BADDROL Bakhtiar (8) dan Rizal Ghazali (kanan) mengawasi gerak-geri pemain Jordan, Musa Al-Tamaari. - Kredit foto: JFA


BADDROL Bakhtiar sentiasa setia dengan Kedah termasuk ketika ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe (TCH) melatih Lang Merah dari 2014 hingga 2017. 

Perantara berusia 33 tahun itu tidak pula tersenarai dalam baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai pada Jun 2021 dengan yang terakhir menyarung jersi negara ialah November 2019. 

Prestasinya tiba-tiba memuncak dengan meledak tujuh gol untuk muncul penjaring terbanyak pemain tempatan dalam Liga Super yang berakhir 12 September 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak

TAN Cheng Hoe (TCH) di kanan bersama-sama penolongnya, S. Balachandran (kiri). - Kredit foto: FAM


Hati Cheng Hoe kembali tertambat dan Baddrol membalas kepercayaan itu dengan rembatan kaki kiri yang membolosi gawang Uzbekistan dalam minit ke-45 pada 9 Oktober 2021 di Amman, Jordan.

Baddrol ialah antara tiga pemain negara yang diakui si pengendali pasukan negara sebagai memberikan impak membina dalam siri persahabatan tahap 1 antarabangsa termasuk menentang tuan rumah, tiga hari sebelumnya.

"Dia, Faisal Abdul Halim, Aidil Zafuan Radzak dan Luqman Hakim Shamsudin antara yang menyerlah. Mereka juga mempunyai ciri-ciri bekerja keras, berkeyakinan dan bersemangat sepasukan," katanya dalam sidang media secara dalam talian, kepada wartawan Malaysia.


FAISAL Abdul Halim (24) atau digelar Mickey, tidak gentar menggelecek pemain Jordan yang bertubuh besar pada penampilan sulung antarabangsanya. - Kredit foto: ADP


Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-154 dunia, dibelasah Jordan 4-0 dan Uzbekistan 5-1 yang masing-masing di ranking ke-93 dan 84 di Stadium Raja Abdullah II dan Stadium Antarabangsa Amman. 

"Segi statistiknya, kita tewas dengan sembilan gol iaitu angka yang besar. Namun berdepan dengan pasukan di ranking lebih tinggi, pasukan sudah banyak belajar sesuatu dan jadi pendedahan dan ujian penting.

“Ada kesilapan individu ketika menentang Jordan tetapi pemain negara menunjukkan kemajuan dan mengurangkannya ketika melawan Uzbekistan," kata Cheng Hoe.


KAPTEN negara, Aidil Zafuan Radzak (kanan) bersaing bola dengan kapten Uzbekistan, Eldor Shomurodov. - Kredit foto: ADP 


ALI Olwan (20) meraikan gol Jordan gara-gara kesilapan Irfan Zakaria (kanan) tertanduk bola ke belakangnya. - Kredit foto: JFA


Jendela perlawanan tahap 1 antarabangsa akan kembali dibuka Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada November 2021.

“Setiap kali menentang lawan yang lebih handal, kami juga perlukan mata untuk memperbaiki ranking pasukan kita,” katanya.

‘Misi Amman’ itu merupakan persediaan awal menghadapi Piala AFF di Singapura dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 dengan Malaysia menganggotai Kumpulan B di samping juara bertahan, Vietnam selain Indonesia, Kemboja dan Laos.

Misi Harimau Malaya berikutnya malah yang lebih penting ialah memburu tiket pusingan akhir Piala Asia 2023 di China menerusi pusingan ketiga kelayakan, kemungkinan pada Februari 2022.


GUILHERME de Paula (kiri) kempunan gol menentang Jordan dan Uzbekistan sejak kali terakhir menyudahi sepakan penalti terhadap Vietnam dalam kelayakan Jun 2021. - Kredit foto: JFA


Peliknya, Cheng Hoe masih mempercayai penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula biarpun media Malaysia dan warganet kerap mengecam prestasi dan sumbangannya yang tidak seberapa.

Bekas warga Brazil itu beraksi dalam kedua-dua perlawanan namun hanya masuk sebagai pemain gantian menentang Uzbekistan.

Dia juga sentiasa menjadi pilihan utama Cheng Hoe sejak siri persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain (23 dan 28 Mei 2021) serta kelayakan. 


PEMAIN Jordan, Ihsan Haddad menanduk bola tinggi ketika cuba disaingi pemain Malaysia antaranya Syafiq Ahmad (20). - Kredit foto: ADP


Hanya ketika menentang Uzbekistan, barulah Luqman Hakim Shamsudin dipertaruhkan dalam kesebelasan utama biarpun penyerang KV Kortrijk, Belgium itu digantikan kemudiannya atas sebab taktikal dan laluan pendedahan pemain lain.

Pemerhati bola sepak tanah air juga mempersoalkan mengapakah Dominic Tan, bek tengah kelab Liga Thailand, Police Tero FC kerap dipanggil Cheng Hoe bagi tugasan antarabangsa namun lebih banyak memanaskan bangku simpanan. - KitaReporters


UZBEKISTAN (jersi biru) jelas kreatif, bijak dan berkemahiran tinggi dalam membolosi gawang kawalan Khairul Fahmi Che Mat. - Kredit foto: JFA


SYAFIQ Ahmad (kanan) menerjah bola daripada kawalan perantara Uzbekistan, Akmal Mozgovoy. - Kredit foto: ADP

12
13
0
9
0

Copy Link: