Lebih daripada 25 drama telah diarahkan sepanjang 29 tahun penglibatannya dalam industri seni hiburan namun inilah pertama kalinya hati Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, 72,  tergerak untuk menerbit dan mengarahkan sebuah filem bertajuk ‘Denu’.

“Orang lain dalam usia 27 tahun telah menghasilkan berbelas-belas filem namun saya diterbalikkan angka itu, dalam usia 72 tahun, inilah filem pertama dan mungkin terakhir,” ujar Ahmad Tarmimi ketika ditemui pada majlis prapelancaran filem ‘Denu’ yang berlangsung di Hotel Grand Baraqah, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ahmad Tarmimi Siregar

Tetamu jemputan yang memberikan sokongan.


Turut menjadi tetamu jemputan antaranya, Mohd Fazli Abdul Aziz, Pengarah Pengurusan Produksi FINAS (gambar atas, depan, empat dari kanan) mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS; Rozita Waty Ridzuan serta rakan-rakan seperjuangan antaranya seperti mantan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dr. Ahmad Idham dan Penerbit Skop Production, Datuk Dr Yusof Haslam dan ramai lagi. 

“Saya cerewet orangnya, dan selalu memilih naskah. Kini dalam usia senja dengan dikelilingi tenaga muda saya mengambilnya sebagai satu manifestasi dan cabaran untuk merangsang diri agar terus berkarya,” tambah Ahmad Tarmimi yang sering dipanggil Tarmimi sahaja oleh rakan-rakan rapatnya

Menyedari ada yang berpendapat apa yang diucapkan itu satu doa yang tidak bagus namun beliau mengambilnya pada sudut positif, mungkin juga selepas ini mampu menghasilkan lagi filem di bawah syarikat penerbitannya, True Legacy Sdn Bhd, hanya Allah SWT yang maha mengetahui.



“Sebenarnya idea filem ini sudah tercetus lama malah tiga tokoh yang terlibat bersama sudah pun arwah termasuk isteri saya Datin Zuhaila,” tambahnya sambil memberitahu skrip ‘Denu’ dirombak sehingga 8 kali sebelum mendapat kelulusan dana daripada FINAS.

Kini dengan kos pembikinan mencecah RM1.8 juta penggambaran ‘Denu’ akan bermula pada 17 Oktober 2022 di beberapa lokasi di Perak khususnya di Taiping, walaupun hakikatnya 'Denu' mengisahkan mengenai ‘mak yong’ pada era sebelum merdeka sebagai latar cerita. 

Filem yang bakal dipertontonkan dalam dialek Kelantan menggandingkan Nad Zainal sebagai isteri kepada Sabri Yunus ini turut membariskan pelakon baharu dan lama seperti Hairi Safwan, Azman Hassan termasuk anak Tamimi, Fatin Siregar dan ramai lagi.


Ahmad Tarmimi, (tengah) bersama barisan pelakon antaranya Nad Zainal, (enam dari kiri), Sabri Yunus (lima dari kanan), Azman Hassan (empat dari kanan) dan Fatin Siregar (lima dari kiri).


Berkongsi lanjut, Tarmimi memberitahu, disebabkan ‘Denu’ yang membawa maksud ‘Di Sana’ merupakan sebuah filem yang menjadikan mak yong sebagai latarnya, watak-watak yang diwujudkan seperti antaranya Pok Yeh (Sabri Yunus), Asmah (Nad Zainal) dan Amiruddin (Hairie) diperankan untuk memperjuangkan cinta dan cita-cita mereka di antara satu sama lain.

“Dan disebabkan ia akan bertutur dalam dailek Kelantan, Sabri Yunus diberikan tanggungjawab membantu saya  untuk memastikan loghat Kelantan setiap pelakon itu betul,” jelas Tarmimi


Sabri Yunus membantu Ahmad Tarmimi mengajar pelakon bercakap loghat Kelantan sebenar. - Foto FAS.


Mengikut sinopsisnya, Pok Yeh memperjuangkan kasih dan cintanya pada Asmah diselangkan pula dengan kehadiran Amirudin yang turut menagih cinta Asmah manakala Ramli dan Khatijah juga mengejar cinta remaja mereka namun dalam masa yang sama watak-watak ini mengejar cita-cita iaitu menjadikan mak yong sebagai jiwa mereka dan meletakkan ia pada tingkat paling gah.  

“Dari situ terpaparlah suka dan duka, tawa dan dendam, jujur dan menikam kehidupan di sekeliling mereka tanpa meminggirkan aspek penting Denu iaitu kasih dan sayang,” jelas Tarmimi sambil menambah kata beliau tidak gentar jika sambutan tidaklah sehebat pungutan ‘Mat Kilau’ yang memecah rekod kutipan tertinggi filem Melayu.

Harapannya, “jika untung alhamdullilah dan jika rugi atau balik modal pun saya bersyukur kerana tujuan saya dengan karya ini lebih kepada menghasilkan sebuah filem yang boleh dijadikan rujukan.

“Dapat anugerah di festival-festival pun memadai,” akhiri pemilik Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Filem dan TV) dari Universiti Sains Malaysia (UPM) ini penuh harapan. - KitaReporters


Foto kredit Instagram @nad.zainal.


14
9
0
14
0

Copy Link: