OKU penglihatan, doktor gigi antara finalis Big Stage 2020!
Published byDAYA penglihatannya cuma 20% sahaja malah kabur sejak berusia 9 tahun akibat diserang penyakit molecular dystrophy yang tidak dapat diubati mengakibatkan saraf pada bahagian matanya rosak. Namun semangat untuk mencipta nama dalam bidang hiburan, tetap membara. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan Astro:
https://kitareporters.com/search?search=astro
Dinie Rashid mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan nyanyian bagi mempertaruhkan bakat muda generasi ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) pada program realiti “Big Stage 2020” yang bakal bersiaran mulai 16 Ogos 2020 ini. Malah jejaka berusia 28 tahun dari Pulau Pinang bernama penuh, Muhammad Dinie Abdul Rashid ini menjadikan kejayaan Azmi Saat dari Caliph Buskers sebagai inspirasi untuk berjaya, walaupun bergelar orang kurang upaya (OKU).
“Sudah lama sebenarnya saya ingin ke pentas hiburan tetapi disebabkan saya OKU, saya rasa segan dan tidak berani untuk muncul di persada seni perdana melainkan mencipta lagu dan menyanyi sendiri di YouTube,” ujar Dinie yang merupakan satu-satunya peserta OKU antara 12 finalis ‘Big Stage 2020’ ketika ditemui baru-baru ini.
Single Dinie yang dinyanyikan bersama rakannya yang juga OKU, Khairil Azreen Jasni aka Khai meledak melalui lagu ‘Bukan Cinta Aku’, yang dijadikan runut drama atas nama sama menerima lebih 2.8 juta tontonan dalam YouTube dan sudah tentu itu antara kejayaan yang terus membangkitkan semangatnya untuk aktif.
Kemudiannya, lagu solonya, 'Pemilik Segalanya’ ciptaan Adi Six Sense dinyanyikan sebagai sekalung ingatan untuk tragedi pesawat MH370.
Kini bernaung di bawah label LOL Entertainment, Dinie sudah bersedia untuk tampil ke pentas dan berhadapan dengan orang ramai namun tidak mahu unsur simpati menjadi punca meraih perhatian dalam ‘Big Stage 2020’.
“Sebelum ini saya sering rasa tidak mampu dan malu mahu bersaing dengan orang normal tetapi berpegang kepada kata-kata Imam At-Tarmizi ‘Jangan pernah lawan kehidupan’ , itulah yang membangkitkan semangat saya untuk lawan rasa rendah diri,” tambah Dinie yang masih aktif bergiat sebagai penceramah motivasi.
Menurut ikon bagi program ‘Kau Sumber Inspirasi Ku’ Persatuan Siswazah Wanita Malaysia ini, beliau mahu bakatnya dinilai mengikut kemampuan dan bukan meraih simpati daripada undian orang ramai.
Sementara itu, Jika Dinie Rashid seorang OKU, berlainan pula kedudukan pesaingnya, Muhammad Hafiz Zainal, 28, yang merupakan seorang doktor gigi. Wow! Dah jadi doktor pun nak masuk ‘Big Stage 2020’?
“Saya memang minat menyanyi sejak berusia lima tahun malah sudah sebati dalam jiwa dan darah daging saya,” ujar pemenang tempat ketiga dan penerima trofi Persembahan Terbaik di Bintang RTM 2008 ini.
Menurutnya, walau pun sudah mempunyai empat single namun beliau tetap mahu menguji bakatnya dalam Big Stage sebagai satu lagi batu loncatan untuk lebih dikenali, sekali gus membuktikan dia pun layak bersama mewarnai industri hiburan tanah air.
Bercerita lanjut, Hafiz Zainal memberitahu, percubaaannya untuk memasuki Big Stage berjaya selepas dua kali gagal pada sesi uji bakat dua musim terdahulu.
“Begitu juga dalam kerjaya sebagai doktor gigi, dua kali saya gagal tetapi akhirnya berjaya juga selepas mengharungi beberapa rintangan,” tambah Hafiz sambil menyifatkan sifat jangan mudah putus asa menjadi pegangannya.
“Bagi saya kerjaya sebagai doktor gigi dan menyanyi saling komplimen satu sama lain, tidak sedikit pun menganggu,” sambung Hafiz yang pernah berpadu suara dengan penyanyi Maher Zain.
Pernah tular gara-gara video nyanyian duet bersama penyanyi Shiha Zikir menerusi lagu ‘Terlanjur Cinta’ yang dirakamkan di sebuah klinik gigi, Hafiz mengidamkan peluang untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Barangkali dengan menanam sikap tidak mudah putus asa, impiannya itu mampu diraih apatah lagi beliau pernah meraih beberapa kemenangan antaranya meraih tempat kedua dalam pertandingan pencarian bakat anjuran syarikat rakaman Awakening Records di Mesir pada tahun 2013.
Selain itu, beliau merangkul kemenangan kategori Nova Media Sosial pada Anugerah Planet Muzik 2013 menerusi rakaman lagu ‘Sedetik Lebih’ nyanyian asal Anuar Zain, sekali gus menewaskan saingannya dari Indonesia dan Singapura.
Wah! Lagu Anuar Zain gitu…. Apakah Hafiz Zainal mempunyai suara mirip Anuar Zain dengan gaya yang tersendiri?
Saksikan Hafiz serta Dinie bersama 10 finalis lain dalam ‘Big Stage 2020’ pada 16 Ogos 2020 nanti melalui saluran Astro Ria dan Astro Ria HD. Klip sedutan aktiviti perkembangan para bintang ketika membuat persiapan dan latihan menjelang konsert mingguan dapat ditonton melalui liputan kapsul harian ‘Studio Big Stage’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 6.30 petang bermula 10 Ogos 2020 ini.
‘Big Stage 2020’ masih mengekalkan format asal penjurian yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu berdasarkan pemarkahan oleh barisan juri profesional dan undian peminat secara online.
Untuk bahagian pertama, 100% keputusan ditentukan oleh juri yang akan menilai para bintang berdasaran kriteria yang telah ditetapkan sewaktu persembahan mingguan. Tiga bintang yang mendapat undian terendah akan melalui proses penjurian untuk bahagian kedua yang ditentukan berdasarkan undian peminat secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK di mana bintang yang mendapat undian terendah akan disingkirkan.
Pun begitu, berhadapan dengan norma baharu, tahun ini bakal menyaksikan lima ahli panel menganggotai barisan juri iaitu tiga juri tetap, seorang juri jemputan dan seorang presiden netizen. - KitaReporters
Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal (depan,dua dari kiri) bersama barisan juri, tenaga pengajar, hos dan team produksi 'Big Stage 2020'.