Lisa Marie dilaporkan meninggal dunia akibat sakit jantung seperti ayahnya Elvis Presley.

ANAK tunggal legenda rock & roll, mendiang Elvis Presley, Lisa Marie Presley, 54, meninggal dunia di sebuah hospital di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Jumaat, 13 Januari 2023 ketika mendapat rawatan dipercayai akibat  serangan jantung. 

Menurut laporan Dailymail, sumber memberitahu tubuh Lisa tidak memberikan tindak balas dan bekas suaminya, Danny Keough yang tinggal bersamanya telah melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum pasukan paramedik tiba di rumah. 

Lisa sebelum itu berada dalam keadaan kritikal dikejarkan ke hospital dan dilaporkan koma berikutan jantungnya terhenti sejurus mengadu sakit perut.


Lisa Marie bersama ibu bapa ketika masih bahagia


Berita sedih pemergian Lisa dikongsi ibunya, Priscilla Ann Presley, 77, pada Jumaat, 13 Januari 2023. 

"Dengan berat hati, saya berkongsi berita sedih bahawa anak saya, Lisa Marie sudah meninggalkan kita. Lisa seorang anak pengasih, kuat dan wanita penyayang yang pernah saya kenal," katanya dalam kenyataan, lapor AP. 

Dilaporkan, pasukan paramedik dikejarkan ke kediaman Lisa di Calabasas, California pada jam 10.37 pagi Khamis selepas mendapat aduan seorang wanita mengalami serangan jantung.


Lisa (kiri) bersama Butler dan ibunya, Priscilla Presley


Dilaporkan, Lisa bersama ibunya menghadiri Anugerah Golden Globes yang diadakan di sebuah hotel di Beverly Hills Angeles pada Rabu, 11 Januari 2023  bagi memberi sokongan kepada Austin Butler yang melakonkan watak ayah Lisa dalam filem ‘Elvis’. 

Lisa memuji lakonan Butler dalam filem biografi berkenaan, ketika ditemu ramah dalam program ‘Entertainment Tonight’, lapor AP.

"Saya tidak tahu apa yang patut saya lakukan selepas menonton aksi Butler.Saya perlu ambil masa lima hari untuk memproses (apa yang ditonton) kerana ia sangat menakjubkan dan sangat realistik... Saya sukar menjelaskannya," katanya.

Beberapa hari lalu, Lisa dilaporkan berada di Graceland, Memphis iaitu kediaman Elvis, bagi meraikan hari jadi mendiang bapanya pada 8 Januari 2023.


Sebelum ini, Lisa menulis esei yang diterbitkan oleh majalah People mengenai kehilangan anaknya, Benjamin Keough yang membunuh diri pada 2020. Lisa juga mempunyai seorang lagi anak, iaitu Riley Keough dan sepasang kembar perempuan. 

"Saya berdepan kematian, kesedihan dan kehilangan sejak berusia sembilan tahun. Saya sudah melalui lebih daripada orang lain tempuhi dan sehingga kini, saya berjaya hadapi semua itu," luahnya dalam penulisan itu.



Lisa tidak dapat lama bermanja dengan ayahnya Elvis Presley kerana Elvis dan Priscilla berpisah pada 1977  ketika Lisa masih berusia 9 tahun. Dan Elvis meninggal ketika berusia 42 tahun ada 16 Ogos 1977. Bagaimanapun Lisa dan ibunya Priscilla mewarisi harta pusaka Elvis. 

Lisa selain menjadi penyanyi sejak 1997 juga menjadi pencipta lagu. 

Lisa pernah berkahwin empat kali dengan Danny Keough (1988 -1994), Michael Jackson (1994-1996), Nicolas Cage (2002-2004) dan Michael Lockwood (2006- 2016). - KitaReporters

Michael Jackson pernah menjadi suami kedua Lisa Marie 1994-1996.

8
11
0
10
0

Copy Link: