Harimauwati Malaya berusaha mengaum! Thailand, Palestin lebih gagah! Steffi tetap mahu lawan!
Published byBERDEPAN dua lawan dengan satu daripadanya, pernah beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia Wanita 2015 dan 2019!
Satu lagi pula Palestin yang masih segar dengan Piala Arab Wanita di Mesir dari 26 Ogos hingga 6 September 2021 lalu.
Jauh bercanggah dengan skuad bola sepak wanita negara yang sekadar berlatih 25 hari sejak 21 Ogos 2021 tanpa walau satu pun perlawanan persahabatan sebagai pemanas badan atau kayu pengukur awal.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak wanita
Hakikatnya, Harimauwati Malaya kendalian Jacob Joseph akan mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia Wanita 2021 di Palestin dari 19 hingga 22 September 2021 sebagai pasukan bukan pilihan.
Jacob turut mengakui kehebatan dan reputasi Thailand selaku pilihan utama Kumpulan H yang hanya juaranya, akan mara ke pusingan akhir Piala Asia Wanita 2022.
JACOB Joseph (kiri) tidak dapat memperkasa Harimauwati Malaya dengan Celine Chuang dan Berlin Leong yang berpangkalan di kelab Eropah. - Kredit foto: FAM
"Kami mahu mengutamakan corak taktikal bertahan dalam berdepan Thailand selain melancarkan serangan balas malah cuba mengurangkan jurang gol di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat, Palestin, nanti.
“Ketika saya melatih pasukan wanita pada 1999 hingga 2001, ada lima atau enam kali melawan Thailand. Dalam 2012 kita pernah menang 2-1 satu perlawanan persahabatan, selebihnya kita kalah.
“Mereka ada liga bola sepak wanita, sedangkan kita sudah dua Piala Tun Sharifah Rodziah (kejohanan kebangsaan) dibatalkan sebab pandemik (Covid-19).
“Juga kerana masih dalam gelembung sukan, tiada perlawanan persahabatan dapat dijalankan sebagai pemanas badan kami apatah lagi di sini, tiada kelab bola sepak wanita pun," katanya.
STEFFI Sarge Kaur Seargeant Singh (kanan), kapten wanita negara mahu rakan sepasukan menghadapi Kelayakan Piala Asia Wanita 2021 dengan sikap sihat dan semangat juang 100 peratus. - Kredit foto: FAM
Kapten pasukan, Steffi Sarge Kaur Seargeant Singh turut menganggap hanya kekuatan mental dan sikap positif untuk bersaing, mampu menjadi 'Faktor X' mereka berdepan Thailand dan Palestin.
"Kami akan hadapi lawan satu persatu. Setiap perlawanan macam final bagi kami. Thailand antara terkuat di Asia. Main dua Piala Dunia Wanita, mereka semuanya lengkap.
“Sikap kami juga kena positif dan saya tidak mahu ada fikiran kami yang lawan tidak boleh dikalahkan,” kata Steffi, 33, yang turut aktif bermain dalam futsal tempatan dan antarabangsa namun kini kembali ke skuad bola sepak wanita negara selepas 10 tahun.
JACOB Joseph gigih dan yakin dengan kemampuan anak-anak didiknya biarpun dengan tempoh persediaan yang serba terhad dek Covid-19. - Kredit foto: FAM
Jacob juga mengakui, matlamat pasukan juga ialah cuba mengurangkan kadar bolosan gol dengan Thailand namun menganggap peluang anak-anak buahnya masih cerah untuk menyambar tiga mata menentang Palestin.
“Palestin sebuah pasukan berpengalaman Piala Arab Wanita, baru-baru ini biarpun dikalahkan Jordan dan Algeria,” katanya yang turut menjadikan Kelayakan Piala Asia Wanita ini medan pendedahan awal skuad negara ke Sukan SEA Hanoi 2022.
Agak malang Harimauwati Malaya yang patut diperkasa dua pemain kelab remaja Bayern Munich, Celine Chuang dan Berlin Leong (CF Pozuelo, Sepanyol), terpaksa melupakan khidmat mereka kerana tidak mendapat pelepasan pulang.
"Pemain-pemain bertambah baik dalam setiap sesi latihan. Mereka memahami taktikal walaupun kebanyakan pemain baharu dengan 18 daripadanya, berusia bawah 21 tahun. Sukar bagi saya gugurkan dua daripada skuad 25 pelatih apatah lagi kerana tiada siapa yang tercedera," katanya.
Pencapaian terbaik Malaysia ialah menduduki ketiga ketika Piala Wanita Asia dikenali sebagai Kejohanan Wanita AFC yang disertai enam pasukan pada 1983 di Thailand apabila menewaskan Singapura 5-4 menerusi penentuan penalti selepas terikat 0-0. - KitaReporters
SKUAD wanita negara dibarisi majoriti pemain di bawah 21 tahun yang mampu digalas tugas ke Sukan SEA dan Kejohanan Wanita AFF. - Kredit foto: FAM