TV AlHijrah telah mengumumkan tujuh kategori pencalonan yang telah berjaya melayakkan diri ke kemuncak Anugerah Carta 114 2025.

Penganjuran Anugerah Carta 114 kali ketiga ini mengiktiraf karya nasyid sebagai medium seni yang mendidik jiwa dan memperkaya budaya, sekali gus mengangkat martabat karya nasyid tempatan dan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni muzik Islam.

Sepanjang 43 minggu siarannya pada tahun 2024, TV AlHijrah menampilkan sistem pemarkahan yang telus. 

Sebanyak empat kategori dinilai sepenuhnya oleh panel juri profesional, dua kategori berdasarkan gabungan 70% undian peminat dan 30% juri profesional, manakala satu kategori sepenuhnya ditentukan oleh undian peminat.



Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, “lagu bergenre ketuhanan bukan sekadar seni hiburan, ia adalah wasilah dakwah yang berfungsi sebagai jambatan antara seni, budaya dan keimanan. 

“Penganjuran Anugerah Carta 114 ini bukan sekadar acara penghargaan, tetapi sebuah usaha kolektif untuk menyuburkan kesedaran masyarakat tentang nilai seni yang berpaksikan adab, ilmu dan iman. 

“Kami percaya, seni yang baik adalah seni yang membawa manusia lebih dekat kepada Allah. 

"TV AlHijrah komited untuk memastikan seni Islam terus relevan dalam arus perdana. Ini adalah manifestasi keberkesanan seni dalam membangunkan jiwa manusia,” jelasnya.



Sebanyak 49 lagu telah bertanding dalam Carta 114. Namun, hanya tujuh lagu terbaik telah berjaya mara ke pentas kemuncak.

Antara kategori dan pemenang yang berjaya ke Anugerah Carta 114 adalah;

  • Susunan Muzik Terbaik: Hanya Dia nyanyian Halim Ahmad dan Aiman Sidek memenangi kategori ini dengan markah tertinggi, 75%, mengatasi Sirih Pulang ke Gagang (74.7%) dan Gapura (74.3%).
  • Muzik Video Terbaik: Sirih Pulang ke Gagang muncul juara dengan 75%, mendahului Cinta Takkan Tewas (69.3%) dan Bebaskan (67.3%).
  • Lirik Terbaik: Cinta Luar Biasa nyanyian Rabithah, hasil karya Akmal Mustafa, mencatat 79.3%, mengungguli Cinta Takkan Tewas dan Gapura.
  • Solo Terbaik: Idris Shamsuddin melalui lagu Cinta Pada-Mu berjaya memukau juri dengan markah 85%, mengatasi Haadi (Kau Bak Permata, 84%) dan Ezyree Fayyad (Husnul Khotimah, 80%).
  • Artis Berkumpulan Terbaik: Lagu Salam Madinah oleh penyanyi Madinah dinobatkan sebagai pemenang dengan memperoleh 85%, mengetepikan Gapura (82%) dan Khaulah Al-Azwar (79%).
  • Kategori Terunggul Carta: Kau Bak Permata lagu nyanyian Haadi paling unggul hasil penilaian pihak produksi dan juri profesional.
  • Pilihan Peminat: Lagu Abu Ubaidah nyanyian Darwish mendominasi undian peminat dengan 2,221 undi, jauh meninggalkan Khaulah Al-Azwar (637 undi) dan Kau Bak Permata (462 undi).




TV AlHijrah berkeyakinan bahawa para finalis Anugerah Carta 114 tahun ini menunjukkan bahawa bakat besar dalam industri ini tidak hanya mencipta hiburan, tetapi juga mampu menyampaikan mesej dakwah yang kuat dan menyentuh hati.

Majlis kemuncak Anugerah Carta 114 2025 akan disiarkan secara langsung di TV AlHijrah pada 1 Februari 2025, Sabtu, jam 9 malam. 

Rancangan ini menampilkan persembahan eksklusif daripada barisan finalis dan artis jemputan. 

Acara ini bukan sekadar perayaan seni, tetapi juga satu santapan rohani buat penonton untuk menghayati keindahan Islam melalui seni yang penuh makna. - KitaReporters/Kenyataan Media


11
10
0
7
0

Copy Link: