Zeenat Aman bersama suami, Mahzar Khan. Mereka berkahwin pada 1985.


DUA belas tahun aktres Zeenat Aman, 72, berkongsi hidup dengan aktor Mahzar Khan. Namun sepanjang tempoh berkahwin sejak 1985, tidak ada nikmat berumah tangga dan kemesraan sebagai suami isteri dirasai Zeenat, sebaliknya hanya derita.

Mahzar adalah suami kedua Zeenat. Sebelumnya dia berkahwin dengan aktor Sanjay Khan, adik pelakon Feroz Khan pada 1978. 

Sanjay ketika itu sudah beristeri dan mempunyai empat anak. Perkahwinan dibatal pada 1979 kerana Sanjay kerap memukul dan menyerang Zeenat secara fizikal.


Zeenat Aman bersama bekas suami, Sanjay Khan. Mereka berkahwin pada 1978 dan bertahan hanya setahun.


Kebahagiaan yang diharapkan oleh Zeenat pada perkahwinan kedua rupanya bagai keluar dari mulut harimau masuk ke mulut buaya. 

Jiwanya terseksa kerana Mahzar main kayu tiga seawal tahun pertama berkahwin. Mahzar tidak ada di sisi ketika Zeenat melahirkan anak pertama, Azad Khan. Peristiwa ini sangat mencabar jiwa dan minda Zeenat.

Kerana itu Zeenat tekad mahu meninggalkan Mahzar. Namun demi anak yang baharu lahir, dia membatalkan niat dan terus bertahan. 

Ketika anak kedua, Zahaan Khan, berusia lima tahun, Zeenat berhasrat kembali ke layar perak. Tetapi ketika itu Mahzar pula sakit dan Zeenat perlu menjaganya. Mahzar terpaksa menggunakan beg plastik untuk buang air. Dia juga ketagih ubat penahan sakit (pain killers). 

Gejala ini semua benar-benar mencabar ketahanan diri Zeenat sehingga dia bagai tidak upaya melalui kehidupan seharian. 


Mahzar Khan, suami Zeenat Aman meninggal dunia pada September 1998.


Awan cerah yang diarap bertukar mendung menyelubungi rumah tangga mereka. Selepas mendapat anak pertama, Zeenat berharap Mahzar berubah menjadi suami yang jujur dan penyayang. Tetapi hasrat itu tidak kesampaian.

Zeenat terperangkap antara derita dan simpati. Biar pun jiwa terseksa, dia simpati dengan Mahzar yang sakit serta dua anak yang memerlukan kasih sayang ibu bapa. Kerana itu Zeenat berkorban diri terus berada di sisi Mahzar sehingga selama 12 tahun.


Zeenat bersama suami dan anak-anak. (Kanan) Gambar terbaharu Zeenat. - Kredit foto: India Herald


Zeenat adalah bekas ratu cantik India dan Ratu Cantik Antarabangsa Asia Pasifik 1970. Ekoran kejayaan itu dia ditawar berlakon dan menceburi filem melalui ‘The Evil Within’ tahun yang sama, dan seterusnya ‘Hulchul’  pada 1971. 

Namun kejayaan besar bekas model itu dalam kariernya menjelma apabila diambil oleh aktor terkenal Dev Anand membintangi ‘Hare Rama Hare Krishna’  keluaran tahun 1971. Dalam filem itu Zeenat memegang peranan adik Dev, seorang wanita yang terjebak dalam kancah dadah dan kumpulan ‘hippies’.

Setelah kejayaan itu Zeenat tidak menoleh ke belakang. Namanya meniti di bibir perminat. Lebih 80 filem dibintangi, banyak daripadanya ‘box-office’. Antaranya ‘Yaadon Ki Barat’, ‘Don’, ‘Satyam Shivam Sundaram’, ‘Qurbani’, ‘Dharam Veer’, ‘Katilon ke Kaatil’, ‘Ram Balram’, ‘Baat Ban Jaye’, ‘Daku Hasina’ dan banyak lagi.


Filem 'Here Rama Hare Krishna' menjulang nama Zeenat Aman menjadi bintang pujaan. Turut membintangi filem iutu ialah Mumtaz.


Zeenat Aman dan Vijay Arora dalam satu adegan filem box-office 'Yaadon Ki Barat'.


Di sebalik kejayaan ini, hidupnya derita. Dalam satu temu bual yang dihoskan oleh aktres Simi Garewal, Zeenat memberitahu, berkahwin dengan Mahzar Khan adalah kesilapan besar. Lebih besar silap ialah apabila terus mengharungi perkahwinan itu selama 12 tahun.

Melalui temu bual itu, Zeenat secara terbuka meluahkan penderitaan dan cabaran yang dihadapi dalam perkahwinannya. Tetapi kerana perkahwinan itu adalah keputusannya sendiri, dia hanya memendam rasa.

Badai rumah tangga berlaku setelah setahun berkahwin dan Zeenat mengandung anak pertama. Mahzar tidak peduli, sebaliknya sibuk dengan kekasihnya.

Walaupun memang berhasrat mahu bercerai setelah anak dilahirkan, Zeenat akur bahawa anak yang baharu lahir itu memerlukan kasih sayang. Dia berusaha agar perkahwinan tersebut dapat diperbaiki dan bertahan.

Haratnya untuk kembali berlakon juga tidak kesampaian apabila Mahzar sakit teruk. Dia mengabdikan masa lima tahun menjaga Mahzar. Detik itu sangat mencabar kekuatan dirinya.

Usaha merawat Mahzar dianggap sebagai cabaran peribadi bagi Zenat. Dia berusaha mengubati suaminya sehingga keluar masuk setiap hospital di Mumbai. 

Dia belajar memberi suntikan, melakukan pembersihan diri (dressing), juga belajar menukar beg air kencing yang bergayut di badan Mahzar selama 18 bulan. Semua dilakukan sendiri.

Dia juga terbang ke luar negara untuk mendapatkan doktor terbaik. Apabila penyakit Mahzar dapat diatasi, ia ternyata merobek segala kekuatan yang ada pada diri Zeenat sehingga hampir jadi separuh gila.

Mahzar pula ketagih ubat dan penahan sakit sehingga menjejaskan teruk buah pinggangnya. Setiap hari dia mengambil tujuh jenis ubat penahan sakit.

Ketika ini Zeenat nekad meninggalkan Mahzar kerana tidak mahu lagi melihat penderitaan Mahzar, dan dia juga perlu menjaga kesihatan diri. Mahzar meninggal dunia pada 16 September 1998 akibat komplikasi penyakit yang ditanggung. 


Transformasi wajah Zeenat Aman daripada muda jelita sehingga kini.


Zeenat tidak dibenar menziarahi jenazah suaminya. Malah keluarga Mahzar juga menanamkan rasa benci anak-anak kepadanya. Semua harta milik Mahzar diambil oleh isteri dan adik perempuan Mahzar sehingga Zeenat tidak mendapat apa-apa.

Selepas berpisah, Zeenat masih ambil berat mengenai Mahzar. Dia tidak rasa bersalah meninggalkan suaminya kerana percaya telah melakukan yang terbaik. Baginya terlalu sedikit insan lain yang sabar  mengharungi kehidupan yang menyeksa seperti dilalui dirinya. - KitaReporters

 

 

 

 

 

 

 

 

9
12
0
9
0

Copy Link: