Kerjaya seni Meerqeen memuncak laju! Dapat perhatian! Modus Operandi mahu tawan pasaran Indonesia!
Published byBARANGKALI peluang yang diberikan melangkaui jangkauannya, apatah lagi usia pembabitannya dalam bidang seni masih lagi dikira hijau. Namun, itulah yang dinamakan tuah dan rezeki.
Terlebih dahulu mencipta fenomena menerusi drama rantaian, Melur Untuk Firdaus, kerjaya seni Meerqeen memuncak laju dan di luar jangkaannya, bakatnya turut menarik perhatian produksi Indonesia.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelakon Meerqeen
Lakonannya dalam drama Melur Untuk Firdaus menarik perhatian peminat di Indonesia dan kini berpeluang bekerjasama dengan produksi di sana.
Bertitik tolak daripada kunjungan pertama untuk sesi bertemu peminat di Jakarta, rezeki Meerqeen terbuka luas apabila diberi kepercayaan untuk menjayakan produksi di sana.
“Memang ini pengalaman yang menarik dan tidak dapat dilupakan. Saya gembira kerana kerja keras selama ini tanpa disangka membuka mata ramai, termasuk produksi luar yang mula menyedari kehadiran dan mempercayai bakat saya,” ungkap Meerqeen.
Rezeki Meerqeen semakin meluas di Indonesia.
Dia yang baru sahaja pulang ke Kuala Lumpur dari Jakarta, awal bulan ini begitu teruja berkongsi pengalaman menjayakan sebuah web drama untuk Bank Rakyat Indonesia (BRI).
Sudah pasti sebagai pelakon baharu, Meerqeen berbangga apabila mendapat tawaran itu, tambahan pula diberi kepercayaan bergandingan dengan ramai pelakon handalan dalam produksi tersebut.
Jelasnya, web drama berjudul Modus Operandi itu bukan sahaja membuka langkah pertamanya ke sana, tetapi juga memberikan pengalaman baharu untuk terus meneroka peluang kerjasama dengan produksi lain di Indonesia.
Banyak mendapat tawaran berlakon di Indonesia dan Meerqeen berhati-hati membuat pilihan bagi menjaga prestasinya.
"Sebelum ini, saya ke sana untuk bertemu dengan peminat dan memenuhi pelbagai undangan rancangan TV. Rentetan daripada kunjungan pertamaitu, lebih banyak rezeki yang mula terbuka untuk saya mencuba.
“Sudah pasti sebagai pelakon baharu, saya gembira dengan tawaran yang datang. Mereka nampak sesuatu dalam diri saya dan ia merupakan penghormatan yang besar, terutama apabila dapat bekerjasama dengan Bank Rakyat Indonesia,” kata pelakon berusia 21 tahun ini.
Modus Operandi yang menjalani penggambaran selama seminggu di Jakarta turut dibintangi Krito Immanuel, Yusuf Mahardika, Diandra Agatha dan Maudy Effrosina.
Menariknya, Meerqeen diberikan peranan sebagai teraju utama dalam drama berkenaan dan gembira dapat bekerjasama pengarah yang cukup berpengalaman iaitu Makbul Mubarak.
Meerqeen adalah peneraju utama untuk web drama Modus Operandi.
“Memang saya teruja, pada masa sama gemuruh untuk bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman. Ini merupakan produksi pertama saya di sana dan sedikit sebanyak ada perbezaan ketara, terutama dalam cara kerja.
“Tapi, saya gembira kerana mereka banyak membantu, terutama semasa proses praproduksi. Kami terlibat dalam sesi latihan bagi melicinkan proses seterusnya. Ini memang memberikan pengalaman berharga buat saya,” tambahnya lagi.
Meskipun drama berkenaan masih belum ditayangkan, Meerqeen bersyukur apabila dirisik oleh beberapa produksi lain yang melihat potensi dirinya untuk terus menyerlah dalam bidang lakonan dan pengacaraan.
Meerqeen turut ditawar untuk menjadi pengacara bagi sebuah program TV di Indonesia.
Tambahnya, dia masih memikirkan tawaran yang diterima, namun tertarik dengan sebuah produksi yang berminat menggunakan khidmatnya sebagai pengacara untuk sebuah program TV.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan beberapa tawaran yang
diterima. Kalau kena dengan masa dan jadual, pasti saya akan terima. Apa sahaja
perkembangan nanti akan diumumkan kepada semua.
“Terima kasih kepada semua pihak, terutama peminat yang sentiasa
menyokong kerjaya seni saya. Tanpa sokongan dan doa semua, tidak mungkin saya
mampu melangkah sejauh ini.
“Kepercayaan yang diberikan ini membakar semangat saya untuk terus berusaha keras dan membuktikan kehadiran saya dalam bidang seni bukan main-main. Saya mahu serius menjadi insan seni yang disegani,” katanya lagi.
Sebagai info, Modus Operandi akan mula ditayangkan pada 4 November 2022 menerusi saluran YouTube BRI. - KitaReportersMenghargai sokongan peminat kerana kerjayanya kini semakin mendapat perhatian ramai.