Video| Lil J Jual Jiwa luahkan perasaan bersama Yonnyboii! Gambarkan perjalanan dirinya yang sebenar!

Published by
KitaReporters


Jika sebut nama, Yonnyboii, sudah pasti semua orang mengenali rapper terkenal bernama penuh Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, berusia 26 tahun, ini yang juga telah bergelar 'ayah' muda kepada seorang anak lelaki pada bulan Julai tahun lalu (2023) selepas dua tahun bernikah dengan Nik Nazirah Nik Marriman pada November 2021.

Tetapi apakah anda mengenali seorang lagi penyanyi rap tempatan bergelar ‘Lil J’ atau nama sebenarnya, Rvijay Raj yang dicungkil bakatnya oleh Joe Flizzow menerusi program 16 Baris yang turut memperkenal penyanyi rap wanita, Bunga Isme ketika itu?

Apa pun tidak dinafikan mencipta nama dalam industri hip hop tempatan bukanlah sesuatu yang mudah. 

Dengan begitu banyak persaingan di pentas yang sama, seseorang rapper itu perlu memberikan impak yang lebih besar dalam mengetengahkan dirinya. Ia telah dibuktikan oleh Yonnyboii mahu pun Bunga.

Untuk membuktikan ketekunannya, Lil J, bintang yang sedang meningkat naik ini kembali dengan single baharu bertajuk 'Jual Jiwa' yang dihasilkan bersama gabungan suara Yonnyboii. 



“Lagu ini saya tulis sendiri berdasarkan perjalanan hidup saya dalam industri muzik,” dedah Lil J jujur.

Menurut Lil J, beliau mulakan dengan menulis korus dalam bahasa Inggeris terlebih dahulu.

“Tetapi apabila saya menukarnya ke bahasa Melayu, ia tampak lebih selaras dengan situasi hidup saya dan perjalanan yang telah saya lalui sepanjang kerjaya muzik saya. “ tambah beliau sambil mengakui lagu tersebut lebih nampak sempurna dalam bahasa Melayu, waima ia menggambarkan dirinya yang sebenar.

Jelas Lil J, lagu tulisannya itu sarat dengan unsur muzik jalanan yang sentiasa dibanggakan sejak kecil.

Beliau berpendapat, dalam dunia yang sangat pantas ini, semua orang sedang berjuang, dan semua orang perlu mengorbankan sebahagian daripada diri mereka untuk bertahan,

“Tetapi saya tidak pernah menjadi orang yang menyerah kepada kebiasaan, saya sentiasa melawan. Kadang-kadang, lebih baik untuk menonjol daripada hanya menjadi sama," kongsi Lil J mengenai inspirasi di sebalik lagu terbaharunya itu.



Seperti biasa, 'Jual Jiwa' juga disertakan dengan video muzik yang cukup mengagumkan, yang diarahkan oleh Andrew dan dihasilkan oleh Dick Wai. 

"Untuk video muzik ini, kami memilih vibe 'Seni Moden' untuk memaparkan mesej lagu ini dengan cara yang unik. Dengan visual yang menarik dan sederhana di mata tetapi mempunyai makna mendalam tanpa kesan yang terlalu berat," kata Dick Wai, selaku penerbit video muzik tersebut.


Lil J feat Yonnyboii.


Dengan single terbaharunya ini bersama sokongan Yonnyboi, Lil J berharap usahanya kali ini akan diterima baik oleh pengikut setianya.

"Saya hanya berharap untuk mendapatkan sokongan dan kasih sayang daripada pendengar, terutama peminat saya. Ini adalah satu pelancaran yang telah saya simpan selama hampir setahun dan saya ingin melihat bagaimana mereka menerimanya. 

“Saya tahu dalam hati saya bahawa lagu ini adalah sebuah hit. Kini sudah tiba masanya untuk pendengar menikmati lagu ini," akhiri Lil J dengan penuh keyakinan. - KitaReporter


10
13
0
18
0

Copy Link: