Video| Rapper berganding dengan penyanyi Muslimah? Wahana lagu pertama gabungkan Siqma, Hazwani Helmi!
Published byApabila penyanyi Muslimah berpadu suara dengan artis hip hop agaknya padan dan serasi tak?
Apa kata anda dengar dahulu lagu ‘Wahana’ gabungan suara Hazwani Helmi dan rapper Siqma yang baharu dilancarkan secara rasmi pada 9 Jun 2023 lalu?
Hazwani atau nama penuhnya Nur Hazwani Afiqah Helmi, 26, adalah adik kepada penyanyi Heliza Helmi dan seorang aktivis yang banyak menjalankan misi kemanusiaan di luar negara selain memperjuangk agama Islam malah dikenali meluas sebagai ‘Bigboxer' Muslimah.
Disebabkan itu, Hazwani cukup dikenali sebagai Srikandi kerana keberanian dan semangat yang ditunjukkan.
Siqma pula yang bernama sebenarnya, Rahmat Zulhilmi Abdul Razak, 30, sudah meniti di bibir peminat lantaran rap yang disampaikan memiliki rentak dan gaya tulisan berkonsepkan ritma atas puisi sehingga mendapat jolokan ‘The New Malique’, sekali gus menjadikan Siqma berbeza daripada kebanyakan rapper seangkatan dengannya.
Malah, mungkin ramai tidak tahu Siqma juga merupakan jurutera bunyi untuk lagu tema filem Polis Evo 3 berjudul ‘Ayuh’ yang dinyanyikan oleh Malique, Kmy Kmo, Aman RA dan Ernie Zakri.
Populariti diraih oleh Siqma menerusi lagu-lagu ciptaannya sendiri yang dikongsi dalam YouTube sejak 2017 sudah cukup membuktikan dia memiliki kelompok peminat tersendiri.
Kini, kedua-duanya disatukan melalui ‘Wahana’ lagu terbitan bersama Masyhur Redefined dan Beegood Music Productions, ciptaan komposer Amir Hufaz dan Shukri Sahari serta lirik oleh Cheb Ali dan Isma Sane yang mengetengahkan mesej berkongsi kebaikan sesama manusia dan tidak putus asa.
"Alhamdulillah, proses rakaman lagu Wahana bersama Hazwani berjalan dengan lancar hanya mengambil masa tiga hari untuk disempurnakan bersama komposer Wan Salleh, Amir Hufaz, Hazwani Helmi dan pasukan produksi Universal Music Malaysia dan Beegood,” ujar Siqma pada majlis bersama media di ibu pejabat Universal Music di Petaling Jaya pada Selasa, 27 Jun 2023 lalu sambil bersyukur proses penggambaran video muzik (MV) pun berjalan lancar apabila hanya sehari sahaja masa diambil bersama pihak produksi yang profesional.
Turut hadir Hermond Cheng, Pengarah A&R, Pemasaran & Promosi Universal Music Malaysia dan Amir Arsyad, Pengarah Beegood Music Productions.Dari kiri: Hermond Cheng, Sigma, Hazwani dan Amir Arsyad pada majlis bersama media di ibu pejabat Universal Music Malaysia, Petaling Jaya baru-baru ini.
Menurut Siqma, konsep MV diselarikan dengan maksud yang diketengahkan dalam lagu 'Wahana', membawa maksud kebaikan iaitu landasan atau panduan yang dapat mengubah haluan dan hati manusia juga menerangi dan mewarnai kegelapan pada setiap jiwa.
Berkongsi mengenai kerjasama dengan Hazwani, Siqma memberitahu, walaupun pertama kali bekerjasama dengan Hazwani, penyanyi itu seorang yang sangat profesional dan toleransi dalam bekerja.
Sementara itu, Hazwani turut bersyukur dan teruja sebaik sahaja mendapat lagu ‘Wahana yang disifatkannya begitu dekat dengan jiwanya.
“Kalau sebelum ini saya banyak jalankan misi kemanusiaan termasuk mendekati pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Jadi, tujuannya tidak lain adalah untuk membuat kebaikan dan masuk ke syurga. Itu juga adalah maksud yang terkandung di dalam lirik lagu ini. Mesej di dalam lagu ini juga membuatkan saya rasa sangat bagus untuk dipromosikan," katanya.
Pun begitu, Hazwani mengakui wujud cabaran menyanyikan lagu tersebut disebabkan lirik lagu menggunakan bahasa Arab.
"Proses rakaman lagu ini terbahagi kepada dua sesi di mana yang pertama boleh dikatakan, ia adalah eksperimen. Ini kerana, saat pertama kali berada di studio rakaman, kami baru sahaja mahu membahagikan bahagian masing-masing.
"Selepas sesi itu berlangsung, ada beberapa perkara yang membuatkan lagu ini kedengaran agak bagus. Disebabkan ada pelbagai perbincangan dan percubaan, sesi rakaman pertama itu terasa sangat menyeronokkan walaupun ada juga rasa tekanan,” kenang Hazwani.
Tambahnya, tekanan itu disebabkan ada lirik dalam bahasa Arab yang membuatkan dia ditegur banyak kali kerana menyanyikannya dengan gaya bacaan al-Quran.
“Disebabkan ia bahasa Arab masyarakat Mesir, jadi ada kesukarannya, namun tetap menyeronokkan,” tambah Hazwani.
Mengenang lanjut proses rakaman, beliau memberitahu pada sesi kedua, mereka sudah mula merakamkan lagu dengan lebih berstruktur waima sudah berlatih dan lebih bersedia.
Lenggok Arab itu juga dikurangkan agar lagu mudah untuk ’sing along’ bagi menarik ramai pendengar.
Berkongsi pengalaman bekerja dengan Siqma, Hazwani berkata Siqma sangat memudahkan kerja ketika proses rakaman.
"Walaupun saya nampak dia seperti seorang pendiam pada awalnya, tapi selepas mula bekerja dengannya tenyata berbeza. Dia sangat mesra dan sentiasa mencuba untuk berikan yang terbaik dalam projek ini.
"Sebelum ini saya tidak pernah berduet dengan lelaki secara berdua sahaja. Disebabkan itu, ada sedikit kerisauan pada awalnya. Namun, saya sangat bersyukur kerana Siqma sangat memahami dan menghormati batas saya. Ia secara tidak langsung memudahkan kerja," jelasnya panjang lebar.
Apa pun yang pasti, Hazwani berharap lagu Wahana dapat diterima baik.
"Sebenarnya saya suka menulis lagu dan menyanyi, tapi bukan secara umum. Saya berada dalam industri ini juga disebabkan kakak saya, Heliza Helmi kerana mungkin boleh bersama-sama dengannya menyebarkan mesej kebaikan menerusi lagu. Ini adalah tanggungjawab untuk sekurang-sekurangnya memberi manfaat.
"Saya juga berharap lagu ini diingati ramai dan dapat menembusi pelbagai platform. Doa saya juga lagu ini berjaya dalam negara dan kalau ada rezeki, saya juga berharap lagu ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa," akhir katanya. - KitaReporters