Selangor berjaya mengekalkan Piala Belia untuk dua tahun berturut-turut. - Kredit foto: Facebook FAM


Juara bertahan, Selangor berjaya mempertahan kejuaraan Piala Belia buat dua tahun berturut-turut apabila menidakkan cubaan 'rampasan' daripada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) IV apabila menang secara agregat 4-3 pada perlawanan akhir kedua yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam pada 17 September 2023. 

Kedua-dua pasukan turun ingin memburu kejuaraan selepas terikat 1-1 pada perlawanan akhir pertama dan JDT IV ingin memburu kejayaan sulung sementara Selangor pula sudah pasti bermotivasi tinggi untuk kekalkan piala kemenangan dari dirampas oleh pasukan lain. 

Naim Zainudin membuka tirai jaringan seawal minit kelima untuk Harimau Selatan mendahului permainan 1-0. Perlawanan terus rancak dengan berbalas serangan sehingga tercetus beberapa peluang terbaik bagi kedua-dua pasukan. 

Selangor memperkemas gerakan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Adam Haikal Azizol pada minit ke-58 untuk kedudukan 2-2 secara agregat. 

Berbaki 10 minit terakhir, perlawanan terus menarik apabila masing-masing semakin ghairah memburu gol kemenangan. 

Gergasi Merah Kuning berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-82 menerusi Amirul Izwan Rusdi sebelum JDT IV mengikat kembali kedudukan melalui Danish Hakimi Sahaludin pada minti ke-85. 

Ketika permainan dilihat akan berlanjutan ke masa tambahan, Ahmad Ariz Zuhayr Nor Zaidi menjadi wira Selangor dengan meledak jaringan kemenangan pada minit ke-89 sekali gus memastikan kejuaraan mutlak menjadi milik mereka. 


Izzat Syahir Zulihsan (Selangor FC) memenangi kasut emas selepas menjaringkan 16 gol sepanjang kejohanan. - Kredit foto Facebook FAM


Selaku juara, Selangor membawa pulang RM60,000 dan JDT IV pula RM30,000, sementara penjaring terbanyak pula menerima ganjaran RM1,000.  

Selain kejuaraan menjadi milik mereka, Izzat Syahir Zulihsan merangkul penjaring terbanyak selepas meledak 16 gol pada kejohanan ini. Ini memberi petanda positif buat Selangor dan negara yang memerlukan pemain muda pada bahagian serangan.

Apatah lagi tahun hadapan Malaysia Bawah 23 Tahun (B23) akan beraksi pada pusingan akhir Piala Asia B23 di Qatar. Ini pasti membuka mata barisan jurulatih Hariamau Muda untuk memberi peluang kepada pemain ini. - KitaReporters

19
5
0
11
0

Copy Link: