Video| Piala FA 2022: Penang FC berpesta gol di Stadium Darul Makmur! Tundukkan Sri Pahang, 5-2!
Published byKredit foto-foto: FB MFL
Penang Football Club (FC) bangkit selepas ketinggalan dua gol untuk berpesta jaringan menewaskan Sri Pahang dengan keputusan 5-2 dalam perlawanan suku akhir Piala FA Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
Sri Pahang yang bermain di hadapan penyokong sendiri ternyata lebih bersemangat dan tuan rumah tidak perlu menunggu lama apabila Steven Rodriguez menjaringkan gol pertama pada minit ke-11. Pahang terus memperkemaskan permainan dan selang sembilan minit kemudian, Azwan Aripin terus menceriakan penyokong untuk meletakkan Sri Pahang mendahului 2-0 hasil sepakan padu daripada beliau.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala FA
Penang FC cuba bangkit dengan mengatur permainan dan usaha mereka terhasil apabila sebelum separuh masa pertama tamat, hasil kesilapan penjaga gol Sri Pahang dan Saravanan Tirumurugan berjaya memanfaatkan peluang tersebut untuk merapatkan kedudukan.
Bermula separuh masa kedua, kedua-dua pasukan sering berbalas serangan dalam usaha untuk menambah jaringan. Perlawanan yang dilihat seperti akan memihak kepada Sri Pahang namun pemain import Penang FC, Hilal El-Helwe merentap kecerian tuan rumah untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-85.
Keputusan terikat memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan dan tuan rumah terpaksa bermain 10 pemain apabila pengadil terpaksa mengeluarkan kad merah kepada pemain Sri Pahang, Ashar Al-Aafiz.
Thivandaran Karnan (kanan) melengkapkan malam ceria buat Penang apabila menjaringan gol ke lima sekali gus skuad bimbingan Dollah Salleh berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA. - Kredit foto: FB MFL
Penang FC telah merencanakan kembali strategi dan menggunakan segala kelebihan yang ada untuk mencari gol ketiga dan mereka berjaya melakukan apabila pemain import dari Brazil, Lucas Silva meletakkan Penang FC di hadapan buat pertama kali pada minit ke-97 untuk mendahului 3-2
Selang seminit kemudian, Hilal terus mengukuhkan kedudukan Penang FC untuk selesa mendahului 4-2.
Penang seperti tidak cukup dengan jaringan mereka dan terus melakukan serangan demi serangan dan dalam usaha Sri Pahang untuk mencari gol penyamaan, mereka sekali lagi terpaksa menerima duka apabila Manuel Federico Hidalgo Gasparini menerima kad merah sekali gus merencatkan terus usaha dalam menambah jaringan.
Thivandaran Karnan melengkapkan malam ceria buat Penang apabila menjaringan gol ke lima sekali gus skuad bimbingan Dollah Salleh berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA. - KitaReporters