Ajal itu pasti. Tuhan akan menjemput kita kembali, tidak dicepatkan atau dilewatkan sesaat.

Begitulah yang dialami salah seorang anggota kumpulan Indigo, Badrul Izhan Yeop Abdullah, lebih dikenali sebagai Bad Indigo, 48, yang dipanggil Ilahi ada hari Jumaat, 26 Oktober 2023 lalu kira-kira jam 7 malam.

Bad Indigo, yang mengalami masalah jantung dan kencing manis sehingga menyebabkan empat jari kakinya terpaksa dipotong pada Mac 2021, menyedari usianya tidak panjang.

Namun Bad berharap agar jemputan menemui Ilahi dapat ditunda beberapa bulan lagi.

Bad Indigo kempunan tak dapat melihat single Indigo dilancar

Ini kerana lagu ‘single’ kumpulan Indigo akan dilancar tidak lama lagi, selewat-lewatnya pada bulan Disember 2023. ‘Single’ terbaharu Indigo amat bermakna bagi Bad. Ini kerana Bad sendiri mencipta lagu ‘Izinkan Aku’.

‘Izinkan Aku’ adalah ‘single’ terbaharu kumpulan Indigo, yang dari empat anggota menjadi tiga anggota, sejak tahun 2000. Bad adalah anggota yang paling teruja bagi menghasilkan ‘single’ ini kerana dia merupakan pengasas kumpulan Indigo yang memperjuang muzik R&B balada sejak 1995.

Rakaman vokal diadakan berasingan kerana masing-masing anggota mempunyai halangan masing-masing seperti Zam tinggal di Johor.

Rakaman video (video clip) dijangka berlangsung beberapa minggu lagi sebelum majlis pelancaran dalam bulan Disember 2023.

Namun hajat Bad tidak kesampaian. Klip video Indigo hanya akan dijaya dua anggota iaitu Shah dan Zam. 




Dalam kalangan mereka yang mengenali Allahyarham, Bad Indigo diketahui tidak mahu menyusahkan orang lain atau bersimpati dengan masalah kesihatan yang dihadapi sehingga perlu menggunakan ‘walker’ untuk mencari nafkah.

Baginya apa yang dialami adalah ketentuan Allah dan perlu disyukuri dan ada hikmahnya.

Penyertaan Indigo dalam Gegar Vaganza musim ke-7 pada 2020 mempertemu Bad dengan penyanyi Ashira. Ashira berjaya menduduki tempat ketujuh namun kumpulan Indigo tewas pada minggu ke-4.

Kedua-duanya menjadi pasangan suami isteri pada 11 Mac 2021 dan berpisah secara baik pada Jun 2022. Bad enggan Ashira terbeban menjaga tahap kesihatannya dan dan mahu Ashira memberi tumpuan dalam bidang nyanyian. 

Meskipun sudah bercerai, Ashira tetap hadir di Tanah Perkuburan Kota Damansara, Petaling Jaya pada Jumaat, 27 Oktober 2023 bagi memberikan penghormatan terakhir buat bekas suaminya, Allahyarham Bad Indigo.


Ashira dan Bad Indigo berpisah secara baik

Pada Mac 2021, Bad melakukan pembedahan memotong empat jari kaki sebelah kiri akibat penyakit diabetes dan perlu menggunakan 'walker' bagi memudahkannya untuk berjalan.

Susulan itu, Bad berdepan dengan kecacatan kekal dan terpaksa memohon status Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Bad Indigo bersama anak-anak, Rayyan dan Rania.

Sementara itu anak sulung Bad Indigo, Rayyan, 14, berkongsi perbualan terakhir bersama bapanya pada petang Khamis yang mahu menghadiahkan sepasang kasut bola sepak dalam tempoh dua hari.

Selain Rayyan, Bad juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Rania.

Sementara itu, ibu Bad, Sharizan Abdul Ghani amat terasa kehilangan anak kesayangannya. Menurut Sharizan, Bad anak soleh dan sering membawa dirinya berjalan-jalan. Dan Shariza pula menjaga makan minum Bad Indigo. - KitaReporters


Sharizan Abdul Ghani cukup terkesan kepergian Bad Indigo yang dianggap anak soleh

Sejumlah saudara mara, sahabat dan insan terdekat yang mengiringi pemergian Bad Indigo


16
15
0
10
0

Copy Link: