LEANDER Lazaro terbukti handal dalam perseorangan mahupun beregu lelaki Kejohanan Pickleball Antarabangsa Kuala Lumpur 2024. - Kredit foto: KLPA


LEANDER Lazaro dan Reino Andersen (podium tengah) menayangkan hadiah kemenangan mereka sebagai juara beregu 19 Tahun & Terbuka Kejohanan Pickleball Antabarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Tenis Negara Tun Razak, Kuala Lumpur. - Kredit foto: KLPA


LEANDER Lazaro membuktikan kehandalannya di kelas tersendiri dengan merangkul gelaran berganda pada Kejohanan Pickleball Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 menerusi acara perseorangan lelaki 19 Tahun dan Terbuka, serta beregu lelaki.

Pemain dari Filipina itu yang bergandingan dengan Reino Andersen dari Thailand dalam beregu, turut mengaut hadiah wang tunai RM4,500 selaku juara kedua-duanya dalam kejohanan tiga hari di Pusat Tenis Negara Tun Razak, Kuala Lumpur ini pada 28 Julai 2024.

Leander dengan mudah mengalahkan Colin Wong 11-3, 11-3 dalam perlawanan akhir perseorangan sebelum dia dan Reino sekali lagi menghampakan Colin yang tampil bersama-sama Dwi Mahendra 11-7, 11-6 bagi penentuan juara beregu.


SARAH Jane Lim tersenyum lebar sebagai juara perseorangan wanita 19 Tahun & Terbuka yang hadiah-hadiah para pemenang disampaikan Pengurus Besar Kanan Skechers Malaysia, Stephanie Chang (depan). - Kredit foto: NN 


Seorang lagi pemain dari Filipina, Sarah Jane Lim pula terbukti unggul bagi kategori wanita 19 Tahun dan Terbuka apabila memenangi kedua-dua perlawanan akhir perseorangan dan beregu bersama-sama pemain Singapura, Pini Lee.

Sarah mengalahkan Karina Aditya Dwipayani 11-2, 12-10, malah dia dan Pini memastikannya bergelar juara berganda seperti mana rakan senegara, Lazaro dengan masih mengecewakan Karina yang bergandingan dengan Ari Adelya 8-11, 12-10, 11-0.


SARAH Jane Lim dan Pini Lee menayangkan hadiah-hadiah mereka sebagai juara beregu wanita 19 Tahun & Terbuka setelah menewaskan Ari Adelya/Karina Aditya Dwipayani dalam final. - Kredit foto: NN


Walau bagaimanapun Dwi dan Ari kembali bangkit dengan meyakinkan sekali gus menafikan gelaran trebel buat Lazaro/Sarah untuk memenangi final beregu campuran 19 Tahun dan Terbuka, 11-10, 4-11, 11-4.

Juara perseorangan setiap acara Terbuka kategori lelaki dan wanita meraih ganjaran RM1,500 dan RM3,000 bagi beregu manakala RM750 dan RM1,500 bagi naib juara kedua-duanya.

Turut dipertandingkan ialah 11 lagi acara iaitu remaja bawah 14 dan 18 tahun, upaya campuran, 19 Tahun dan Pertengahan, Master 50 Tahun dan Pertengahan.


SEORANG peserta, Kisherlya melakukan pukulan kilas untuk membalas hantaran pemain lawan. - Kredit foto: KLPA


Pickleball ialah sejenis lagi sukan ‘kacukan’ atau hibrid daripada ciri-ciri badminton, pingpong dan tenis yang diasaskan tiga warga Amerika Syarikat iaitu Joel Pritchard, Bill Bell dan Barney McCallum di Pulau Bainbridge, Washington pada musim panas 1965.

Pickleball dimainkan dengan raket atau pemukul ala pingpong untuk memukul bola bersaiz besbol serta perlu melepasi jaring mirip tenis di sebuah gelanggang bersaiz badminton.

Pemarkahannya? Hanya individu atau beregu yang memegang servis, boleh mengutip mata sekiranya bola gagal dipulangkan lawan atau dengan memenangi rali permainannya. - KitaReporters


ACARA atau kategori Upaya Campuran dijuarai pasangan Edward Chan (baju merah) dan Norisah Bahom yang mengalahkan Faiz Irfan/Ikhwan Azizi Khalili. - Kredit foto: NN


SENARAI PEMENANG ACARA/KATEGORI LAIN:

Remaja Bawah 14 Tahun (Beregu): Ahmed Aizaad Khairie Saiful Azam/Sam A. Panah

Remaja Bawah 18 Tahun (Beregu): Farreez Isqandar/Shan Danial

Upaya Campuran 19 Tahun & Terbuka (Beregu): Edward Chan Khen Loke/Norisah Bahrom

Beregu Lelaki 19 Tahun & Pertengahan: Adam Ashraf/Izzul Aizuddin

Beregu Wanita 19 Tahun & Pertengahan: Janiece Chong/Joanne Jun Lin Chong

Beregu Lelaki Master 50 Tahun & Pertengahan: Kien Wai Tang/Eugene Khoo

Beregu Wanita Master 50 Tahun & Pertengahan: Cecilia Ow/Melina Hwang

Perseorangan Lelaki Master 50 Tahun: Edy Kurniawan

Beregu Wanita Master 50 Tahun: Pin Foo/Pini Lee

Beregu Campuran 19 Tahun & Pertengahan: Joanne Jun Lin Chong/Mohd. Arif Irfan Abdullah


KEDUA-DUA beregu lelaki ini berentap hebat ketika cuba bermain berdekatan jaring untuk meraih mata berharga. - Kredit foto: KLPA  

12
16
0
8
0

Copy Link: