Bicara Seni| Video| Final ASGV: Gah tak kesampaian! Peserta lain juga harus diberi hadiah ikut markah!
Published byPihak Astro ingin menjadikan final ASGV sebagai kenangan bermakna dengan penganjuran secara gahnya.Ia menjadi promosi hebat terhadap program pertandingan itu yang dikatakan mampu mencapai tontonan lebih 7 juta bagi setiap episod baik di TV atau laman sosial.
Ia memperlihat pertandingan nyanyian boleh ‘dijual dan menguntungkan’. Final ASGV dengan menyajikan lapan peserta mampu menarik sejumlah penonton berbayar seperti menyaksikan konsert penyanyi popular tempatan atau luar negara.
Tetapi jika dilihat lebih teliti masih ada kekurangan dalam penganjuran final ASGV.
Memberi hadiah wang tunai untuk juara ASGV atau GV musim ke-10 (GV10), Jaclyn Victor sebanyak RM200,000 adalah wajar. Namun bagi tujuh peserta lain di mana tiga adalah peserta ‘hot seat’, mereka juga wajar menerima hadiah yang setimpal dengan ‘gah’nya ASGV.
Tetapi tujuh lagi peserta hanya diberi wang sagu hati RM10,000 seorang. Cuma Naqiu mendapat tambahan RM10 ribu kerana dipilih sebagai Pilihan Bos Susu sebagai penaja utama ASGV.
Untuk menjadikan ASGV lebih gah, sepatutnya diumumkan kedudukan peserta seperti dalam GV-GV sebelumnya.
Hadiah-hadiah peserta perlu diganda. Jika juara sudah dinaik daripada RM100 ribu kepada RM200 ribu, tempat kedua wajar hjuga dinaik daripada RM30 ribu kepada RM60 ribu, ketiga (RM15 ribu kepada RM30 ribu), keempat (RM10 ribu kepada RM20 ribu) kelima (RM5 ribu kepada RM10 ribu), keenam (RM3 ribu kepada RM6 ribu). Dan bagi tempat ketujuh dan kelapan masing-masing diberi RM1 ribu.
Tidak banyak perbelanjaan yang perlu dikeluarkan pihak Astro untuk menaikkan kadar hadiah untuk para peserta. Memberi sagu hati RM10 ribu setiap peserta (termasuk juara), sebanyak RM80 ribu diperuntuk.
Sementara jika cadangan ini diterima, pihak Astro hanya perlu menambah peruntukan tambahan. Ini kerana jumlah yang perlu dikeluarkan sebanyak RM128 ribu sahaja.
Sebagai stesen TV swasta yang kukuh dan berpengaruh, bukan satu masalah besar bagi Astro untuk menyediakan sedikit tambahan peruntukan.
Antaranya menggunakan orkestra 50 anggota (piece). Cukup sekadar guna mini orkestra atau tetap menggunakan Leman Band yang sudah berkhidmat dengan baik sejak GV1.
Dan tidak perlu ‘membazir’ membawa tiga penyanyi dari Indonesia iaitu Cakra Khan, Armand Maulana dan Ifan (Seventeen). Tempat mereka boleh diganti dengan beberapa penyanyi tempatan yang boleh menjadi pasangan duet yang baik dengan kos bayarannya tidak setinggi membawa penyanyi dari Indonesia.
Mungkin para peserta perlu menyampaikan tiga lagu iaitu solo, duet dan irama rap.
Dalam sidang media selepas pertandingan, menurut ketua juri, Datuk Ramli MS dan juri Datuk Syafinas Selamat, 80 peratus markah diberi kepada persembahan solo di mana lagu dipilih oleh peserta.
Berikut ialah kedudukan peserta dalam final ASGV:
01. Jaclyn Victor (80.10 mata)
02. Hady Mirza (75.74)
03. Nikki Palikat (73.18)
04. Liza Hanim (72.34)
05. Naqiu (72.18)
06. Tomok (71.46)
07. Azarina Azhar (69.64)
08. Siti Nordiana (61.64)