Hafiz beralih angin! Daripada X-Factor kepada Muffin Scars!
Published bySIAPA peminat kumpulan X-Factor? Kalau anda peminat kumpulan tersebut, mesti tahu lagu Sehangat Api, Tak Sanggup dan 7231564, betul tak? Kumpulan yang dibentuk oleh KRU Records pada 1999 itu dianggotai Fendi (Syed Affendi Syed Ibrahim), Zack (Zachery Francis), Shah (Iwan Shah Azhar), Danny (Mohd. Kardanie Anwa) dan Ivan (James Vernon Burge). : KitaReporters
Hafiz kini bersama dengan kumpulan Muffin Scars selepas X-Factor.
Lagi cerita-cerita berkaitan penyanyi:
https://kitareporters.com/search?search=penyanyi
Biarpun kesemua ahli sudah tidak bersama, namun mereka pernah mencatat nama sebagai kumpulan yang mencetus fenomena dalam industri seni, sekitar tahun 2000.
Baru-baru ini penulis berpeluang menghubungi salah seorang anggota X-Factor iaitu Ivan atau nama Islamnya, Hafiz Lim Burge untuk mengetahui perkembangannya terkini.
Jelas beliau, persembahan terakhirnya dengan X-Factor adalah di Brunei sebelum beliau mengundur diri daripada kumpulan tersebut. Namun sehingga kini beliau masih lagi berhubungan menerusi media sosial dengan Shah dan Zack.
Bersama Muffin Scars, Hafiz lebih banyak mendendangkan lagu berentak rock.
Menurut Hafiz, beliau masih lagi aktif dalam bidang seni suara dan kini menjadi vokalis untuk kumpulan Muffin Scars yang dianggotai Roxus (dram), Kelvyn Yeang (gitar) dan Hoongz (bes) sejak 2016.
Jelasnya, sebelum menyertai kumpulan yang berasal dari Pulau Pinang itu, beliau bergerak solo dan sempat menyertai satu pertandingan nyanyian di Taiwan.
“Sebelum menyertai Muffin Scars, Hafiz ada masuk satu pertandingan nyanyian dari Taiwan. Daripada ratusan peserta yang sertai uji bakat itu, alhamdulillah, Hafiz terpilih menjadi Top 100. Kemudian pemilihan dikecilkan menjadi Top 20.
Muffin Scars mahu ketengahkan lagu-lagu rock bermesej dan memberi motivasi kepada pendengar.
“Waktu Top 10, barulah peserta dipilih untuk menyertai syarikat rakaman tersebut. Mereka bukan setakat menilai bakat tapi mereka perhatikan juga sikap peserta, sama ada berkelakuan baik atau sebaliknya.
“Alhamdulillah, Hafiz telah menang dalam pertandingan itu dan di situlah diberi peluang untuk mengeluarkan album di Taiwan dan tandatangani kontrak dengan syarikat itu. Dalam pertandingan, peserta disuruh nyanyi dalam banyak genre, kebanyakan juri yang ada semua berpendapat, lagu yang sesuai untuk Hafiz adalah genre rock.
“Mendengar pandangan daripada juri-juri tersebut, Hafiz mula nyanyi banyak lagu rock Cina dan sejak itu genre rock menjadi pilihan utama,” ceritanya ketika ditanya bagaimana boleh bertukar genre R&B bersama X-Factor kepada urban rock bersama Muffin Scars.
Hafiz bersama isteri, Norhaslina dan anak kesayangan, Noah Lim Burge.
Bercerita lanjut tentang perjalanan seninya, Hafiz yang berbangsa Cina dan Amerika itu berkata, atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan, beliau terpaksa kembali ke Malaysia.
Sekembalinya ke tanah air pada 2016, Hafiz mula bekerja dengan sebuah syarikat dari China dan pada masa itulah beliau dapat panggilan daripada Roxus.
“Selain
bermain dram, Roxus adalah ketua kumpulan Muffin Scars. Dia telefon Hafiz ajak
jadi vokalis untuk band yang bakal ditubuhkan.
Sebelum setuju, Hafiz ada bagi syarat kepadanya. Syaratnya mudah saja, kalau boleh semua lirik lagu itu perlu ada unsur motivasi dan bukan tertumpu kepada lagu cinta biasa yang kita sering dengar. Kalau lagu cinta biasa, Hafiz tak nak dan dia kata memang itulah (lagu movitasi) yang mereka sedang usahakan.
“Bila dia kata, kumpulan itu nak nyanyikan lagu yang liriknya bermesej. Saya kata kalau itu yang nak diusahakan, saya setuju untuk jadi vokalis kumpulan tersebut,” cerita Hafiz tentang penglibatannya bersama Muffin Scars.
Kenangan lalu, kumpulan X-Factor menjadi penghias kulit majalah Eh!
Bersama Muffin Scars yang bernaung di bawah syarikat Rock Life, Hafiz telah rakam dua buah lagu iaitu Always Selamanya dan Sinar. Yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia. Kedua-dua lagu tersebut boleh didapati di semua platform digital iaitu Jooks, Sportify, iTunes dan YouTube.
“Lagu-lagu Muffin Scars yang berkonsepkan Urban Rock itu dicipta oleh Roxus dan Hongz, sementara lirik, kita minta tolong kawan-kawan. Setiap lagu bercerita tentang realiti kehidupan yang kita hadapi ketika ini.
“Dalam perjuangan seni, Muffin Scars tidak ada sasaran umur kerana kami mempersembahkan lagu-lagu bermesej yang pastinya sesuai untuk semua orang.
“Buat masa ini kami akan tampil dengan EP album dulu yang berjudul Aspirasi. Menampilkan lima buah lagu, tiga lagu masih belum dirakam. Bakal siap adalah lagu Aman dan Istimewa, sementara Membangkit Semangat masih dalam perbincangan lagi,” kongsi Hafiz tentang perkembangan lagu-lagu untuk album Aspirasi tersebut.
Dengan nada sedih Hafiz memberitahu, sepatutnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Muffin Scars sepatutnya pergi ke Taiwan untuk melancarkan album tapi segala peracangan tertangguh.
Disebabkan pandemik COVID-19, Hafiz dan isteri berniaga makanan Cina dan Melayu yang dimasak sendiri.
“Disebabkan COVID-19, banyak perkara yang tertangguh. Kira sekarang ini kita lebih tertumpu kepada album bahasa Melayu. Jadual yang sepatutnya sudah terganggu habis dan kita buat apa yang termampu sekarang.
“Alhamdulillah, selain mempunyai peminat di Taiwan, Muffin Scars juga mempunyai rakan wartawan yang menyokong kami. Mereka teruja untuk membuat laporan berita tentang album bahasa Melayu kami di sana.
"Ada juga peminat di Singapura yang bertanya untuk mendapatkan album ini. Buat masa ini hanya boleh dengar menerusi digital platform saja dulu,” katanya yang pernah mengadakan persembahan di Taiwan bersama Muffin Scars.
Menurut Hafiz, mengikut perancangan asal, Muffin Scars akan keluarkan cakera padat (CD) dan akan ada majlis pelancaran di tanah air tapi disebabkan pandemik COVID-19, semua perlu disusun semula.
Selepas bertanya khabar tentang perjalanan kerjaya seninya, penulis sempat bertanya kisah peribadinya.
Antara menu yang ditawarkan oleh Simply Lazat.
“Alhamdulillah, Hafiz ada seorang anak lelaki, Noah Lim Burge yang berusia lima tahun. Untuk keadaan sekarang yang banyak perkara tidak boleh dilakukan, Hafiz dan isteri, Norhaslina Hassan, berusaha buat penghantaran makanan. Isteri masak, Hafiz tolong hantar.
"Hafiz juga cuba buat marketing untuk mendapatkan lebih ramai orang menempah makanan tersebut. Page kami, Simply Lazat (010-4547382) menyediakan pelbagai jenis makanan Cina dan Melayu, termasuk nasi ayam Teriyaki. Alhamdulillah, syukur makin ramai yang suka dan kembali mula stabil.
“Kalau ikutkan sebelum ini agak tough juga sebab belum ramai yang mengenali dan hanya mengharapkan kawan yang order tapi sekarang ramai juga orang yang tak dikenali order. Itu menunjukkan satu pencapaian buat Hafiz dan isteri,” ceritanya ceria. - KitaReporters