Video| Sid Vicious tewas lawan kanser 3 tahun! Juara dunia 6 kali! Tapi tak dinobat termasyhur WWE!
Published byGARANG, besar, sasa, berkuasa dan juara dunia enam kali. Bukan sahaja di gelanggang Persekutuan Gusti Dunia (World Wrestling Federation atau WWF) bahkan di Gusti Kejuaraan Dunia (World Championship Wrestling atau WCW) dan Persatuan Gusti Amerika Syarikat (USWA).
Namun sehingga
menghembuskan nafas akhirnya pada 26 Ogos 2024 lalu, Sid Vicious masih tidak dinobatkan
sebagai anggota Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) Dunia Gusti Hiburan (World Wrestling Entertainment atau WWE – sebelumnya WWF).
Sejak 1993, dewan ini mengiktiraf dan menghargai jasa tokoh-tokoh gusti pro sama ada sebagai penggusti, pengurus, pengiring mahupun selebriti serta atlet sukan lain yang turut terbabit dalam pertunjukan sukan hiburan tersebut dengan penerima anugerahnya, dikurniakan sebentuk cincin khas berlogo WWE.
WAJAH-WAJAH dan watak-watak Sidney Raymond Eudy di dalam dan luar gelanggang, sebagai jagoan gusti pro, insan yang berhobi lasak dan datuk penyayang dari era 80-an hingga terkini. - Kredit foto: CMW
Menerusi laman sosial Instagram TheSychoSid pada 29 Julai 2024, Sid pernah mencatat, "semoga pada 2025 akan menjadi tahun saya dilantik ke dalam Dewan Kemasyhuran WWE. Masa semakin suntuk, jadi sama ada sekarang atau tiada langsung buat saya.
"Dengan Vince McMahon (bekas pemilik WWE) sudah berhenti, syarikat itu lebih terbuka dengan saranan. Triple H (Ketua Pegawai Konten dan Kreatif WWE) perlu mendengar suara peminat-peminat saya."
Sid yang setinggi 2.06 meter dan seberat 144 kilogram ini menewaskan Shawn Michaels dan Bret ‘Hit Man’ Hart untuk kejuaraan WWF itu pada 17 November 1996 dan 17 Februari 1997 serta Kevin Nash dua kali di WCW pada 2000.
Sidney
Raymond Eudy (nama sebenarnya) tewas dalam ‘pertarungan mutakhirnya’ kepada
penyakit barah (kanser) yang dihidapnya sejak 2021, menurut anak lelaki bongsunya,
Gunnar Eudy menerusi laman sosial Facebook.
Mendiang yang pergi selama-lamanya dalam usia 63 tahun di Marion, Arkansas, Amerika Syarikat, meninggalkan seorang balu, Sabrina Paige, Gunnar dan abangnya, Frank Eudy.
SYCHO Sid menayangkan tali pinggang kejuaraan WWF. - Kredit foto: DCD
“Dia seorang
lelaki yang gagah, budiman dan penyayang serta ketiadaannya amat dirindui.
“Dia juga dikenalkan sebagai Sycho Sid (Si Psiko Sid) dan Sid Vicious (Sid Gila dan Sid Ganas) ke dunia tetapi kepada keluarga kami, dia memang Papa dan datuk tersayang,” catat Gunnar yang juga bekas penggusti pro.
GUNNAR Eudy (tengah) dan keluarganya. Dia juga pernah menggunakan gimik Lord Humongous (gambar atas, kiri baris bawah) dalam karier gusti pronya seperti bapanya pada 1987. - Kredit foto: GE
Sid pernah
didiagnosis dengan kegagalan jantung sesak pada 2016 dan perlu memakai sebuah
perentak jantung (pacemaker) malah lima tahun kemudian, dia didapati menghidap kanser limfoma bukan Hodgkin tahap empat, katanya.
“Walaupun
tidak pernah memberitahu sesiapa, perit jerihnya melawan kanser, Sid tetap
menjalani kehidupan sepenuhnya dengan ke gimnasium, menghadiri kelas tinju dan muncul
meraikan peminat-peminat serta bermain bola lisut dengan kanak-kanak.
“Dia meninggal dunia dengan amat tenang di katilnya, mewariskan kekuatan dan keazaman. Saya tidak pernah melihat sesiapa dengan serpihan kekuatan seperti bapa saya. Dia benar-benar luar biasa,” tambah Gunnar.
SYCHO Sid (kanan) saling menerajang dengan The Undertaker yang merampas gelaran WWF-nya dalam pertarungan kemuncak WrestleMania 13 pada 1997. - Kredit foto: WWE
PENANGAN bantingan bom (powerbomb) kegemaran Sid sebagai habuan Heath Slater pada 2012. - Kredit foto: WWE
Sid turut terkenal dengan penangan penyudah resminya, bantingan bom dan cekak banting yang banyak mendorong kejayaan besarnya termasuk kejuaraan Amerika Syarikat WCW.
Kariernya bermula pada 1987 dengan digelar Lord Humongous yang bertopeng penjaga gol hoki ais mirip watak jahat Lord Humungus dalam filem pecah panggung Hollywood, “Mad Max 2: The Road Warrior” lakonan Mel Gibson.
SID Justice (kanan) menanya Hulk Hogan untuk menyerah dengan kunci unta Colonel Mustafa (The Iron Sheik) ketika menjadi pengadil pertarungan beregu SummerSlam '91 antara Hogan & The Ultimate Warrior dan Sgt. Slaughter, Mustafa & General Adnan. - Kredit foto: SS
Dari Persatuan Gusti Benua (CWA) di Memphis itu, Sid berpindah ke WCW pada 1989 dan mengambil nama Sid Vicious yang ditiru daripada pemain bas sebuah kugiran Britain sebelum menyertai WWF dari 1991 hingga 1992 sebagai Sid Justice serta bersengkata dengan legenda gusti Hulk Hogan, sebagai pengawal peribadi Michaels yang dipanggil Sid sahaja dan Sycho Sid (1995 hingga 1997).
Tempoh pertama di WCW itu turut menyaksikan Vicious menganggotai pakatan 'penggusti jahat' Four Horsemen bersama-sama Ric Flair, Arn Anderson dan Barry Windham.
Sid tercedera
kaki kiri akibat salah mendarat daripada lompatan daripada tali sudut kedua gelanggang sehingga terpaksa mengumumkan persaraannya pada 2001, beberapa bulan sebelum WCW gulung
tikar dan dibeli oleh Vince.
Pada 25 Jun
2012, dia kembali ke WWE sebagai Sycho Sid dalam Raw menjelang perayaan episod ke-1,000
siri gusti TV itu dan mengenakan bantingan bom untuk menewaskan Heath Slater.
Namun susuk tubuhnya tidak lagi setegap malah tampak agak susut dengan ketika kali terakhir dia beraksi dalam siri Raw pada 9 Jun 1997. - KitaReporters
SUSUK tubuh Sycho Sid yang tidak lagi berotot sasa dan agak susut ketika penampilannya semula di WWE/WWF pada 2012. - Kredit foto: WWE
SID Justice (dua dari kanan) yang digandingkan dengan Big Boss Man (dua dari kiri) dan Legion Of Doom (Animal, kanan) dan Hawk, terpaksa menarik diri daripada Survivor Series 1991 ini akibat kecederaan otot depan lengan. Keempat-empatnya telah meninggal dunia. - Kredit foto: SS