Video| Dayang Janji lancar album baharu tapi tampilkan single Lemah dahulu! Sudah buka tempahan awal!

Published by
KitaReporters



Lebih 25 tahun dalam industri, penyanyi berusia 43 tahun yang masih ‘single’ tetapi tetap meletup, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, kelahiran Kuching, Sarawak tidak putus-putus mengabadikan dirinya pada industri hiburan.

Sejak mula bertapak sebagai penyanyi selepas memenangi pertandingan Golden Teen Search pada tahun 1997 ketika berusia 16 tahun, Dayang terus melangkah bergaya dengan lebih kurang 20 anugerah dalam genggaman.

Menerima gelaran ‘Ratu R&B” negara waima melahirkan lagu-lagu popular dalam genre R&B, pelantun lagu ‘Seandaiya Masih Ada Cinta” ini, yang sudah menghasilkan 10 buah album, kini kembali dengan sebuah lagi album baharu, “Janji” yang bakal dilancarkan pada November 2024 depan.



Namun sebelum itu, Dayang memperkenal single pertamanya melalui “Janji” terlebih dahulu dengan meletakkan tajuk ‘Lemah’ sebagai judul lagu ciptaan rakan duetnya melalui lagu ‘Haram’, tidak lain dan tidak bukan, Hael Husaini.

Turut bertindak sebagai penulis dan penerbit lagu “Lemah”, Hael Husaini memberi gambaran penuh emosi tentang apa yang bakal terkandung dalam album ‘Janji’.

Disusun oleh Mac Chew, “Lemah” menyelami kerentanan emosi dengan mendalam apatah lagi apabila ia dinyanyikan oleh Dayang yang dikenali dengan kelunakan vokalnya yang bernada tinggi serta mendayu sebagaimana diakui Hael.

“Bekerja dengan Dayang adalah satu penghormatan. Suara dan tafsirannya memberi jiwa kepada lagu dengan cara yang benar-benar istimewa.” ulas Hael.


Dayang bersama Hael Husaini...


Berkongsi pandangannya bekerja dengan Hael, Dayang memaklumkan ia satu pengalaman luar biasa memandangkan ketrampilan muziknya dalam mencipta melodi yang indah dengan emosi yang tulus dan tema yang boleh dikaitkan memang tiada bandingan lagi.

“Lagu ini banyak bermakna bagi saya. Saya telah mencurahkan hati saya ke dalam ‘Lemah,’ dan saya harap ia dapat menyentuh pendengar dengan mendalam,” kongsi Dayang.

Sehubungan itu Dayang melahirkan rasa teruja dan tidak sabar untuk melihat bagaimana kerjasama terbaharu mereka berkembang dan diterima pendengar. 

Album dengan 13 lagu yang berjudul “Janji” ini mempamerkan kedalaman emosi dan kepelbagaian Dayang dalam mempersembah campuran balada dan lagu berentak rancak/pertengahan, semuanya berpusat pada tema cinta, harapan, dan kekuatan.



Dan melalui video muzik "Lemah” yang dihasilkan oleh penerbit terkenal Lily Samsuddin, ia akan memperdalam impak emosi lagu itu secara visual menggunakan metafora yang kaya. 

Dengan pengalaman luasnya dalam pengarahan dan penghasilan video muzik, kepakaran Lily akan memberikan visi yang segar dan bertenaga buat projek ini. 

Kita nantikan apakah Dayang sekali lagi akan meletop dengan lagu single dan album terbaharunya kelak menepati taglinenya  ‘Dayang Sayang Kamu’ dan tentu sekali peminatnya juga sayang Dayang kan? 

Yang pasti Dayang tidak mudah lemah sebagaimana liriknya yang antaranya bertulis. 'Aku tak selalu lemah, tapi kamu memilih buat aku menangis...' 

Nak tahu lanjut nantikan pengeluaran lagu 'Lemah' pada 18 Oktober 2024 ini nanti ya kerana ia sudah bersedia untuk penstriman dalam semua platform utama pada tarikh tersebut, diikuti dengan pelancaran album penuh “Janji” pada 22 November 2024. 



Dalam pada itu, khas buat peminat setianya, album ‘Janji’ sudah dibuka untuk tempahan awal atau ‘pre order’ pada harga RM50.90 daripada harga asalnya kelak iaitu RM59.90. 

Tarikh akhir ‘pre order’ tamat pada 20 Oktober 2024 ini dan penghantaran CD hanya akan dilaksanakan selepas 29 November 2024 iaitu seminggu setelah pelancaran album. - KitaReporters

18
20
0
9
0

Copy Link: