Kempunan! Boling padang, bina badan kandas! SEAGF tolak rayuan! Boling tenpin, kriket, karate lulus!

Published by
KitaReporters


MALAYSIA yang menjuarai Kejohanan Asia di Pattaya pada Mac 2024, kempunan untuk mengaut pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 gara-gara penolakan SEAGF. - Kredit foto: MSN


HANYA boling padang dan bina badan, tidak melepasi rayuan akhir yang disaring oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di Bangkok, Thailand pada 25 Oktober 2024.

Kedua-dua acara sukan ini, yang masih cuba dilobi oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), kempunan untuk menyertai 50 jenis sukan pertandingan Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember 2025 nanti.

Sebaliknya nasib berbeza melegakan lima lagi jenis sukan berprospek pingat emas kita dalam proses rayuan akhir tersebut iaitu kriket, karate, boling tenpin, angkat berat dan wusyu.

Majlis SEAGF pada mesyuarat kali kedua penggal 2023-2025 di ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Thailand (OCT) ini turut meluluskan rayuan MOM bagi memasukkan luncur air dan kabaddi ke dalam temasya ke-33 yang dijadualkan di ibu kota itu selain Chonburi dan Songkhla.


MALVERN Abdullah, pemenang pingat gangsa bina badan 65 kilogram Sukan SEA Vietnam 2022. - Kredit foto: MSN


Laman sosial MOM melaporkan: “SEAGF juga selepas menyemak rayuan daripada semua NOC (jawatankuasa Olimpik kebangsaan) bagi negara-negara peserta temasya dwitahunan itu pada 5 September 2024, mengumumkan 50 jenis sukan pertandingan dan tiga sukan pertunjukan dalam Sukan SEA Ke-33 di Thailand pada 2025. 

“Sukan-sukan yang diluluskan itu mengandungi 569 acara berpingat dan 12 acara sukan pertunjukan.

“MOM diwakili Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agung, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib serta Pengurus Besar, Fong Wan Hor yang juga selaku pemerhati.

“Mesyuarat dirasmikan Presiden OCT, Prawit Wongsuwon yang juga Presiden SEAGF penggal semasa dan dihadiri Menteri Pelancongan dan Sukan, Sarawong Thienthong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Thailand 2025,” lapor laman itu.

Mesyuarat turut mendengar ikrar sokongan penuh kerajaan diraja Thailand sebagai tuan rumah Sukan SEA Ke-33 sambil Jawatankuasa Pengelola temasya membentangkan laporan perkembangannya.


MOHAMAD Norza Zakaria (kiri) menayangkan jaminan rasmi MOM dan kerajaan Malaysia berhubung tuan rumah Sukan SEA 2027 di sebelah Ketua Pegawai Operasi SEAGF, Chaiyapak Siriwat. - Kredit foto: MOM


“Majlis SEAGF juga dibentangkan jaminan rasmi MOM dan kerajaan Malaysia oleh Norza berhubung kesediaan dan kesungguhan menjadi tuan rumah Sukan SEA Ke-34 pada 2027 yang paling dikenangi.

“Sebagai pelindung temasya pelbagai sukan di Malaysia, MOM juga berikrar untuk memelihara kepentingan Sukan SEA dan Pergerakan Olimpik di Asia Tenggara,” kata Norza yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) zon rantau itu.


50 JENIS SUKAN PERTANDINGAN:

Akuatik (renang, terjun, polo air, renang artistik & renang perairan terbuka), olahraga, memanah, badminton, bola keranjang, kanu & mendayung, berbasikal, ekuestrian, lawan pedang, bola sepak & futsal, golf, gimnastik (artistik, berirama & aerobik), bola baling, hoki (hoki, hoki dewan & lima sebelah), besbol & sofbol, biliard & snuker, tinju, floorball, e-sukan, muay, bola jaring, pencak silat, petanque, sepak takraw, skuasy, boling tenpin, sukan ekstrem (mendaki tembok, luncur air, papan lonjak, papan selaju & luncur taman), karate, jujitsu, kriket, wusyu, kabaddi, teqball, tinju tendang, woodball, judo, ragbi, pelayaran, menembak, pingpong, taekwondo, tenis, triatlon-duatlon-akuatlon, bola tampar & bola tampar pantai, gusti, luncur ais, hoki ais, pentatlon moden, angkat berat, catur.

3 JENIS SUKAN PERTUNJUKAN:

Tarik tali, layang cakera, sukan udara (luncur layar & paramotor)   


 

MOHAMAD Norza Zakaria (kiri) bersama-sama Sarawong Thienthong (dua dari kanan) pada mesyuarat Majlis SEAGF di Bangkok pada 25 Oktober 2024. - Kredit foto: MOM


PARA perwakilan negara peserta SEAGF yang diketuai Prawit Wongsuwon bergambar kenangan selepas mesyuarat Majlis persekutuan itu di Bangkok. - Kredit foto: MOM

2
3
0
4
0

Copy Link: