Bertanding atau tak! Boonchai sedia rebut No.1 Istaf! Sumali nanti dicalonkan? Kongres dicepatkan?
Published byABDUL Halim Kader (tiga dari kanan) berjabat tangan dengan Mohd. Sumali Reduan selepas sidang media pengumuman perkembangan terkini Piala Sepak Takraw Asia 2025 di Kuala Lumpur. - Kredit foto: Istaf
SIRI ‘perseteruan’ tradisi sepak takraw Malaysia-Thailand memasuki episod baharu apabila dijangka berlarutan dari gelanggang ke bilik mesyuarat agung pemilihan Kongres Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
Ketika Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM),
Datuk Mohd. Sumali Reduan masih berkira-kira, menanti ilham-ilham tertentu dan kalau-kalau
ada pencalonan namanya oleh negara ahli gabungan lain Istaf, Boonchai Lorhpipat
pula dikatakan sudah bersedia merebut kerusi Presiden persekutuan itu.
“Tunggulah kalau ada pencalonan mana-mana negara, ahli
gabungan (Istaf) ada lebih 40. Mungkin bukan saya, mungkin ada ramai dan negara
lain yang berminat, yang pasti Thailand berminat (namun pegawai negara itu) sudah
lebih 30 tahun pegang Presiden Istaf.
“Bukan mudah uruskan badan induk sepak takraw dunia (mengandungi) lebih 40 negara (ahli gabungan). Sudah tentu kena ada komitmen dan fokus (tetapi) saya tidak menolak kalau ada pencalonan negara lain untuk Malaysia. (Cuma) buat masa ini PSM tidak pernah melobi,” kata Sumali yang menerajui PSM mulai 12 Februari 2022 lalu.
BOONCHAI Lorhpipat juga pernah bergelar Timbalan Presiden Istaf sebelum dilantik sebagai Pemangku Presidennya malah sudah bersama persekutuan ini selama 33 tahun yang bermula dengan Setiausaha Agung. - Kredit foto: TAT
Boonchai yang juga Pemangku Presiden Istaf dan mantan Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) menurut Setiausaha Agung persekutuan, Datuk Abdul Halim Kader: “Sejauh ini saya tahu Boonchai akan bertanding jawatan Presiden. Dia orang lama Istaf dan Astaf (Persekutuan Sepak Takraw Asia).
“Saya bekerjasama dengannya lebih 30 tahun. Istaf terbuka dan bebas dengan sebarang nama yang mahu bertanding,” katanya yang juga Presiden Astaf dalam sidang media di Kuala Lumpur bagi mengumumkan persediaan Piala Sepak Takraw Asia Astaf dari 10 hingga 18 Mei 2025 ini.
Ahli perniagaan alatan sukan dari Thailand itu memangku kerusi No. 1 Istaf menerusi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif di Jinhua, China pada 4 Oktober 2023 ekoran kematian Presiden persekutuan rakan senegaranya, Charouck Arirachakaran pada 21 Ogos 2023 lalu.
Kepresidenan Istaf hanya pernah menyaksikan sekali Charouck ditentang namun
berjaya mempertahannya setelah menewaskan Karen Tanchanco-Caballero dari
Filipina 32-4 undi pada 29 Julai 2022 lalu dalam Kongres pemilihan penggal
2022-2026 juga di Bangkok, Thailand.
Boonchai merupakan Setiausaha Agung Istaf pertama ketika penubuhan persekutuan tanggal 5 Mac 1992 di Bangkok manakala Halim selaku Timbalan Setiausaha Agungnya.
MUHAMMAD Fariq Abdul Halim (kiri), Mohd. Sumali Reduan dan Abdul Halim Kader dalam sidang media di Kuala Lumpur pada 11 Februari 2025. - Kredit foto: Istaf
Tegas Halim, setiap pencalonan bagi semua jawatan tertinggi Istaf masih perlu mengikut proses dan prosedur tertentu seperti mana badan-badan induk sukan antarabangsa lain dan tidak boleh dibuat sesuka hati.
“Calonnya juga kena tahu sama ada dia berkebolehan atau tidak,” kata Halim, merujuk kepada Sumali yang juga Naib Presiden Istaf (dilantik) dan Boonchai yang turut menyandang jawatan Setiausaha Agung Astaf.
Tarikh sebenar Kongres baharu Istaf yang mungkin dipercepat dari penggal yang dijadual berakhir 2026 katanya, akan ditentukannya bersama Timbalan Presiden Persekutuan, Muhammad Fariq Abdul Halim dalam kunjungan ke Thailand, tidak lama lagi.
“Kami akan sampaikannya kepada Boonchai selaku Pemangku Presiden Istaf. (Kongres) pemilihan ini (juga) bagi semua jawatan, bukan hanya Presiden,” kata Halim, 74, yang walau bagaimanapun menolak andaian bahawa beliau turut mengintai jawatan utama itu.
Malah Kongres pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Astaf 2025-2029
pula katanya, mungkin dijadualkan dalam sebulan dua lagi atau yang terdekat sekali
ketika Piala Sepak Takraw Asia Astaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur ini.
“Dalam proses Kongres, tiap-tiap negara boleh calonkan pegawai-pegawai tinggi mereka apabila permohonannya dibuka. Malaysia boleh calonkan Sumali. Sejauh ini saya melihat hanya seorang (calon) selepas saya bekerjasama dengannya dan yang boleh PSM kemukakan secara rasmi serta mendapat sokongan melalui pengundian,” katanya. - KitaReporters
PERANG servis tekong Piala Sepak Takraw Asia Astaf 2025 antara Zarif Marican Ibrahim Marican dari Malaysia (atas) dan Siriwat Sakha dari Thailand (bawah) pasti ditunggu-tunggu para peminat sukan ini di Stadium Titiwangsa, Mei ini.
PENGUMUMAN LAIN SIDANG MEDIA PSM-ISTAF/ASTAF
1. Kejohanan Sepak Takraw Dunia yang baharu pada 2026 akan menjadi medan ujian malah penetapan ranking serta penyertaan negara-negara
ke Sukan Asia Nagoya 2026. Fariq diberi mandat berbincang mengenainya dengan tuan
rumah Jepun pada 28 April hingga 3 Mei 2025 di Nagoya.
2. Jawatankuasa Induk Pengelola Piala Sepak Takraw Asia Astaf 2025 mengesahkan penyertaan 15 negara dalam empat acara khususnya regu yang diwajibkan, manakala acara pilihan/undangan ialah beregu (tujuh), kuadran (sembilan) dan berpasukan (lapan). Negara-negaranya ialah Malaysia, India, Singapura, Brunei, Iran, Myanmar, Indonesia, Vietnam, Jepun, Taiwan, Korea Selatan, China, Thailand dan Pakistan, manakala Filipina mendapat kelonggaran khas atas rayuan Jawatankuasa Olimpiknya dan sokongan Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria biarpun sudah melewati tarikh akhir pengesahan penyertaan 31 Disember 2024 lalu.
3-. PSM menyarankan bantahan video (video challenge) dipinda kepada dua kali bagi pasukan yang memenangi giliran pertamanya, manakala yang kalah akan tinggal hanya satu. Ketika ini bantahan kekal dua kali kepada yang menang mahupun kalah. Istaf dijangka meluluskannya dalam tempoh seminggu hingga sebulan dengan Piala Dunia Istaf di Bihar, India dari 20 hingga 25 Mac 2025 bakal jadi kejohanan pertama yang menggunakannya.
4. Senarai penyertaan dengan nama pemain, jurulatih dan pengurus setiap negara peserta Piala Sepak Takraw Asia Astaf perlu dihantar kepada Jawatankuasa Induk Pengelola PSM-Astaf sebelum atau pada 31 Mac 2025 bersama pengesahan tiket penerbangan.
5. Majlis undian dan pengenalan trofi serta logo Piala Sepak Takraw Asia Astaf ditetapkan pada 20 April 2025 (minggu ketiga Aidilfitri) di ibu negara.