5 prospek emas kita! Sukan SEA Thailand 2025 lulus rayuan! Bina badan, boling padang terus dilobi!
Published byKARATE sentiasa menjadi penyumbang pingat emas Sukan SEA buat Malaysia. - Kredit foto: MSN
DUA belas jenis sukan termasuk dua sukan tempur lulus dalam rayuan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk dipertanding ke Sukan SEA Thailand 2025 dari 7 hingga 19 Disember 2025.
Sukan-sukan itu ialah karate dan wusyu selain kriket, boling tenpin, angkat berat, kanu, luncur ais, sukan mendaki, luncur air dan papan lonjak serta woodball hasil semakan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) ada 5 September 2024.
Kesemuanya melengkapkan 50 jenis sukan pertandingan dan dua jenis sukan pertunjukan yang disahkan bagi temasya serantau dwitahunan ke-33 itu.
Karate, wusyu, kriket, boling tenpin, angkat berat, luncur air dan papan lonjak yang sudah terbukti menjadi antara sukan berprospek pingat emas Malaysia dan sering mempengaruhi kedudukan pungutan keseluruhan dalam Sukan-Sukan SEA terdahulu.
MOHAMAD Norza Zakaria (kiri) dan Nazifuddin Najib yang menganggotai Majlis Eksekutif MOM dan Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA. - Kredit foto: MOM
Kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib, “jenis-jenis sukan berkenaan membabitkan rayuan daripada persatuan-persatuan sukan kebangsaan sama ada ahli biasa atau ahli bersekutu MOM.
“(Walau bagaimanapun) MOM akan terus mengemukakan rayuan bagi kemasukan empat lagi jenis sukan ke Sukan SEA Thailand 2025 iaitu bina badan, boling padang, contract bridge dan sukan tari.
“Senarai muktamad jenis sukannya akan dibentangkan bagi sokongan dan kelulusan pada mesyuarat Majlis SEAGF Kedua yang dijadualkan 25 Oktober 2024 di Bangkok, Thailand,” ujarnya
LUNCUR air dan papan lonjak bakal bersandarkan Aaliyah Yoong Hanifah sebagai penyumbang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025.
MOM juga katanya, sedang menerokai satu kaedah dan mekanisme baharu dalam melahirkan taraf kelayakan yang seragam bagi semua jenis sukan menjelang Sukan SEA.
“Kami perlu adakan sesi libat urus dengan persatuan-persatuan ahli untuk mengumpul maklum balas mereka dalam mendapatkan taraf kelayakan baharu itu.
“Daya usaha dalam melahirkan satu taraf kelayakan yang telus dan mudah difahami ini menggambarkan satu pendekatan bekerjasama antara MOM selaku badan payung dan semua persatuan sukan kebangsaan,” katanya lagi.
ANIQ Kasdan yang kurang 1 kilogram ke podium pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, berpeluang mengalungi Malaysia pingat emas angkat berat setelah rayuan memasuki Sukan SEA Thailand 2025 diluluskan SEAGF. - Kredit foto: MSN
Prinsip panduan bagi Jawatankuasa Pemilihan MOM ke Sukan SEA ketika ini ialah antara tiga teratas dalam ranking serantau (sukan individu) dan antara empat teratas (sukan berpasukan) untuk Kategori A.
Kategori B atlet Sukan SEA negara pula ialah mereka yang perlu berada dalam kalangan enam teratas dan berusia di bawah 23 tahun (B-23).
“Setiap jenis sukan diberikan ruang untuk mengemukakan senarai atlet mereka kepada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria,” katanya.
Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh menyaksikan kontinjen negara pimpinan Datuk Nasir Ali merangkul 34 pingat emas, 45 pingat perak dan 98 pingat gangsa serta berada di anak tangga ketujuh antara 11 negara peserta Asia Tenggara. - KitaReporters
NASIR Ali (di belakang pembawa bendera, berbaju biru) memimpin kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh. - Kredit foto: MOM