Video| Masihkah kau ingat Permata Untuk Isteri? Ini sambungannya! Detik Cinta! Buah tangan Siso!
Published bySiso Kopratasa kembali dengan buah tangan terbaharu 'Detik Cinta' selepas lama tidak muncul dengan lagu baharu. - Kredit foto: Harian Metro
Tidak dinafikan muktahir ini sambutan terhadap lagu-lagu puisi dalam kalangan penggemar muzik tanah air agak suam-suam kuku berikutan kurang penghasilan lagu genre tersebut selain lambakan lagu dari pelbagai genre moden yang menguasai persada muzik tempatan ketika ini.
Siso Kopratasa atau Syed Indera Syed Omar yang terkenal dengan lagu-lagu puisi bersama kumpulan Kopratasa yang turut dianggotai Sani Sudin dan Usup sekitar tahun 90-an tampil mempertaruhkan buah tangan terbaharunya berjudul Detik Cinta selepas agak lama menyepikan diri.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan Kopratasa
Siso berharap 'Detik Cinta' mampu melekat di hati generasi muda.
Katanya, kesinambungan penghasilan lagu puisi perlu diteruskan bagi memastikan ia dapat dihayati serta diterima pendengar pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan muda yang ketika ini dihidangkan dengan terlalu banyak lagu pelbagai genre moden.
"Saya percaya lagu-lagu puisi ada pengikutnya tersendiri dan sudah sampai masanya lagu genre ini diberi nafas baharu agar bait-bait puisi yang mempunyai maksud mendalam dapat dihayati serta diterima generasi muda," jelasnya.
Dalam masa sama Siso berharap inisiatifnya menghasilkan Detik Cinta mampu menarik minat generasi muda untuk menghayati sekali gus mendapat tempat di hati generasi muda hari ini.
Selain itu, Detik Cinta juga diharapkan mampu mengangkat kembali lagu-lagu puisi dengan irama yang lebih segar dan bertenaga seterusnya mendapat tempat di hati semua golongan masyarakat bukan sahaja di negara ini malah di seluruh Nusantara.
Siso (kanan) bersama Usup (kiri ) dan Sani Sudin membentuk kumpulan Kopratasa yang popular dengan lagu puisi sekitar tahun 90-an. - Kredit foto: Astro Awani.
Sementara itu, penulis lirik Detik Cinta, Adi Syahid dan Alim Gutrah berkata, mereka memberi kesinambungan lagu Permata Untuk Isteri dan Detik Cinta dalam bentuk puisi kesufian dalam baik-bait liriknya.
Menurutnya, lagu tersebut merupakan sebuah puisi berbentuk luahan rasa cinta, syukur dan sayang daripada seorang isteri kepada suami dan lebih menarik lagi karya tersebut merupakan jawapan kepada lagu Permata Untuk Isteri yang pernah dipopularkan kumpulan Kopratasa yang diberi nafas baharu dengan sentuhan muzik pop Latin berlatarbelakangkan keindahan bunyian alat muzik soprano.
"Puisi Detik Cinta ini lebih terarah kepada kehidupan iaitu perjalanan hidup yang memerlukan cahaya biar pun sebesar lilin sebagai panduan meniti jalan yang penuh onak dan ranjau.
"Kerana itu terdapat bait perkataan 'Aku berjalan dalam kelam, meraba-raba sepanjang jalan, sekadar tahu tanpa mengenal, menyinta tanpa rasa'," katanya.
"Proses penghasilan Detik Cinta ini agak berbeza kerana prosesnya bermula dengan penulisan puisi terlebih dahulu berbanding dengan menghasilkan lagu daripada genre lain yang bermula dengan penciptaan melodi terlebih dahulu," kata Siso, memetik laporan Sinar Harian 12 April 2022.
Mengulas lanjut mengenai penerbitan melodi Detik Cinta terbitan Luncai Emas itu, beliau berkata, lirik karya yang disifatkannya sebagai istimewa itu dihasilkan oleh Adi Syahid dan Alim Gutrah sementara melodinya adalah hasil ciptaannya sendiri yang menjalani rakaman pada September 2021 di Kashfi Studio sebelum pelancaran video muzik dalam saluran YouTube Luncai Emas pada Februari 2022 lalu.
Katanya, penghasilan lagu tersebut mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar setahun bermula daripada kerja-kerja menghasilkan lirik, gubahan muzik, rakaman serta pembikinan vikeo klip dimana semua kerja-kerja tersebut dilakukan semasa tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penggemar lagu puisi boleh mendengar lagu Detik Cinta ini melalui semua platform muzik digital dan streaming manakala muzik videonya pula boleh ditonton melalui You Tube Luncai Emas. - KitaReporters
Siso berharap 'Detik Cinta' mampu menarik minat generasi muda untuk menghayati serta meminati lagu-lagu puisi.- Kredit foto : Shaphire