Benar kata pepatah ini, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. 

Namun sudah menjadi lumrah hidup manusia hanya mengenang seseorang itu apabila dia telah tiada. Semasa hayat masih ada, jasa kita tidak dikenang, pencapaian kita juga tidak diraikan, malah menjadi fitnah kepada mereka yang membenci atau bermusuh dengan kita. 

Ironinya bila seseorang itu sudah tiada barulah mereka itu dihargai, dipuji, dianugerahkan pangkat, diingati sebagai wira dan wirawati serta diangkat sebagai ikon dalam sesuatu bidang. 

Seniman agong P Ramlee adalah nama besar  yang tidak asing dalam dunia seni di negara kita. Allahyarham bukan sahaja menjadi idola dalam negeri sahaja malah juga pada peringkat antarabangsa. 

Allahyarham telah meninggalkan kita lebih 50 tahun yang lalu, namun karyanya tetap hidup dalam jiwa semua peminatnya. 

Sejak pemergiannya, beliau kekal sebagai ikon abadi, dihormati kerana bakat besar dan kehebatannya sebagai seniman serba boleh. Malah filem-filem serta lagu-lagu dan nyanyiannya masih mekar segar sepanjang zaman. 


Hidir Ali Razali, penulis buku P Ramlee: Tiada yang Kedua


Hidir bersama pasukan penyelidik di bawah kepimpinan pelakon Adlin Aman Ramlie


P Ramlee yang merupakan pengarah, pelakon, penyanyi dan pemain muzik adalah seniman serba boleh yang memulakan kerjaya seninya di Singapura dalam tahun 1948 sehingga berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964. Meninggal dunia pada usia 44 tahun, kerana serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 29 Mei 1973.

Buku P Ramlee: Tiada yang Kedua adalah sebuah buku yang ditulis oleh seorang pengiat seni Hidir Ali Razali, 40 tahun, yang berasal dari Shah Alam, Selangor. 

"P Ramlee: Tiada yang Kedua, merupakan karya kedua saya dan sebelum ini saya telah menghasilkan sebuah buku kisah hidup seniman hebat Nordin Ahmad, dengan tajuk "Nordin Ahmad: Permata Seni Terbilang." 

Menurut Hidir Ali, Buku P Ramlee: Tiada yang Kedua adalah sebuah buku yang penuh dengan kisah seniman agung itu serta kisah kisah belakang tabir yang digarap daripada hasil kajian team yang menghasilkan buku ini. 

Buku yang diterbitkan oleh Patriots Publishing membongkar kisah hidup seorang seniman agung seperti P.Ramlee yang telah digarap dengan teliti dan berhati-hati dari segala sudut, ruang dan waktu. 

Kisahnya sangat menarik dan boleh dijadikan kisah tauladan, pengalaman mengenai perjalanan hidup anak seni dan kehebatan seni yang tetap hidup di jiwa peminatnya meskipun Allahyarham telah meninggal dunia lebih setengah abad yang lalu.  


Hidir bersama pengarah filem dan penulis skrip, Al Jafree Md Yusof


Hidir Ali berkata P Ramlee disifatkan sebagai ikon budaya, di mana Allahyarham merupakan penghibur berbakat yang memikat penonton dengan kehebatan lakonan, pengarahan, nyanyian dan ketokohannya. 

Kebolehannya yang tiada tolok bandingnya dan kemampuannya dalam berkarya untuk berhubung dengan orang ramai meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan oleh semua yang meminatinya sejak dulu sehingga kini. 

Apa yang menarik dalam buku ini adalah satu petikan dari kata kata Allahyarham P Ramlee yang mengatakan: "Aku seniman ketuhanan: Seniku bukan kerana wang, tetapi seniku kerana Allah semata-mata."  

Petikan kata-kata ini membawa makna yang sangat mendalam. Ini dapat dilihat daripada filem-filem P Ramlee yang banyak mengetengahkan elemen agama dan ketuhanan. Malah lirik dalam lagu -lagu P Ramlee juga tersembunyi mesej keagamaan yang hanya akan difahami mereka yang benar benar mendalami agama. 

Mesej tersirat dan tersurat P Ramlee dalam setiap karyanya sangat mengagumkan dan penuh dengan mesej yang tidak ternilai harganya. 

Hidir juga menambah apa yang dikesalkan ialah sewaktuAllahyarham hidup beliau tidak dihargai tetapi apabila sudah tiada barulah beliau diberi gelaran, pingat dan sebagainya. Tetapi semua itu pada pendapat Hidir sudah terlambat. 

Sepatutnya seniman agong itu dihargai sewaktu masih hidup. 

Kisah hidup P Ramlee sewaktu pada penghujung hayatnya juga amat menyedihkan  Malah ada juga yang menyalahkan kerajaan, wartawan dan penggiat seni pada ketika itu yang mendakwa mereka yang terlibat dengan dunia seni tidak berlaku adil kepada P Ramlee sehingga membuatkan P Ramlee hidup susah pada penghujung usianya. 



Di sebalik kisah sedih padapenghujung hidupnya, sebenarnya P Ramlee pernah dihargai oleh kerajaan Malaysia, pada ketika itu Persekutuan Tanah Melayu. 

Selain daripada menerima anugerah pencapaian peribadi di Festival Filem Asia, beliau juga pernah menerima gelaran sebagai Ahli Mangku Negara (AMN). Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara merupakan salah satu darjah kebesaran negara yang dianugerahkan kepada warganegara yang telah berjasa dan menunjukkan kerja yang cemerlang pada negara. 

Darjah kebesaran AMN merupakan darjah pangkat kelima dan jumlah penyandangnya juga tidak terhad. Darjah pangkat ini dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. 

P Ramlee merupakan individu pertama dalam kalangan anak seni yang menerima darjah pangkat AMN itu daripada oleh Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalulallail, di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 3 Jun 1962. - KitaReporters



13
19
0
15
1

Copy Link: