Siti Zarinah menunjukkan cara menekap kain telepok

Peribahasa yang berbunyi "Yang lama sama dikelek yang baharu sama didukung" memberi maksud, adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu

Walau dunia semakin canggih dengan kepesatan teknologi dan perubahan gaya hidup, masyarakat masa kini tidak seharusnya melupakan adat lama yang telah bertapak membina tamadun manusia.  Asimilasi kedua-dua budaya baharu dan lama jika diamalkan akan mengharmonikan kehidupan manusia


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tradisi dan tradisional


Seorang penggiat seni Siti Zarinah Jailani, berusaha menghidupkan kembali adat dan warisan seni tradisional Melayu yang kian pudar dan semakin dilupakan generasi sekarang

Antara adat dan warisan seni tradisional yang diketengahkan oleh Siti Zarinah ialah seni telepok iaitu seni tradisional menghias kain atau tekstil tradisional Melayu yang sudah tidak diusahakan sejak awal kurun ke-19

Seni tradisional ini dipercayai dibawa masuk ke negara kita oleh pedagang Bugis dari Sulawesi. Seni telepok ini melibatkan proses menekap motif menggunakan cop ukiran kayu yang bergam ke atas kain tenun benang halus yang kemudiannya dilekapkan dengan kertas emas atau perada (serbuk emas atau perak)

Selain itu Siti Zarinah juga membuat demo dan mengajar cara cara pemakaian tanjak, pemakaian tengkolok wanita dan cara-cara memakai sampin

Seni tradisional yang disebutkan tadi mungkin terlalu asing bagi generasi sekarang yang sudah selesa dengan pemakaian ala Barat yang menjadi sebahagian fashion harian dan fesyen ke majlis tertentu. 

Namun usaha menghidupkan kembali seni tradisional ini dapat memperkenalkan pada generasi masa kini keunikan dan keindahan seni lama yang sangat kreatif dan menarik selain mengetahui kehidupan masyarakat zaman dulu.




Sebagai pengiat seni Siti Zarinah banyak menghadiri bengkel-bengkel kesenian di dalam dan luar negara. 

Baru-baru ini Siti Zarinah dan penggiat seni yang lain menghadiri Bengkel Tanjak,  Destar dan Tengkuluk, serta Pameran Destar Alam Melayu di Karimun Riau Indonesia. 

Beliau ke sana bersama persatuan PERNILAM (Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu). Beliau juga turut menghadiri Festival Seni Hidup di Matic, Kuala Lumpur baru baru ini. 

Selain aktif berbengkel Siti Zarinah turut terlibat dalam penyelidikan mengenai sejarah Langkasuka, kempen mempromosi batik, pameran kebaya nyonya , bengkel mempelajari tarian tradisional dan lain-lain yang berkaitan seni tradisional Melayu.


Menghadiri Festival Seni Hidup di MATIC Kuala Lumpur

Ditanya sejak bila meminati seni tradisional Melayu ini, beliau memberitahu, minat ini datang  secara semula jadi sejak beliau masih kecil. 

Katanya dari kecil beliau telah diterapkan dengan nilai-nilai mencintai adat budaya dan warisan tradisional Melayu. Ini katanya berdasarkan pengaruh dari datuk dan nenek serta kehidupan kampung yang beliau lalui. 

Beliau sangat meminati seni anyaman, sulaman, gubahan, jahitan, nyanyian & tarian. Selain itu, makanan tradisional, pertanian, ubat-ubatan (jamu dan petua kesihatan) turut menarik minat beliau untuk terus mendalami ilmu-ilmu berkenaan. 

Malah perkara yang disukainya semakin dekat dihatinya apabila diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni yang sangat diminatinya di UiTM lebih 30 tahun lalu.

Siti Zarinah adalah graduan Fakulti Seni Lukis  dan Seni Reka UiTM dan pengkhususan dalam bidang seni tekstil.

Beliau merasakan bidang seni ini memberinya satu kepuasan dalam dirinya terutama apabila sesuatu yang diusahakan khususnya yang berkaitan seni dapat dihasilkan dengan baik. 

Beliau juga berkata melalui bidang ini beliau dapat berjumpa dengan ramai yang mempunyai minat yang sama dan boleh berkongsi ilmu dan pengalaman.   


Bersama Persatuan Pernilam di Bengkel Destar, Tanjak dan Tengkuluk di Karimun, Riau, Indonesia

Mengenai bidang yang sangat istimewa ini Siti Zarinah berpendapat seni tradisional ini tidak akan pupus kerana masih ada masyarakat yang berminat dalam bidang seni tradisonal ini. 

"Memang ada golongan dari setiap lapisan umur dan latar belakang yang minat dan sentiasa mencari aktiviti berkaitan tradisi dan budaya. Sebab itu juga,  ada penggiat seni menganjurkan bengkel kesenian seumpaman ini  untuk menarik minat mereka yang suka pada bidang ini. Apa yang menggembirakan sambutan untuk bengkel-bengkel itu amat menggalakkan"  kata Siti Zarinah. 

Mungkin ada yang berpendapat budaya lama sudah lapuk dan sudah tidak relevan dengan kehidupan masa kini namun Siti Zarinah berpendapat "tamadun Melayu purba sangat kaya dengan pelbagai kemahiran kraf yang luar biasa. Malah hasil seni tradisional Melayu adalah antara pengusaha kraf yang terbaik di dunia." 

Kemahiran ini hanya akan bertahan sekiranya ia hidup dalam setiap generasi. Ia adalah pautan kepada akar umbi kita dan menjadi sebahagian daripada warisan kita bersama. 

Oleh itu, jika kita tidak berusaha untuk memeliharanya ia akan pupus dan hilanglah sebuah kesenian dan warisan bangsa Melayu di dunia. 

Sebaik-baiknya biarlah dua budaya lama dan baharu diharmonikan dalam kehidupan seperti kata pepatah ini: "Yang lama sama dikelek, yang baru sama didukung." - KitaReporters


Cara cara pemakaian sampin dan tengkolok wanita

33
31
0
25
0

Copy Link: