Video| Tiktoker Toklid Blues, 79 tahun! Masih gagah petik gitar, menyanyi! Tapi tak lupa amal ibadat!

Published by
KitaReporters


Foto-foto dari tiktok @toklidblues


Semakin ramai yang berminat menjadi Tiktoker untuk mendedahkan kegiatan harian kepada umum dan ia boleh mendatangkan sumber pendapatan jika kandungan menarik.

Sejak kira-kira 10 bulan lalu, muncul seorang Tiktoker yang kini sudah mempunyai kira-kira 40,000 pengikut yang menghiburkan pengikut dengan menyanyi dan memetik gitar.

Toklid main TikTok tanpa abaikan tuntutan agama. 

Jika pertama kali menonton laman TikToknya @toklidblues, anda jangan terperanjat melihat lelaki memakai ketayap muncul menyanyi atau memetik gitar.
Lagu-lagu era 60-an dan 90-an menjadi pilihannya. Di samping itu, Toklid juga suka memainkan irama bercorak blues.

Toklid lebih banyak membuat video bermain gitar dan sesekali akan menyanyi.

Mohd Khalid Mokhtar, 79, atau lebih mesra disapa Toklid Blues dalam aplikasi TikTok adalah bapa kepada empat anak dan datuk kepada dua cucu dan tinggal di Taman Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang. 


Kerana usianya sudah semakin lanjut, Toklid berhenti berniaga di pasar malam.

Bagi menghiburkan dirinya setelah tidak lagi menjadi peniaga pasar malam membuat Toklid menjadi Tiktoker. Secara kebetulan dia minat muzik sejak muda.

Pada awal pembabitan sebagai Tiktoker, Toklid hanya menggunakan gitar akustik (gitar tong). Namun sejak beberapa bulan lalu Toklid menggunakan dua gitar elektrik. 

Dua peminatnya yang enggan dikenali masing-masing menghadiahkan gitar elektrik. Ia membuat Toklid belajar bermain gitar elektrik dan kini semakin selesa dengan gitar elektrik yang memberi bunyi (sound) lebih menarik.



Walaupun menerima teguran daripada sejumlah individu namun Toklid tidak menghiraukannya.Toklid tetap mengutamakan perkara wajib dan sunat dalam agama. Pada sebelah siang, Toklid hanya akan bermain TikTok selepas melakukan solat dhuha hanya sejam pada jam 10 atau 11 pagi.

Sementara, pada sebelah malam dia akan bermain TikTok selepas solat isyak dan berhenti sebelum tengah malam.

Pada sebelah malam selain berbual dengan netizen, Toklid akan membuat penstriman langsung termasuk memetik gitar dan sesekali menyanyi.

Selain itu Toklid turut memperuntuk waktu setiap hari mengawasi 12 ekor kucing jalanan yang dipeliharanya. - KitaReporters

12
14
0
14
0

Copy Link: