Siapa teraju SAM 2020-2023? Undian Presiden terikat! Perlu buat pemilihan semula dalam 2 minggu
Published byJASNI Shafie (kiri) juga pengulas sambilan RTM dan Norismadi Abd. Manap. - Kredit foto SAM.
RUMAH sudah siap, pahat masih berbunyi! Sinisnya juga seperti dialog filem P. Ramlee, ‘Laxmana Do Re Mi’ - “di atas tanah bukan, di awang-awangan pun bukan!”
Buat pertama kalinya mesyuarat agung tritahunan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Kelana Jaya, Selangor pada 3 April 2021 gagal menentukan siapa Presidennya.
Ketiadaan klausa tertentu dalam Perlembagaan persatuan yang ditubuhkan pada 21 Februari 1969 ini sekiranya keputusan undi terikat, mengakibatkan tiada pemenang dapat dipastikan dalam persaingan kerusi No. 1 itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan SAM
Jasni Shafie
Pengundian semula segera bagi jawatan yang berkeputusan seri itu tidak dapat dijalankan kerana kebanyakan ahli SAM sudah pulang selepas menjalankan tanggungjawab untuk memilih saf kepemimpinan mereka bagi penggal 2020 (2021)-2023.
Bagaimana dengan undi pemutus khas atau veto Presiden? Banyak persatuan sukan yang mengamalkannya menurut Perlembagaan masing-masing termasuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Bolehkah lambungan syiling sebagai penentu? Pun tiada dalam Perlembagaan SAM tetapi inilah amalan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) sehingga Datuk Amarjit Singh dari Malaysia tewas dalam perebutan jawatan Presiden setelah terikat 21 undi dengan Osama Al-Shaffar di Dubai pada 22 Mac 2021 lalu.
NORISMADI Abd. Manap, Naib Presiden SAM penggal 2018-2020 (2021) mencabar Jasni Shafie dalam saingan satu lawan satu kerusi No. 1. - Kredit foto FAM.
Penyandang kerusi No. 1 SAM sejak 9 Jun 2018, Datuk Jasni Shafie daripada Northern Corridor Promotion (NCP) terikat 51 undi dalam persaingan satu lawan satu dengan pencabarnya, Norismadi Abd. Manap (Radio Televisyen Malaysia - RTM) yang juga Naib Presiden penggal sebelum ini.
Begitu juga satu daripada lima kerusi Ahli Exco - antara Ajitpal Singh Dhaliwal (New Straits Times - NST) dan Vikneswaran Raman (Bernama) yang terikat 57 undi.
BIODATA 'Kabinet Baharu SAM' gagasan Jasni Shafie bagi penggal 2020 (2021)-2023.
ANTARA calon yang menang, seri dan kalah dalam pemilihan Exco SAM pada 3 April 2021 di Kelana Jaya, Selangor. - Kredit foto FB Rizal Sarbini.
Ahmed Faisal Jamal (RTM) pula memenangi satu lagi persaingan satu lawan satu bagi kerusi Timbalan Presiden yang kekosongan dengan menewaskan Naib Presiden terdahulu, Izahar Atan (Karangkraf), 55 berbalas 47 undi.
Faisal sebelumnya ialah Setiausaha Agung SAM - jawatan yang kini secara rasminya dimenangi tanpa bertanding oleh Asan Ahmad (hubmedia), begitu juga Bendahari SAM menjadi milik automatik Azhari Mohd. Yusop daripada Sports Images Malaysia.
Saingan tiga penjuru Naib Presiden SAM pula dimenangi Mohd. Hazreen Nor Mubarak (TV3) dan Mohd. Hafizal Hamad (Astro Arena) dengan 84 dan 58 undi, mengatasi Hussain Said (Berita Harian), 41 undi.
SAM ditubuhkan di ibu pejabat NST, Kuala Lumpur pada 21 Februari 1969 dengan Presiden pertamanya, Norman Siebel.
Menurut Pendaftar Pertubuhan (ROS), SAM perlu mengadakan pemilihan semula bagi kedua-dua jawatan yang keputusan undinya terikat itu dalam tempoh dua minggu.
Bekas Presiden SAM, Mustakim Aminuddin berkata, “berdasarkan pemilihan semalam (3 April 2021), wakil media elektronik menguasai hierarki SAM penggal ini.
“(Sepatutnya) keseimbangan perlu ada antara wakil media cetak, TV dan online,” kata bekas Pengarang Sukan Utusan Malaysia yang pernah menerajui SAM dari 2002 hingga 2004 ini.
MUSTAKIM Aminuddin, Presiden SAM 2002-2004 dan Abu Bakar Atan (kiri). - Kredit foto rizalhashim.blogspot.com
Mustakim mengulas: “Inilah kali pertama juga (setahunya) kedua-dua wakil RTM boleh bersaing sesama sendiri bagi jawatan Presiden.
“Sedangkan tradisi lalu, kalau orang media cetak yang pegang tampuk SAM, yang kedua (Timbalan Presidennya) mewakili media elektronik, begitulah sebaliknya.
“Barulah kukuh kedudukan SAM dari segi pentatbiran dan kewangan rasanya tidak akan timbul masalah,” katanya.
Beliau turut tertanya-tanya apakah punca sebenar pemilihan SAM ini boleh berpecah kepada dua kumpulan.
“Adakah kerana kewangan sudah banyak (sumber dana dan penajaan SAM)?
“Atau mungkinkah disebabkan program SAM sekarang didapati kurang giat dijalankan atau kurang menarik minat para ahli,” katanya yang kemudiannya digantikan Abu Bakar Atan (ketika itu TV3) pada 2004.
‘Burn’ (gelaran glamornya) iaitu abang kepada Izahar kemudian memberikan laluan kepada Naib Presiden Kanan dan Majalah Astro Arena, Ahmad Khawari Isa mengambil alih lalu menyandangnya selama lima penggal berturut-turut sejak 2009. - KitaReporters
WAJAH terbaharu Mustakim Aminuddin.
EXCO SAM 2020 (2021)-2023:
Presiden: Datuk Jasni Shafie (NCP) atau Norismadi Abd. Manap (RTM)
Timbalan Presiden: Ahmed Faisal Jamal (RTM)
Naib Presiden: Hazreen Nor Mubarak (TV3) dan Mohd. Hafizal Hamad (Astro Arena).
Setiausaha Agung: Asan Ahmad (hubmedia)
Bendahari: Azhari Mohd. Yusop (Sports Images Malaysia)
Ahli Exco: Zuriati Zulmi (Bernama), Wan Nor Bazly Wan Azmi (Astro Arena), Ku Mohd. Lufti Ku Yahya (Sports247), Mohammad Rozaidi Zulkifl (Utusan Malaysia), Ajitpal Singh Dhaliwal (NST) atau Vikneswaran Raman (Bernama).
IZAHAR Atan (kiri) dan Jasni Shafie mempunyai hubungan baik dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Jawatankuasa Medianya yang diketuai A. Christopher Raj (dua dari kanan) ketika penganjuran Seminar Pengadilan dan Undang-undang Bola Sepak 2020. - Kredit foto SAM.
PRESIDEN-PRESIDEN SAM:
1969: Norman Siebel
1969: Datuk Rahim Razali
1978: GS Kler
1980: Zainuddin Bendahara
1990: Datuk Fauzi Omar
1998: Zainuddin Bendahara
2000: Shaukei Kahar
2002: Mustakim Aminuddin
2004: Abu Bakar Atan
2009: Ahmad Khawari Isa
2018: Datuk Jasni Shafie
ANTARA mantan Presiden SAM seperti Mustakim Aminuddin (empat dari kiri), Datuk Rahim Razali, Ahmad Khawari Isa dan Abu Bakar Atan bergambar bersama Yang di-Pertuan Agong pada majlis Anugerah SAM 2018. - Kredit foto SAM.