Adam Corrie bosan asyik terima watak jahat! Mahu cuba watak berbeza! Nak bukti bakat lakonannya!
Published byPELAKON lelaki, Adam Corrie bosan kerana selalu menerima watak jahat dan antagonis yang begitu sinonim dengan imejnya.
Popular dengan watak Dragon dalam Filem KL Gangster, pelakon berusia 54 tahun itu berharap dia mampu lari daripada stereotaip tersebut demi mengembangkan lagi bakat dan kebolehan lakonannya dalam pelbagai jenis watak.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelakon Adam Corrie
Adam Corrie Lee Abdullah merupakan seorang pelakon lelaki
Malaysia. Dilahirkan dalam keluarga berbangsa Cina yang asalnya beragama Buddha
di Pulau Pinang. Merupakan seorang anak tentera, beliau mampu berbahasa
Kantonis, Hokkien, Inggeris dan Melayu dengan baik sekali.
Beliau terkenal dengan peranan antagonis dan telah berlakon
sebanyak 31 buah filem seperti Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL
Drift dan KL Gangster.
“Asal watak jahat saja muka saya. Saya sebenarnya bosan, kadang-kadang persepsi orang melihat saya ini memang jahatlah, tolong bagi saya watak baik pula," katanya ketika majlis pelancaran dan sidang media telefilem Bangkitkan Aku Kembali, Rabu 8 Jun 2022 lalu.
Inginkan perubahan, beliau berharap pihak produksi khususnya pengarah dan penerbit memberi peluang kepadanya untuk meneroka karakter lain dalam mana-mana karya selepas ini.
Jelasnya, baru-baru ini beliau ada menerima satu tawaran
lakonan dan tawaran tersebut juga memintanya untuk memainkan watak antagonis.
“Saya dapat watak jahat juga. Ia watak anggota pasukan
beruniform tetapi watak antagonis,” tambahnya.
Selain itu, dia tidak kisah sekiranya diberikan watak jahat
dan menganggap itu adalah rezeki yang dikurniakan dan amanah pengarah untuk
membawakan watak tersebut.
“Saya bukanlah terlalu memilih watak tertentu, asalkan saya boleh bawakan watak itu dengan baik dan orang terima. Saya hanya ingin cuba watak lain dan buktikan kepada orang ramai kebolehan dan bakat lakonan saya.” katanya.
Sebagai seorang pelakon, dengan memainkan watak yang berbeza
ia sekali gus dapat membuktikan dirinya mampu memainkan pelbagai jenis watak
bukan sahaja watak jahat mahupun antagonis.
Justeru, hasratnya tercapai apabila dia ditawarkan watak
yang diimpikan menerusi filem seram terbaharu “Bangkitkan Aku Kembali” yang
akan memulakan pergambaran Isnin, 13 Jun 2022 ini.
Menerusi filem berkenaan, pelakon itu akan membawakan watak
seorang ustaz yang mempunyai ilmu perubatan Islam.
“Saya ingin sangat watak orang baik macam ustaz dan akhirnya
saya dapat untuk telefilem Bangkitkan Aku Kembali. Saya ingin sangat orang
melihat saya boleh membawa watak lain selain antagonis.
“Biar orang nampak saya dengan watak berbeza. Saya pun banyak buat forum di masjid, surau dan universiti” jelasnya.
Tambahnya, ini merupakan kali pertama beliau memegang watak
sebagai seorang ustaz dan beliau sangat teruja untuk membawakan watak Ustaz
Daniel.
“Sangat teruja ditambah pula penampilan saya sebagai ustaz
dalam cerita ini bukan seperti ustaz klise yang memakai jubah, berserban atau
memegang tasbih.
“Agak mencabar tetapi inilah yang saya nanti-nantikan selama
ini, sekurang-kurangnya dapat lari dari kebiasaan,” ujarnya lagi.
Selain Adam, Bangkitkan Aku Kembali yang bakal ditayangkan tidak lama lagi di Astro First turut menampilkan lakonan Amy Nur Tinie, Aishah Azman, Danial Dashuki dan ramai lagi. - KitaReporters