Bonnie Bunyau Gustin menyumbangkan emas pertama kontinjen negara pada Sukan Paralimpik 2020, Tokyo. - Kredit foto: Bernama


Tidak ramai yang tahu, sebelum membabitkan diri dalam sukan angkat berat pada 2013, pemenang pingat emas pertama negara pada Paralimpik 2020, Tokyo, Bonnie Bunyau Gustin terlebih dahulu ‘mencipta nama’ sebagai  ‘mat rempit’.

Peminat tegar kepada pelumba MotoGP Itali, Valentino Rossi, Bonnie bersama rakan-rakannya sering mampamerkan ‘skil’ sebagai pelumba, sesuatu yang tidak dsenangi ayahnya, Gustin Jenang.

“Sebagai ayah, saya tak gembira melihat anak saya menjadi ‘mat rempit’. Jadi saya galakkan dia ikut saya berlatih (angkat berat). 

"Dia akhirnya sedar bahawa membabitkan diri dalam sukan lebih berfaedah daripada menjadi ‘mat rempit’,” kata Gustin sebagaimana dilaporkan oleh Borneo Post.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Bonnie Bunyau Gustin



Gustin ketika itu merupakan jaguh angkat berat atlet orang kurang upaya (OKU) atau atlet para negara sambil anak sulungnya, Bryan Junency juga sudah berjinak-jinak dengan sukan berkenaan.

Ternyata Bonnie membuat pilihan yang tepat. Mewarisi bakat ayahnya, dia cepat menyerap ilmu yang diturunkan kepada dirinya malah mula jatuh cinta dengan sukan itu sehingga mengambil keputusan menamatkan persekolahan setakat tingkatan 3 pada 2015 untuk memberi tumpuan kepada sukan angkat berat.

“Saya tidak minat belajar. Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada angkat berat dan memenangi pingat untuk Malaysia,” ujar Bonnie dalam satu temu bual bersama akhbar Star.


Keluarga Gustin - Bonnie, Gustin dan Bryan - mencipta sejarah apabila terpilih mewakili negara pada Sukan Para ASEAN 2017. - Kredit foto: Media sosial.


Pada Sukan Para ASEAN 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Bonnie bersama ayahnya, Gustin dan abangnya, Bryan mencipta sejarah apabila mereka bertiga dipilih mewakili negara.

Bonnie yang ketika itu berusia 18 tahun menyertai kategori 65kg sambil ayahnya, Gustin, 50, mengambil bahagian dalam kategori 59kg sementara Bryan, 20, dalam kategori 72kg.

“Ini adalah penyertaan kali ketiga saya pada Sukan Para ASEAN sejak pertama kali melakukannya pada 2009, tapi, ini pertama kali kami bertiga mengambil bahagian bersama.

“Saya bangga sangat dengan dua anak saya ini. Dapat tengok mereka cipta nama memang bagus. Saya ingat lagi, masa saya bawa mereka berdua ikut saya ke tempat latihan, Si adik, Bonnie selalu tengok abangnya, Bryan berlatih, lepas itu dia pun ikut,” kata Gustin menjelang temasya sukan itu.


Gustin memenangi pingat gangsa Sukan Para ASEAN 2017. - Kredit foto: MSN


Walaupun mereka terlepas peluang untuk mendapat pingat berganda namun Gustin yang memenangi pingat gangsa pada sukan itu dengan bebanan seberat 120kg tetap berbangga dengan pencapaian Bonnie yang menduduki tempat keempat dengan angkatan seberat 156kg.

“Amat menarik jika kami berdua memenangi medal tapi saya terima hakikat ia tidak berlaku pada hari ini. Saya harap medal yang saya menangi akan menaikkan semangat Bonnie untul memperbaiki kelemahannya,” kata Gustin.

Sejak itu, Bonnie hidup bersama impian ayahnya yang mahu melihat dirinya muncul sebagai juara dunia dan paralimpik.

Atlet kelahiran Kampung Baru Mawang, Serian, Sarawak itu tidak menunggu lama untuk memenuhi impian ayahnya apabila pada Kejohanan Angkat Berat Para Dunia Nur Sultan 2019 di Kazakhstan, dia mengejutkan banyak pihak dengan memenangi dua gelaran.

Selepas menjuarai kategori 65kg junior, Bonnie memeranjatkan juara Paralimpik, Paul Kehinde dan Liu Lei apabila memenangi emas kategori senior pula dengan bebanan seberat 207kg.


Bonnie membuat kejutan pada Kejohanan Angkat Berat Para Dunia Nur Sultan 2019 di Kazakhstan apabila membawa pulang dua pingat emas melalui kategori junior dan senior. - Kredit foto: MSN


“Saya gembira kerana dapat memenuhi impian ayah. Ia adalah impiannya, mahu saya menjadi juara dunia dan juara Paralimpik. Saya berjanji kepada diri saya untuk menjadikan impiannya sebagai kenyataan.

“Sekarang saya mahu memenangi Paralimpik untuk dia. Saya perlu bekerja keras,” kata Bonnie selepas pertandingan itu.

Ternyata, apa yang dikata, dikotakan oleh Bonnie apabila pada Sabtu, 28 Ogos, 2021 lalu, dia menyumbangkan pingat emas pertama negara pada Paralimpik 2020, Tokyo.

Atlet berusia 22 tahun itu memecahkan rekod Paralimpik apabila berjaya mengangkat seberat 228kg bebanan bagi kategori 72kg. Rekod Paralimpik bagi kategori itu sebelum ini dipegang oleh peserta Iran, Rasool Mohsin dengan angkatan seberat 227kg.

Walau bagaimanapun Bonnie gagal memecahkan rekod dunia, 230kg yang diciptanya pada Kejohanan Angkat Berat Para Piala Dunia 2021, di Dubai, pada Jun 2021 lalu.

Peserta China, Hu Peng yang menduduki ranking kedua dunia di belakang Bonnie memenangi perak sementara Mahmoud Attar dari Mesir, gangsa.


Pelumba MotoGP Itali, Valentino Rossi memberi inspirasi kepada Bonnie. - Kredit foto: Facebook


Sementara itu, Bonnie mendedahkan, dia memanfaatkan minatnya dalam permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) untuk meningkat daya tumpuannya.

“Selepas angkat berat, saya sangat menyukai permainan ini. Ia membantu saya meningkatkan tumpuan saya. Ia juga menangkan diri saya,” katanya.

Bonnie juga masih meminati perlumbaan motosikal dan mengikuti setiap perkembangan pelumba idolanya, Valentino Rossi.

“Dia (Rossi) memberi inspirasi kepada saya melalui kelajuannya. Dia memotivasi saya untuk melakukan yang terbaik,” kata Bonnie yang tergolong dalam kategori kerdil dengan ketinggian 132cm. - KitaReporters


PROFIL:

Nama: Bonnie Bunyau Gustin

Lahir: 3 Jun, 1999 (22 tahun)

Asal: Serian, Sarawak.

Tinggi: 132cm (4 kaki 4 inci)

Sukan: Angkat berat para

Pencapaian:

2021: Emas Paralimpik 2020, Tokyo

         : Emas Angkat Berat Piala Dunia Para, Dubai.

         : Emas Angkat Berat Piala Dunia, Bangkok

2019:  Emas Kejohanan Angkat Berat Dunia Para.

2018: Perak Sukan Para Asia

8
0
0
0
0

Copy Link: