Kita sering dengar kata-kata 'belia harapan bangsa' dan 'belia pewaris kepimpinan negara' di ucapan-ucapan atau mana sahaja medium yang membicarakan tentang golongan tersebut.

Ia menggambarkan betapa golongan belia diiktiraf dan bakal mewarisi tanggungjawab besar dalam masyarakat kita.

Namun begitu, sejauh mana golongan belia di negara ini benar-benar diberi ruang dan peluang untuk mengisi sudut-sudut kehidupan masyarakat sebenar?


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan belia

Hari Belia Negara disambut pada 15 Mei setiap tahun.


Statistik menunjukkan, jumlah belia menganggur pada Februari 2021 telah meningkat sebanyak 52,400 orang kepada 347,600 orang berbanding yang direkodkan pada bulan sebelumnya, iaitu seramai 295,300.

Sebaliknya kadar pengangguran belia yang berumur 15 hingga 30 tahun masih kekal 9.2%.

Menurut kenyataan Statistik Tenaga Buruh Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia itu lagi, jumlah penganggur aktif yang ditakrifkan sebagai orang yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, berkurangan 9,800 orang kepada 647,400 orang.

Mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan menyumbang 50.6% daripada jumlah penggangur aktif. Sementara itu, sebanyak 11.3% penganggur aktif berada dalam pengangguran jangka panjang iaitu bagi tempoh lebih dari setahun.



Berdasarkan statistik sebeginilah pihak Kerajaan Malaysia berusaha untuk mencari solusi terbaik agar angka-angka pengangguran itu dapat diturunkan dan akhirnya mampu membentuk sebuah kehidupan para belia yang lebih bersifat harmoni.

Dalam isu ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merupakan pihak yang bertanggungjawab memastikan segala dasar kerajaan mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia khususnya.

Justeru, antara salah satu usaha yang KBS jalankan adalah melancarkan Program Skim Perantisan Nasional (SPN).



SPN merupakan satu program di bawah inisiatif Kolaborasi Rentas Kementerian yang dilaksanakan oleh KBS khusus untuk melonjakkan kebolehpasaran dan menyediakan peluang latihan serta pekerjaan untuk belia pasca-COVID-19.

Ia bertujuan: 

  • memberi peluang kepada perantis untuk mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran mengikut bidang pengajian ke dalam dunia pekerjaan sebenar, 
  • meningkatkan tahap kebolehpasaran perantis melalui latihan soft-skills dan on the job training, 
  • menyediakan sistem sokongan kepada belia untuk memudahkan mendapat pekerjaan dan 
  • membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.

Pada 4 Mei 2020, KBS telah melancarkan 'Batch Kedua' Program SPN ini dengan disempurnakan sendiri oleh menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Ia melibatkan sebanyak 155 buah syarikat terpilih seluruh negara.


Kredit video: Facebook Reezal Merican Naina Merican


Sebanyak RM250 juta telah diperuntukan di dalam Belanjawan 2021 bagi pelaksanaan SPN yang menyediakan peluang pengalaman pekerjaan kepada para belia.

Menurut Reezal Merican, untuk 'Batch Kedua' ini, sebanyak 24 buah syarikat telah memberi komitmen untuk menawarkan 4,623 tawaran pengalaman pekerjaan kepada perantis.

"Alhamdulillah seramai 524 orang perantis di dalam batch (kumpulan) ini telah pun menerima surat tawaran dan ditempatkan di pelbagai syarikat," katanya. 

Bagi mereka yang cukup syarat dan berminat untuk mengikuti SPN, bolehlah layari http://perantisan.kbs.gov.my/kriteria.php sekarang.

Semoga SPN dapat menjadi salah satu platform terbaik untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang sedang dihadapi negara kita ini. - Kitareporters


0
0
0
0
0

Copy Link: