Prestasi Farah Ann di Sukan Olimpik, 2020, Tokyo, mendapat pujian ramai. Kredit foto: Instagram farahann94/Farah Ann Abdul Hadi.


DI SEBALIK pujian dan komen positif yang diberikan kepada atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi ekoran persembahannya di Sukan Olimpik 2020, Tokyo, terdapat juga suara-suara yang mengecam pakaian di gelanggang gimnas itu yang dianggap seksi, tidak sopan dan mencolok mata.

Malah ada yang membandingkan pakaian dipakai Farah dengan gimnas pasukan Jerman yang dianggap lebih sopan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik

PASUKAN gimnastik Jerman. - Kredit foto: Internewscast.com


Ini bukan kali pertama atlet itu berdepan situasi sedemikian. Pada 2015, Farah yang menyumbang enam pingat - dua emas, satu perak dan tiga gangsa - pada Sukan SEA 2015 di Singapura dikecam atas isu berkenaan.

Ketika itu, Farah yang berusia 21 tahun pada awalnya agak beremosi namun kemudian menangani isu itu tenang malah tidak melatah atau melenting. Sebaliknya, dia terus fokus terhadap kariernya.


Farah Ann memberi persembahan memikat walaupun gagal ke pusingan akhir 

selepas menduduki tempat ke-68 daripada 85 peserta. Kredit foto: Annice Lyn / MSN


Pada awalnya saya agak kecewa kerana segala titik peluh dan pengorbanan saya seolah-olah tidak dihargai.  Selepas memenangi enam pingat, saya menerima kecaman.

“Tapi, lama-kelamaan saya dapat menenangkan diri dan mengambil sikap positif kepada segala teguran. Keluarga juga banyak memberi sokongan.

“Saya tidak dapat memuaskan hati semua pihak dan menghalang orang untuk bercakap.  Tapi, selepas bekerja keras untuk sampai ke tahap ini, saya tidak mahu mengalah kepada tekanan sebegini dan bertekad untuk meneruskan karier,” ujar Farah dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar ketika itu.



Burn dan Ustaz Tajdid membincangkan isu kecaman segelintir netizen ke atas Farah Ann melalui Burn TV.


Memang betul dia (Farah) silap dari sudut pemakaian tapi jangan hentam dia seolah-olah dia tak tau halal haram. 

Walaupun kecaman kali ini tidak seteruk yang diterimanya pada 2015 namun ia tetap menjadi bualan dalam kalangan warganet. 

Susulan itu, pengacara televisyen, Burn melalui saluran miliknya, Burn TV  meminta seorang pendakwah, Ustaz Tajdid Hadhari untuk mengupas isu berkenaan.

Melalui segmen itu, Burn yang terkenal menerusi program ‘Berbulu Dengan Burn’  melalui saluran Astro Arena, Ustaz Tajdid memberi pandangan beliau mengenai isu pemakaian Farah yang mencetuskan kecaman segelintir netizen.

Tanpa menidakkan hukum agama yang mewajibkan umat Islam menutup aurat, Ustaz Tajdid atau lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Bola’ bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendekatan masyarakat yang mengecam mahu pun menegur melalui media sosial.

“Kalau ikut Islam, secara asasnya, hujah dalil yang terang, menyatakan memang betul, kita kena tutup aurat. Dalam Quran, Allah SWT ada sebut (berfirman) melalui surah An-Araf ayat 26: Wahai kaum, anak-anak Adam, maka sesungguhnya telah kami turunkan ke atas kamu pakaian-pakaian yang menjadi penutup aurat ke atas kamu dan sebagai perhiasan buat kamu’.

“Jadi, Tuhan dah bagi tau, memang pakaian digunakan untuk tutup aurat dan hukumnya adalah wajib, mana-mana mazhab pun kena tutup aurat.


Farah Ann cantik menggenakan pakaian rasmi kontinjen Malaysia semasa acara pembukaan Sukan Olimpik 2020, Tokyo pada 23 Julai 2021 lalu. - Kredit foto: Instagram farahann94 / Farah Ann Abdul Hadi.


“Memang betul dia (Farah) silap daripada sudut pemakaian tapi jangan engkau hentam.  Bukan cara kita menghentak, jangan hentam dia seolah-olah dia tak tau alif ba ta, tak tau telekung, tak tau halal haram.

“Ada cara. Kita kena tutup aib orang lain. Kena slow (perlahan) dakwah dia, DM (mesej terus) secara peribadi. Jangan hukum orang ikut suka,” kata Ustaz Tajdid.

Malah beliau mengingatkan masyarakat agar menegur secara beradab serta sesuai dengan status seseorang.

“Umat Islam bersaudara, kalau tengok adik buat silap, kena tegur, kalau ayah buat silap, kena tegur tapi adakah sama cara kita menegur adik dengan cara kita tegur ayah? Lain kan?

“Begitu juga dalam kita bermasyarakat, bila kita nampak orang buat silap, kena ada cara, tambah-tambah yang kita nak tegur itu atlet wakil negara.



“Tempat untuk menegur bukan laman sosial, tempat sehabis baik adalah berdepan dengannya supaya pertama, tidak ada salah faham, yang kedua supaya tidak berlakunya fitnah.

“Saya nak tanya, kalaulah korang (anda) rasa korang (anda) betul, komen itu dan ini, malukan orang itu dan ini kat laman sosial, orang nak masuk Islam ke dengan cara kau orang? Orang lagi suka ke Islam? Muga-muga jangan kita menjadi fitnah kepada agama kita sendiri,” ujar Ustaz Tajdid. 

Pandangan Ustaz Tajdid itu menerima maklum balas positif daripada penonton siaran itu. Rata-rata bersetuju dengan pendekatan yang dicadangkan oleh beliau. 


'Ustaz Bola' turut dikecam apabila memberi pendapat mengenai isu yang melanda Farah Ann. - Kredit foto: FB Ustaz Bola/Tajdid Hadhari.



Namun, Ustaz Tajdid melalui akaun Facebooknya mendedahkan, ada juga pihak yang mengecam beliau ekoran pendapatnya itu.

“Saya dikecam gara-gara menyatakan ‘salah cara menegur’ apabila ada netizen komen itu ini fasal pemakaian atlet dalam media sosial, walaupun saya nyatakan secara konkrit hukum asas dedah aurat itu haram.

“Cubalah matang  dan faham dengan ilmiah. Ada beza antara hukum dan kaedah. Untuk berjaya melaksanakan satu-satu hukum, kaedah tepat dan dapat diterima  segenap golongan  itu sangat penting. Jangan kerana kita terlalu menghukum, kita dan agama kita dibenci.

“Jika bertindak mengikut kebencian, nafsu marah menggunakan kapasiti agama sudah tentu ia bermaksud kita mengiyakan pandangan musuh Islam yang menyatakan  Islam itu ganas, tiada perikemanusiaan dan lain-lain,” tulis Ustaz Tajdid. - KitaReporters


22
2
1
1
3

Copy Link: