Bakal jadi jutawan! Juga dapat kereta jenama luar negara! Bawa pulang emas Sukan Olimpik Paris 2024!
Published bySebagai usaha menyemarakkan semangat 26 atlet negara yang akan berjuang memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris, kerajaaan menawarkan hadiah wang tunai lebih RM1 juta jika ditunaikan bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beberapa syarikat swasta telah bersetuju menawarkan sejumlah wang tunai bagi menambah nilai insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang ditawarkan sebanyak RM1 juta bagi pemenang pingat emas di Sukan Olimpik.Menurutnya, tawaran yang diberikan syarikat terbabit menaikkan nilai insentif lebih dari RM1 juta bakal menguatkan semangat dalam kalangan 26 atlet negara dalam memburu pingat emas pertama negara di temasya sukan berprestij itu.
"Untuk sumbangan daripada pihak kerajaan, kita masih kekal dengan ganjaran RM1 juta cuma sekarang ini ada beberapa pihak swasta telah mula menghubungi Jawatankuasa Road To Gold.
"Mereka berminat untuk menambah nilai isentif yang sedia ada bagi tawaran kepada atlet yang akan membawa balik pingat emas pertama negara di Paris nanti.
"Pengumuman mengenai jumlah sebenar nilai lebih RM1 juta itu akan diumumkan oleh Jawatankuasa Road To Gold tidak lama lagi," ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Program Kemahiran Latihan Asas Sukan: Renang (KLAS Renang) Peringkat Parlimen Kota Melaka di RNJ Swimming Academy di Kota Laksamana, Melaka pada 13 Julai 2024.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Mengulas lanjut Hannah berkata, selain ganjaran wang tunai, atlet yang bakal mencipta sejarah negara turut ditawarkan sebuah kereta berjenama luar negara.
Tegasnya, setakat ini sasaran satu pingat emas adalah realistik melalui berbasikal trek dan badminton.
Begitupun katanya, sukan angkat berat dan terjun tidak boleh dinafikan mampu membuat kejutan menjadi penyumbang pingat emas pertama negara nanti.
"Harapan kerajaan dan rakyat dengan adanya sokongan Road To Gold ini atlet kita mempunyai peluang lebih cerah untuk bawa pulang pingat dan dalam sukan apa-apa boleh berlaku," katanya.
Tegasnya, misi menuai emas pertama tidak mustahil ditunaikan kerana kerajaan telah melengkapkan segala persiapan yang atlet perlukan termasuk latihan di luar negara.
"Kini terpulang kepada atlet kita untuk rampas emas dan kita minta seluruh rakyat Malaysia doakan kejayaan atlet kita yang akan ke Paris nanti," ujarnya.
Setakat ini, Malaysia telah memenangi 13 pingat Olimpik sejak Tokyo 1964 terdiri daripada lapan perak dan lima gangsa namun belum pernah meraih sebarang emas.
Seramai 26 orang atlet negara akan mengibarkan cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024 melibatkan 10 jenis sukan seperti terjun, renang, sukan pelayaran, menembak, berbasikal, angkat berat, badminton, golf, dan olahraga. - KitaReporters
FAKTA SUKAN OLIMPIK:
Barcelona 1992: 1 pingat gangsaAtlanta 1996: 1 pingat perak, 1 pingat gangsa
Beijing 2008: 1 pingat perak
London 2012: 1 pingat perak, 1 pingat gangsa
Rio de Janeiro 2016: 4 pingat perak, 1 pingat gangsa
Tokyo 2020: 1 pingat perak, 1 pingat gangsa