'Siapa Tak Mahu' tonton Tok Ti malam ini? Siti berlakon ke?
Published bySIAPA tak mahu tonton kan, apabila setiap kali penyanyi tersohor negara, Dato Seri Siti Nurhaliza melancarkan muzik videonya. Dan hari ini, penyanyi yang lebih mesra disapa Tok Ti ini tampil dengan video muzik rasmi terbaharunya dengan tajuk ‘Siapa Tak Mahu’. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan Siti Nurhaliza:
https://kitareporters.com/search?search=siti+nurhaliza
Bermula jam 9 malam ini, korang berpeluang menyaksikan video muzik terbaharu itu dalam saluran YouTube Siti Nurhaliza yang menampilkan pelakon Mira Filzah dengan arts muda, Hun Haqeem sebagai penggerak cerita.
Wow! satu pemilihan pasangan yang tepat bagi video muzik Tok Ti kali ini sebab kedua-dua artis ini memang popular waima diarahkan pula oleh pengarah berkalber dan kreatif, Ghazi Maslan.
Mesti korang tertanya-tanya kan apa mesej yang mahu ibu Siti Aafiyah yang sedang berehat ini mahu sampaikan?
Bertepatan dengan maksud di sebalik lirik lagu 'Siapa Tak Mahu', video ini menceritakan bagaimana sesebuah hubungan itu akan berjalan lancar sekiranya setiap pasangan mengambil sikap untuk menghargai dan berbuat baik.
Setiap hubungan pasti ada pasang surut tetapi sikap untuk berubah dan berusaha memperbaiki diri akan menyemarakkan lagi kasih sayang.
Mesej yang paling jelas di dalam lagu ni adalah jika mahukan pasangan yang baik kita juga perlu menunjukkan sikap yang sama.
Begitulah beberapa unsur nasihat yang cuba disampaikan dalam lagu ini. Macam bertepatan dan sesuai pula apabila Mira Filzah dipilih memandangkan pelakon terkenal ini baharu sahaja mendirikan rumah tangga, tak gitu?
Pasti ramai yang tak sabar menunggu pelancarannya malam ini kan?
Mengulas tentang video muzik terbaharunya ini, Dato’ Sri Siti Nurhaliza berkata:
“Penampilan saya di dalam video muzik ini agak berbeza kerana saya menjadi spy atau perisik dan memerhatikan gerak geri pasangan sedang bercinta, lakonan Mira Filzah dan Hun Haqeem. Saya juga mengenakan beberapa persalinan busana mengikut karakter."
Nah dapat juga korang tonton Tok Ti berlakon malah jadi perisik seperti 'Nora Zain' lak kan, walau pun sekadar melalui video muzik.
Apa pun sambung SIti, beliau berharap lagu dan video muzik ‘Siapa Tak Mahu’ akan sama-sama mendapat tempat di hati para peminat apatah lagi ia merupakan antara perancangan yang dilakukan beliau sebelum berehat lama, sekali gus memastikan karya darinya tetap berjalan.
Lagu ciptaan Omar K, John Jeevasingham dan Ikhwan Fatanna ini merupakan lagu ke-6 dari album ‘ManifestaSITI2020’ yang diberikan pendamping visual selepas muzik video ‘Anta Permana’, Kasihku Selamanya, ‘Terang’, '7 Nasihat' dan ‘Aku Bidadari Syurgamu’.
Pengarahnya, Ghazi Maslan, memberi garapan visual secara sinematik sesuai dengan mesej nasihat bersahaja yang cuba disampaikan.
Universal Music Sdn. Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd. selaku penerbit telah memberi kepercayaan kepada syarikat produksi, Zeel Production untuk menghasilkan video muzik ‘Siapa Tak Mahu’. Jadi tunggu jam 9 malam ini ya.
Untuk rekod, Tok Ti baharu sahaja menerima Anugerah Emas setelah album fizikal 'ManifestaSITI2020' berjaya mencapai jualan sebanyak 5,000 unit. - KitaReporters