JIKA dahulu masyarakat hanya mendapat bahan berita dan sumber hiburan dengan menonton filem di panggung pacak yang dilakukan oleh Jabatan Penerangan, kini akhbar perdana perlu mengubah pendekatan berniaga dan bertindak sama pantas dengan media sosial.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata akhbar juga harus membuat pendekatan menyeluruh, lebih cekap dan pembinaan insan yang membolehkan mereka bekerja dalam ruang bebas dan tanpa takut. Pada masa ini, wartawan tidak boleh lagi menjadi suara risalah kerajaan atau pelapor rasmi.

Sebaliknya menjadi lebih bebas dan terbuka khususnya dalam menegur kerajaan khususnya pemimpin negara kerana media akan memainkan peranan dalam struktur kerajaan dan masa depan pentadbiran kerajaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan wartawan dan kewartawanan

JOHAN JAAFFAR.... Media kini bersaing dengan masa untuk kekal utuh.


"Panggung wayang pacak sudah berakhir dan wartawan terutamanya syarikat media kini kena mengubah pendekatan bisnes dan pembangunan modal insannya.

"Supaya kita bergerak sepantas media sosial. Sepatutnya wartawan tidak harus ada rasa takut melaporkan berita bagi kelemahan sistem pengurusan kerajaan dan pemimpinnya," katanya berucap sebagai tetamu kehormat di majlis makan Malam Wartawan Malaysia 2022 dan sempena penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021, di Kuala Lumpur pada 24 Jun 2022. 

Turut hadir ialah Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin. Bagaimanapun tahun ini,  tiada anugerah Tokoh Kajai, satu penghormatan tertinggi buat wartawan.

Johan yang menyifatkan malam itu sebagai satu penghargaan dan malam 'memuliakan' profesen kewartawan turut memohon supaya semua pihak memberi ruang kepada wartawan untuk bekerja tanpa rasa ragu-ragu dan takut.

"Kita tahu semua pihak risau dengan idea 'free press' tetapi dalam revolusi media yang berkembang cepat, akhbar arus perdana kena bersaing dengan laporan dalam media sosial," katanya sambil mengharap resolusi daripada Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Melaka pada 29 Mei 2022 lalu menjadi garis panduan dan etika kewartawanan.



Deklarasi Melaka 2022 adalah seperti berikut: 

 1. KEWARTAWANAN DIPELIHARA DAN DIIKTIRAF SEBAGAI INSTITUSI NEGARA

 2. MENGHORMATI HAK WARTAWAN MENJALANKAN TUGAS

 3. MENJUNJUNG PERLEMBAGAAN DAN PRINSIP RUKUN NEGARA

 4KEWARTAWANAN MEMARTABAT INTEGRITI

 5. MEMERANGI BERITA PALSU



Johan Jaaffar berkata sepatutnya wartawan negara ini belajar daripada cara dua wartawan yang terbabit dalam pembongkaran Skandal Watergate ketika pemerintahan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon pada 1972 hingga 1974 yang memaksa beliau meletakkan jawatan sebagai ketua negara.

Selain itu, beliau juga menyarankan supaya kerjasama wartawan seperti Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) diteruskan ke seluruh rantau ini untuk mewujudkan persaudaran wartawan tanpa sempadan. Ini penting untuk menonjolkan sikap prihatin dan menjaga kebajikan wartawan.


CHAMIL WARIYA


Sebelum itu, Ketua Eksekutif Malaysia Press Institute atau Institut Akhbar Malaysia (MPI) merangkap Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2022, Datuk Dr Chamil Wariya berkata MPI menerima 350 penyertaan untuk Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 (HKM 2021) dan seramai 116 calon telah disaring untuk diberi pengiktirafan pada malam itu. Pada tahun 2020, MPI menerima 228 penyertaan.

"MPI menyerahkan sepenuhnya kepada sebuah panel hakim yang bebas, terdiri daripada wartawan veteran yang tidak lagi terikat dengan mana-mana badan organisasi berita dan juga para akademik dalam bidang kewartawanan di beberapa institusi pengajian awam dan swasta," katanya.

Beliau berkata dalam Revolusi Industri 4.0 generasi wartawan masa kini perlu memperkasakan diri dengan pelbagai kemahiran baharu bersifat multi-tasking dan pantas dalam menyalur berita tetapi tetap kekal terikat dengan etika kewartawanan.

"Ini kerana kita khususnya media legasi perlu menyesuaikan diri bila adanya internet dan elemen-elemen kecerdikan bikinan (AI), robotik, analisis data raya, Internet of Things (loT) pada zaman realiti maya ini," katanya.

Majlis tahunan MPI yang memasuki tahun ke-41 itu dan Petronas menjadi penaja utama hadiah HKM 2022 sejak 1994. sementara penyanyi Anuar Zain dan Ella menjadi penyeri majlis. - KitaReporters



Anuar Zain menjadi penyeri majlis 

11
15
0
11
0

Copy Link: