Video| Zamani perlu buat fisioterapi selepas pembedahan! Tak bengkok lagi! Dah boleh berjalan tegak!

Published by
KitaReporters

SELEPAS tiga hari menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis pada Isnin, 7 November 2022 lalu, penyanyi Zamani (Slam)  Ibrahim, 51, dibenarkan keluar hospital petang Khamis, 10 November 2022.

Perkara itu dimaklumkan oleh isterinya, Nur Juliana Abd Rani, 39, yang turut menyatakan keadaan kesihatan

suaminya bertambah baik.



Dia turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan keselamatan Zamani.

Juliana turut mengucap terima kasih tidak terhingga kepada personaliti terkenal Aznil Haji Nawawi yang menjalankan usaha dan peminat yang menyumbangkan dana untuk rawatan Zamani. 



“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah Zamani dibenarkan keluar hospital petang ini (10 November 2022). Saya dan Zamani ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor, team operation dan semua kakitangan Sunway Medical Centre Velocity serta kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan Zamani sepanjang beliau menjalani pembedahan sehingga ke hari ini.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi), semua peminat-peminat, pihak media dan para penyumbang dana untuk Zamani. Segala budi baik dan doa anda semua amat kami hargai sehingga akhir hayat,” katanya dalam laman Instagramnya, @mrsj_zamani.

Menerusi Instagramnya, Juliana turut berkongsikan video perkembangan terbaharu suaminya dilihat berjalan dengan tegak di hospital.



Sebelum ini, Juliana memaklumkan, Zamani dalam keadaan baik selepas 48 jam menjalani pembedahan dan berada dalam pemantauan pihak hospital.

Tambah Juliana, Zamani dinasihatkan doktor supaya berehat lebih lama bagi memastikan keadaan kesihatannya pulih dengan cepat.

Zamani juga perlu menjalani latihan fisioterapi dan hanya sesuai kembali bergerak aktif menyanyi setelah tiga ke enam bulan selepas menjalani pembedahan.



Vokalis kumpulan Slam ini berhadapan penyakit skoliosis sejak tahun 2015 dengan keadaan membongkoknya semakin parah.

Melihat Zamani boleh berjalan tidak membongkok walaupun perlahan dan diikuti latihan fisioterapi Zamani akan kembali beraksi di pentas seperti keadaannnya lima tahun lalu.

Bagi para peminat setelah memberi sumbangan dana untuk pembedahan kini perlu terus mendoakan pemulihan segera salah seorang vokalis terbaik negara. - KitaReporters


9
18
0
11
0

Copy Link: