Anda ada tanah? Minat tanam durian? MARDI beri benih percuma! Termasuk durian premium varieti MS88!
Published byMOHAMAD Sabu (tiga dari kanan) menunjukkan isyarat tangan bagus pada varieti durian MS88. - Kredit foto: JMDT
INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) masih membekalkan benih-benih percuma durian kepada para petani yang tanahnya berkeluasan antara 0.40 hingga 0.81 hektar berdasarkan pemberian geran kerajaan.
Ketua Pengarahnya,
Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, benih-benih berkenaan bertujuan
meningkatkan penanaman sehingga 10,000 pokok durian di seluruh negara apabila
pemberian gerannya berakhir pada 2025.
“Sekarang 8,000
pokok durian telah ditanam di seluruh negara. Kami beri benih-benihnya secara
percuma sejak 2021 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Benih-benihnya
sentiasa ada di MARDI. Kalau dapat geran lagi (daripada kerajaan) boleh berinya
percuma selepas 2025. Kalau tidak dapat pun, harganya tidak mahal pun, dalam
RM20 untuk sepokok,” katanya pada program Duriotourism MARDI di Kuala Kangsar, Perak.
Zabawi ditemui sempena lawatan kerja Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan penjenamaan semula varieti durian premium MDUR88 kepada Malaysia Super (MS88) pada 28 Disember 2024.
MOHAMAD Zabawi Abdul Ghani (dua dari kiri) memperagakan pangsa berulas varieti durian MS88 kepada wakil media massa sempena lawatan kerja Mohamad Sabu ke Duriotourism MARDI, Kuala Kangsar, Perak. - Kredit foto: JMDT
Ciri-ciri unggul MS88 ialah rasa lemak manisnya, berisi tebal dan berkrim, tahan terhadap penyakit, warna isinya menarik dan tahan lama serta mampu menjadi sumber ekonomi yang berkualiti.
Kata Pengerusi MARDI,
Dr. Azman Ismail, maklum balas para penggemar durian terhadap MS88 begitu
positif sehingga ada yang menganggapnya setanding atau lebih baik daripada varieti
‘Black Thorn’.
“Ketika musim durian (Julai 2024 lalu), para penggemar Black Thorn didapati akan mudah menyerap kepada MS88. Ada kata (MS88) lebih baik, halus isinya, lembut dan bertekstur,” katanya lagi.
SIDANG media penjenamaan semula MDUR88 kepada MS88 di Duriotourism MARDI, Kuala Kangsar dihadiri (dari kiri), Azman Ismail, Mohamad Sabu dan Mohamad Zabawi Abdul Ghani. - Kredit foto: JMDT
Mohamad turut yakin, durian Malaysia masih menjadi pilihan China yang memiliki permintaan cukup besar kerana sekitar 800 juta daripada 1,400 juta rakyatnya yang mampu berbelanja.
“Durian kita hanya
baru sampai di bandar-bandar besar yang penduduknya 15 hingga 20 atau 30 juta. Bandar-bandar
lain yang penduduknya dua tiga juta, belum pernah tengok durian kita. Ertinya
pasaran di sana (begitu) luas.
“Walaupun ada
saingan Filipina, Vietnam dan Thailand, saya yakin durian kita masih jadi
pilihan utama China dan satu perdagangan atau pasaran besar yang akan mencapai
berbilion-bilion ringgit.
“Saya sendiri
hadir di sebuah pasar raya China, pukul 1 petang dibawa (durian Malaysia), 4
petang sudah habis walaupun harganya agak mahal. Mereka mampu membelinya jadi tidaklah
terasa mahal,” katanya.
Mengenai potensi pasaran
durian Malaysia di Asia Barat umpamanya Iran dan Eropah katanya, rakyat mereka kurang
menggemari durian berbentuk buah tetapi tetap sukakan produk-produk hilirannya seperti
roti dan aiskrim.
“Pasaran di China pun belum cukup penuhi permintaannya. Kalau terokai ke Asia Barat dan Eropah, promosi kita tidak semestinya durian. Sektor swasta kita boleh fokuskan industri hiliran ini dengan sokongan kerajaan,” katanya. - KitaReporters
MOHAMAD Zabawi Abdul Ghani memberikan taklimat ringkas proses penyelidikan varieti durian MS88 di Duriotourism MARDI, Kuala Kangsar. - Kredit foto: JMDT