Video| Liga Super 2022: Sabah kukuhkan kedudukan! Bangkit untuk kutip 3 mata lawan Petaling Jaya!

Published by
KitaReporters


SKUAD kendalian Datuk Ong Kim Swee terus mengukuhkan kedudukan kedua Liga Super 2022 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Petaling Jaya City Football Club (FC) 2-1 dalam saingan liga tersebut yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada malam tadi (26 Julai 2022). 

Bermain di tempat lawan ternyata memberi sedikit kesukaran untuk Sabah FC dan mereka seakan-akan cuba mencari rentak sebaliknya Petaling Jaya FC lebih menguasai permainan pada separuh masa pertama. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan Liga Super 



Gol pertama perlawanan hadir menerusi penyerang utama tuan rumah, Darren Lok pada minit ke-34 selepas menanduk masuk hantaran rakan sepasukan dari sepakan penjuru. Sabah cuba mengatur permainan namun ia serba tidak menjadi untuk mereka. 

Bermula separuh masa kedua, Sabah seakan-akan mendapat tonik baharu apabila menampilkan prestasi yang lebih bertenaga jika dibandingkan dengan separuh masa pertama dan mereka terus mempertingkatkan gaya permainan lebih laju dan pantas. 

Sabah tidak perlu tunggu lama apabila hanya memerlukan tiga minit sahaja untuk menyamakan kedudukan menerusi  pemain import mereka, Taiki Kagayama pada minit ke-48. 

Tidak cukup dengan satu gol, Sabah terus mengatur serangan untuk menambah gol dengan serangan bertali arus sehingga ia memaksa pemain Petaling Jaya lebih bekerja keras untuk bertahan. 

Usaha Sabah untuk mencari gol kedua akhirnya tiba pada minit ke-75 menerusi pemain gantian, Ifran Fazail sekali gus menceriakan penyokong yang berada di stadium. 

Berbaki 10 minit terakhir, Petaling Jaya pula mengambil alih perlawanan dengan serangan demi serangan dan mereka ada peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun penjaga gol Sabah lebih bersedia untuk menafikan segala percubaan. 



Kemenangan Sabah ini terus membolehkan mereka menjarakkan kedudukan dengan pasukan-pasukan lain di samping cuba mengejar kedudukan pendahulu liga biarpun ia satu keputusan mustahil. Nombor dua liga lebih realistik untuk Sabah dan jika mereka berjaya mengekalkan kedudukan hingga tamat saingan, Sabah akan bermain di peringkat Asia musim hadapan. - KitaReporters


12
12
0
11
0

Copy Link: