Video| Nak glamour dan camping? Jom gi glamping di Putrajaya! Boleh tidur di dalam khemah mewah!

Published by
KitaReporters

TAPAK glamping di Wetland, Putrajaya. - Kredit foto: Facebook.


INGIN mencuba pengalaman baharu tidur dalam khemah? Selama ini sudah biasa tidur selesa dalam bilik berhawa dingin. Pasti menarik mencari kelainan tidur dalam khemah di kawasan lapang terbuka bertemankan bulan bintang.

Rasailah pengalaman menyeronokkan ini sambil menikmati suasana outdoor di Wetland Putrajaya. Tidur dalam keadaan hening, tenang dan nyaman dikelilingi pokok-pokok hijau yang menyegarkan persekitaran.

Tidur di dalam khemah mewah dengan konsep ‘glamping’ ini adalah tarikan pelancongan baharu di Putrajaya yang memulakan operasi Disember 2021. ‘Glamping’ adalah gabungan konsep glamorous dan camping. 

Projek ini dicetus dan dilaksanakan oleh Perbadanan Purajaya (PPj) melalui projek dikenali sebagai Glamping@Wetland (GL@W).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan khemah

SUASANA indah di persekitaran kawasan perkhemahan glamping, Wetland, Putrajaya. - Kredit foto: RilekslahDotCom.



Jika anda menyangka khemah yang disediakan hanya biasa atau ala kadar seperti khemah zaman bersekolah, anda tersilap. Khemah bukan sebarangan tetapi lengkap dengan pelbagai kemudahan, seolah-olah seperti bilik hotel. Pendek kata khemah mewah.

Sesuai dengan konsep glamorous camping, khemah yang disediakan begitu glamor. Kelengkapan meliputi permaidani, pendingin hawa, buaian, spring bed dan tilam selesa. Bilik air berasingan tetapi dalam persekitaran khemah.

Jarang terdapat kemudahan serba lengkap dalam khemah. Tambah menarik ialah persekitaran yang membezakannya dengan bilik di rumah. Itulah matlamat PPj mencetuskan idea glamping, untuk membolehkan pengunjung mengharungi tidur malam dalam suasana berbeza. 

Pengunjung hanya perlu membuat tempahan. Selepas itu terus masuk sahaja ke dalam khemah. Segalanya sudah siap sedia.  

Bukan setakat menginap dalam khemah, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti berbasikal mengelilingi Wetland. Harga untuk aktiviti adalah berpatutan. Selain itu boleh menimati kehidupan alam semula jadi serta flora dan fauna. Mengenai makanan, jangan risau, ia disediakan.

Mungkin ramai yang bimbang aspek keselamatan bermalam dalam khemah di tempat terbuka. Tidak perlu risau. Pihak PPj memberi jaminan aspek keselamatan dan keselesaan sama sekali tidak diabaikan.


BAGAI bilik hotel mewah....kelengkapan di dalam khemah glamping di Wetland, Putrajaya. - Kredit foto Facebook. 


Projek khemah glamping yang telah mula menerima tempahan mulai Disember 2021, menyediakan 10 khemah dengan maksimum muatan sehingga 40 orang pada satu-satu masa. Ertinya purata satu khemah boleh memuat empat orang.

Untuk mereka yang berminat memasang khemah sendiri juga boleh berbuat demikian. Pihak PPj menyediakan 20 tapak perkhemahan untuk pengunjung memasang khemah persendirian.  

Ini adalah pilihan yang diberi oleh PPj kepada pengunjung yang tidak berhasrat tidur dalam khemah tersedia. Mereka hanya perlu mendirikan khemah di lot disediakan. Cuma khemah sendiri, kelengkapannya bergantung kepada diri sendiri.  

Apabila berkhemah, ambillah kesempatan melakukan pelbagai aktiviti atau riadah yang terdapat di sekitar kawasan perkhemahan dan Wetland. Antaranya ATV ride dengan bayaran RM100 sejam. Rasailah pengalaman merentas laluan ekstrem serba mencabar yang disediakan.

Selain itu boleh juga mengelilingi Taman Wetland menggunakan ATV. Biasanya satu pusingan memakan masa sejam. Bagi yang ingin menaiki basikal, boleh menyewa dengan kadar serendah RM5 untuk tiga jam.

Nampak begitu mengujakan menginap dalam khemah. Sewanya berbeza pada hari biasa dah hari minggu, dari RM168 hingga RM218 untuk dua hari satu malam. Juga ada potongan harga bagi kanak-kanak 13 tahun ke bawah. Harga termasuk sarapan, makan tengah hari buffet, minum petang dn makan malam.

Tentunya ramai yang tidak sabar untuk mencuba, terutama golongan yang sukakan kelainan atau gemar menerokai pengalaman baharu. Jika begitu, segera buat tempahan melalui talian 013-3478857 dan nikmatilah suasana menginap outdoor. Anda pasti teruja. - KitaReporters


Hendak berbasikal mengelilingi Wetland? Semua tersedia, sewa sahaja.--Kredit surgaroute.com


 

6
14
0
17
0

Copy Link: