Mahu keluar dari zon selesa! Siti Saleha jadi juri! Program Muzikal Lawak Superstar musim ke-3!
Published byMASIH mahu mengekalkan gelaran utamanya sebagai pelakon, Siti Saleha Mohd Baharum. 32, bagaimana pun akui mahu terus mencuba mengembangkan bakat dalam kerjaya seni lainnya untuk bergelar artis versatil.
Sehubungan itu, terbaharu, adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam Baharum ini sanggup menerima tawaran menjadi antara panel juri bagi program realiti, 'Muzikal Lawak Superstar' (MLS) musim ke-3 yang bakal berlangsung selama sepuluh (10) minggu dan bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra Bukit Jalil mulai 22 Julai 2022, setiap Jumaat, jam 9.00 malam, ditayangkan eksklusif di Astro Warna (saluran 107).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelawak
“Mula-mula rasa ragu-ragu juga boleh ke mengadili program lawak ini namun setelah berfikir panjang untuk menjadi seorang artis yang versatil apa salahnya mencuba sesuatu yang di luar zon keselesaan saya,” ujar Siti Saleha ketika ditemui pada majlis pelancaran Muzikal Lawak Superstar bertempat di Kompleks Kraf pada Rabu, 14 Julai 2022.
Turut hadir Pengurus Saluran Astro Warna, Idlan Zahari serta 12 kumpulan yang bakal bersaing terdiri daripada kombinasi pelawak, selebriti serta KOLs.
Bersama mereka tetapi tampil secara maya tidak lain daripada figura yang sinonim dengan program-program Astro, Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom.
Siti Saleha bersama Idlan Zahari dan Elly Mazlein yang turut hadir secara maya.
Berkongsi lanjut, Siti Saleha memberitahu beliau akan menduduki kerusi juri yang masih diketuai Dato Awie serta didampingi personaliti serta hos Singapura popular, Najip Ali.
“Saya mengakui mudah terhibur namun tentulah ada mesej yang bagus pada setiap jenaka yang dipersembahkan. Kriteria-kriteria lain saya serahkan kepada Dato Awie dan rakan-rakan untuk menilai mana yang terbaik,” ujar Siti Saleha atau lebih mesra disapa Sally.
Sambil berseloroh Sally memberitahu, kemungkinan pada minggu pertama dan kedua bolehlah beliau memberikan empat atau lima bintang tetapi pada minggu-minggu seterusnya jika ada yang tak mencuit perasaannya tidak mustahil diberikan satu bintang sahaja,
“Segalanya bergantung kepada momentum ketika siaran berlangsung,” jelas Sally yang kelihatan ceria walau pun baharu sah becerai talak satu dengan Ahmad Lutfi Azhar pada 17 Januari 2022 lalu.
Pasangan ini bernikah pada 28 Julai 2017 namun atas sebab-sebab yang sulit, Siti Saleha menfailkan perceraian empat tahun kemudian pada Oktober 2021.
Selama berkongsi bahtera mahligai bahagia mereka tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.
Dalam pada itu, Sally memberitahu, hatinya tidak tertutup sekiranya masih ada jodoh yang lebih baik untuk dirinya namun mahu menumpukan pada kerjaya seni dan melibatkan diri dalam hal-hal yang di luar dari zon selesanya terlebih dahulu.
“Mana tahu setelah berpeluang menjadi pengacara saya terjun pula ke dalam bidang nyayian dan jadi penyanyi,” ujarnya ringkas dalam nada yang memberikan tanda tanya apakah benar Siti Saleha bakal bergelar penyanyi seperti abangnya selepas ini, memandangkan tiada lanjutan bicara mengenai subjek terbabit dipanjangkan.
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Warna, Idlan Zahari mengumumkan juara Muzikal Lawak Superstar akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM150,000, naib juara pula akan meraih RM75,000, tempat ketiga dan tempat keempat masing-masing akan menerima RM50,000 dan RM25,000.
12 kumpulan yang akan bersaing terdiri daripada Kumpulan Bahroy, Kumpulan OOD, Kunpulan Arteh, Kumpulan Benjo, Kumpulan Sobat, Kumpulan Wisel, Kumpulan Abioso, Kumpulan Ngam, Kumpulan Ubi, Kumpulan Joki, Kumpulan Selit, dan Kumpulan Cili.
“Keunikan utama yang menjadi paparan untuk musim ketiga Muzikal Lawak Superstar adalah kepelbagaian dalam pemilihan peserta-peserta. Ramai muka baharu yang bukan berasal daripada industri hiburan digandingkan dengan muka-muka otai dan senior baik dari segi dunia lakonan mahupun dunia komedi,” jelas Idlan.
Kumpulan Arteh yang terdiri dari anak-anak Allahyarham Mr. Os, Has dan Dewa menampilkan penyanyi Qody Rani (kanan).
Musim ini memperkenalkan muka-muka baharu seperti Aya Amiruddin, Puspa Gomen, Qody Rani, Shidi Data dan DD Chronicle serta tidak ketinggalan wajah-wajah dari luar negara turut mewarnai gelanggang dengan kehadiran Sarip dan Amin dari Indonesia serta Kinjo dari Jepun.
Nama-nama regular seperti Roy Azman, Ali Puteh, Achey serta penghibur terkemuka negara, Shiha Zikir turut kembali untuk memeriahkan lagi suasana.
Roy Azman (kanan) menganggotai Kumpulan Bahroy bersama Nizam Jentik-Jentik dan Shashic Iewan.
Nak tahu kumpulan mana yang mereka mewakili dalam barisan 12 kumpulan terbabit saksikannya mulai 22 Julai 2022 kelak di Astro Warna, saluran 107 atau untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO. - KitaReporters
Shiha Zikir bersama Achey dan Ali Puteh menganggotai Kumpulan Cili.