat tempahan segera," ujar Siti yang nampak sarat mengandung, menantikan kelahiran anak keduanya tidak berapa lama lagi.Menurutnya, ini merupakan aktiviti terakhirnya sebelum berehat panjang selepas melahirkan cahaya mata keduanya pada bulan Ramadan yang hampir tiba kelak.

Untuk rekod, sudah lebih dua dekad Dato Sri Siti Nurhaliza Tarudin mewarnai industri hiburan tanah air malah artis kesayangan ramai selama 25 tahun ini menjadi contoh terhebat buat anak seni yang mempunyai keperibadian cukup membanggakan.



Gambar atas: Varian yang menjadi pilihan ramai, 1 gram dan bawah 1 dinar.


Pelantun lagu 'Aku Cinta Padamu' ini akui kolaborasi seumpama ini mampu membuka mata masyarakat bahawa usaha sebegini mampu dijadikan sebagai satu program Pembentuan Kapasiti Komuniti iaitu kerangka kerjasama dan pembangunan yang memenuhi keperluan sosialekonomi ummah.

Pengumpul atau peminat wafer emasi edisi terhad Jubli Perak Tok Ti ini boleh mendapatkannya melalui platform digital YaPEIM (DiYa), aplikasi AVANA, YaPEIMall, outlet YaPEIM Gold di Nu Sentral Kuala Lumpur, YaPEIM Gold Akses di Bandar Tun Razak dan di kesemua 212 cawangan Ar Rahnu YaPEIM seluruh Malaysia."Ini merupakan satu-satunya memorabilia khas yang dicipta khususnya buat peminat-peminat saya," tambah Siti sambil berharap kerjasama yang terjalin antaranya dan YaPEIM dapat memberi nilai tambah kepada rakyat Malaysia ke arah konsep penyimpanan emas yang telus, mudah dan meningkatkan ekonomi ummah khususnya. - KitaReporters

2
0
0
0
0

Copy Link: