Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, tidak terkecuali Malaysia memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental rakyat.

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada bulan September 2021, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan menerima sejumlah 638 kes bunuh diri sepanjang tujuh bulan pertama 2021 berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.

Sehubungan itu masyarakat diseru untuk lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga dan orang sekeliling bagi mengenal simpton awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri ketika pandemik COVID-19.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan komposer Ajai


Ulasan Ajai terhadap Hazama dicatatkan dalam laman Instagramnya.


Berdasarkan kepada situasi seumpama, komposer terkenal, Ajai atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Maas hadir dengan ciptaan lagu terbaharunya untuk penyanyi Hazama diberi judul ‘Rasa Tak Menipu’.

‘Rasa Tak Menipu’ berkisar tentang kisah keperitan dan konflik dalam diri yang dihadapi seseorang dalam dunia percintaan.

“Selepas melalui fasa pandemik, saya rasa terpanggil untuk mengetengahkan isu kesihatan mental kerana ia sangat bahaya. Kita semua pernah melaluinya dan faham sangat perasaan kehilangan yang tersayang,” ujar Ajai sambil memaklumkan lagu tersebut berkait tentang konflik dalaman yang dirasai apabila seseorang yang dicintai berlalu pergi secara mengejut sehingga kita tidak dapat menerima hakikat itu, dan menderita kerananya.

Lagu  yang ditulis liriknya oleh Ajai sendiri di bawah terbitan usaha sama labelnya, Wake The Baby Records dan Isk.Musik menyaksikan Hazama diberikan tanggungjawab menterjemahkannya melalui video muzik arahan Ramdhan Che Hassan.



Ia memberikan sudut cerita di mana watak Hazama yang pada mulanya tampak segak sebagai seorang penyiasat yang sedang menjalankan tugas untuk menyoal siasat seorang gadis, beralih arah apabila mereka bertukar peranan secara mengejut. 

Konsep tersebut mencerminkan bahawa setiap manusia mempunyai dua sisi berlainan dan setiap pertengkaran antara pasangan pastinya ada versi yang berbeza.

“Saya amat terkejut apabila mengetahui terdapat pelbagai jenis gangguan mental dan saya juga rasa orang ramai perlu ambil tahu dan kita semua perlu mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang apa yang menyebabkan berlakunya gangguan ini d ikalangan kita,” ujar Hazama.



Menurutnya, gangguan mental ini juga banyak yang menjadi punca kepada masalah keluarga dan rumah tangga,

"Itulah yg kami cuba gambarkan di dalam video muzik ini,” jelas Hazama.

‘Rasa Tak Menipu’ juga merupakan lagu tema untuk drama 'Epilog 3 Naga’ yang bakal disiarkan melalui Awesome TV (Astro Channel 123) dari 8 Julai hingga 10 Ogos 2022, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam. 

'Epilog 3 Naga’ juga akan menyaksikan Hazama kembali ke dunia lakonan sebagai Khalid, bersama-sama Che Puan Juliana Evans dan Syarul Ezani.

Video muzik untuk lagu ini juga boleh ditonton melalui saluran YouTube Universal Music Malaysia malah anda boleh mendengarkan ‘Rasa Tak Menipu’ melalui semua platform strim digital termasuk Spotify, Joox dan Apple Music.  - KitaReporters


9
12
0
14
0

Copy Link: