Kanu Malaysia pula bergolak! Pemilihan 2021-2023 langgar nasihat PPS, dibantah Presiden Masca!
Published byDZULKAFLI Abas, Presiden Persatuan Kanu Malaysia mendakwa, berlaku pelanggaran perlembagaan Masca dalam AGM pemilihan secara maya pada 23 Mei 2021. - Kredit foto: FB Manjoe Masca
PERSATUAN Kanu Malaysia (Masca) tetap melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) pemilihan penggal 2021-2023 secara maya menerusi aplikasi Zoom, pada Ahad, 23 Mei 2021 biarpun Pejabat Pesuruhajaya Sukan (PPS) menasihatkannya ditangguhkan.
PPS dalam surat bertarikh 20 Mei 2021 oleh Timbalan Pesuruhjaya Sukan, Arrifin Mohd. Ghani berpandangan bahawa penangguhan itu perlu memandangkan pertikaian dalaman Masca yang masih berlarutan wajar diselesaikan terlebih dahulu.
Malah AGM yang dilaporkan oleh dipengerusikan Timbalan Presiden yang memangku tugas Presiden, Datuk Michael Wong Meng San, itu telah mendapat bantahan daripada Presiden Masca, Dzulkafli Abas yang mendakwanya tidak teratur, cacat, terdedah kepada manipulasi dan tidak sah.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
TANGKAP layar mesej laman sosial Persatuan Kanu Sarawak (Perkesa) mengesahkan berlangsungnya AGM pemilihan Masca itu. - Kredit foto: FB Perkesa
Laman Facebook Persatuan Kenu Sarawak (Perkesa) pada 24 Mei 2021 menyebut, AGM Masca itu tetap dijalankan pada 23 Mei 2021 dari pukul 10 pagi hingga 1 petang yang melibatkan ahli-ahli gabungan persatuan negeri yang berdaftar.
“Perkesa mengucapkan tahniah kepada barisan Exco baharu Masca bagi penggal 2021-2023 yang terdiri daripada Michael, Raja Shahrul Azremel Raja Sahar dan Muhamad Mohd. Hanif yang menang tanpa bertanding sebagai Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden baharu Masca.
“Michael mewakili Persatuan Kanu Johor, Shahrul (Kuala Lumpur) dan Muhamad (Pulau Pinang). Presiden Perkesa, Majais Bujang juga terpilih sebagai Naib Presiden 2 Masca secara menang tanpa bertanding,” lapor laman itu.
MEGAT D. Shahriman Zaharudin (kiri) dan Michael Wong Meng San (tiga dari kanan) dalam satu kejohanan di Putrajaya, beberapa tahun lalu. - Kredit foto: AK
Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin meletakkan jawatan sebagai Presiden Masca pada 24 April 2020 atas alasan tidak bersependapat dan gagal sepakat dengan Ahli-ahli Exco Masca yang lain.
Beliau menerajui Masca sejak 17 November 2018 selepas menewaskan Dzulkafli daripada Persatuan Kanu Terengganu dengan majoriti 37 undi bagi menggantikan Datuk S. Subramaniam yang tidak mempertahankannya dalam mesyuarat agung luar biasa pemilihan bagi penggal 2018-2021.
Dakwa Dzulkafli dalam suratnya pada 18 Mei 2021 kepada Michael selaku Timbalan Presiden Masca, “Fasal 7 (ix) perlembagaan Masca menyebut, jika seorang ahli jawatankuasa meninggal dunia atau meletak jawatan, calon kedua yang mendapat undi terbanyak dalam pemilihan lalu, hendaklah dipanggil memenuhkan kekosongan itu.
“Fasal 8 (i), Presiden dalam masa jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanannya dan disiplin ahli-ahlinya. Dia mempunyai undi pemutus dan mengesahkan pengundian (serta) menandatangani semua cek persatuan bersama-sama Bendahari.
TANGKAP layar mesej surat PPS yang menasihatkan AGM pemilihan Masca itu ditangguhkan sehingga pertikaian dalaman selesai ditangani.
Dzulkafli membuat dakwaan itu ketika menjawab surat Michael pada 17 Mei 2021 yang berkata, tiada keperluan untuk memaklumkan Dzulkafli yang hanya (mewakili) Persatuan Kanu Terengganu dan tiada locus standi untuk mencampuri pengurusan kerja ahli Jawatankuasa Induk Masca.
“Surat saya pada 11 Mei 2021 yang dirujuk (apabila Michael membalasnya) ditandatangani Dzulkafli Abas, Presiden Masca dengan menggunakan kepala surat rasmi Masca, tanpa melibatkan Persatuan Kanu Terengganu.
Kata Dzulkafli, “keputusan mengadakan AGM secara dalam talian tidak mendapat persetujuan mutlak ahli-ahi gabungan Masca malah enam daripadanya iaitu Terengganu, Pahang, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perak kurang menyetujuinya kerana akan menghadapi pelbagai masalah teknikal terutamanya dalam pengundian.
“Menggugurkan keahlian gabungan terhadap tiga negeri (antaranya) Negeri Sembilan dan Perak adalah tidak teratur, cacat dan melanggar perlembagaan Masca Fasal 8 (I).
“Keputusan itu yang dibuat oleh ahli jawatankuasa itu tidak sah dan semua surat yang ditandatangani pemangku Presiden dan pemangku Setiausaha adalah tidak teratur, salah dan tidak sah serta menyalah guna kuasa dengan pelanggaran peruntukan perlembagaan,” katanya. - KitaReporters
MASA depan dan perkembangan sukan kanu Malaysia mampu terjejas selagi pergolakan dalaman Masca terus berlarutan tanpa penyelesaian. - Kredit foto: FB Malaysia Canoe.