Video| Andi melastik ke hati peminat! Kini suntik semangat dengan lagu Kais Pagi Kais Petang!
Published byTENTUNYA seorang penyanyi tidak mahu rezekinya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Setiap penyanyi berharap nama dan lagu-lagu mereka dapat melastik ke hati semua peminat. Nampaknya Andi Bernadee dah berjaya berbuat demikian.
Kini dengan single terbaharu ‘Kais Pagi Kais Petang’ dan drama bersiri, 'Melastik Ke Hatimu' bersama Janna Nick, Andi mahu mencipta kejayaan dan fenomena tersendiri sebagaimana kejayaan yang diperoleh terdahulu.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Andi Bernadee:
https://kitareporters.com/search?search=andi+bernadee
Foto kredit: Instagram @andibernadee.
Selalunya peribahasa Melayu menyebut ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ tetapi berlainan pula dengan penyanyi Andi Bernadee apabila melalui single terbaharunya beliau menukarkannya menjadi ‘Kais Pagi Kais Petang’. Dah kenapa mengubahnya Andi?
“Pada tempoh ekonomi meleset akibat pandemik COVID-19, ditambah pula dengan pelaksanaan PKP 2.0 pastinya ada antara kita yang berasa tertekan dengan masalah kewangan. Saya amat memahami kesukaran semua pihak terutamanya rakan-rakan dalam industri kreatif yang kehilangan sumber pendapatan pada waktu ini.
"Menerusi lagu ini saya berharap selain dapat menghiburkan ia juga boleh memberi suntikan semangat buat mereka yang terjejas dalam menghadapi saat sukar ini,” jawab penyanyi muda berasal dari Negeri Di Bawah Bayu ini.
Mengakui mengambil inspirasi daripada peribahasa Melayu, ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ yang membawa maksud orang susah yang perlu bekerja setiap hari, kalau tidak bekerja tiadalah pendapatan.
Isu yang cuba diangkat dalam lagu ini seakan tepat pada masanya apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) kembali berkuatkuasa pada 13 Januari lalu yang sedikit sebanyak mengakibatkan pendapatan golongan peniaga kecil, pekerja rencam, pekerja seni dan ramai lagi terjejas.
Merupakan ciptaan bersama MFMF dan Nasir Deraman, lagu terbaharunya itu cuba menyelami keluh kesah rakyat marhaen dalam cabaran mencari rezeki.
Mengulas lanjut Andi berkata, “Sebelum pandemik melanda negara lagi, memang sukar mencari rezeki pada masa kini. Isu yang mungkin kita, keluarga atau kawan-kawan kita pernah atau sedang hadapi. Kerja kuat hari-hari, buat bermacam-macam jenis kerja tapi pendapatan hanya cukup-cukup makan sahaja.”
Tambahnya, apabila hidup dari gaji ke gaji, kita sentiasa menghadapi kesukaran memenuhi keperluan atau kehabisan wang sebelum akhir bulan.
“Lagi-lagi pula di zaman ekonomi meleset akibat pandemik COVID-19, dan ditambah pula dengan pelaksanaan PKP 2.0 pastinya ada antara kita yang berasa tertekan dengan masalah kewangan yang dihadapi ketika ini,” Andi berpendapat.
Sehubungan itu, beliau berharap ‘Kais Pagi Kais Petang’ mampu menghiburkan peminatnya di kala berdepan cabaran agar memberikan semangat kepada mereka untuk terus berusaha tanpa mengenal putus asa.
Sudah tentu penyanyi bernama penuh Andi Azrul Andi Mapangile, 29, yang terkenal dengan lagu-lagu bergenre reggaeton ini mahu lagunya terus menjadi siulan pendengar sebagaimana yang dicetuskan melalui lagu-lagu terdahulu seperti ‘Satu Peluang’. ‘Donde’ dan ‘Shimmy’.
Meskipun muncul dengan kelainan menerusi single ketujuhnya ‘Penat’, Andi tetap berjaya memberikan impak malah video muzik rasmi ‘Penat’ telah mencecah lebih 5 juta tontonan sejak dimuat naik di saluran YouTube Warner Music Malaysia pada 16 September 2020 lalu.
Kini dengan ‘Kais Pagi, Kais Petang’ sudah pasti Andi yang sekarang boleh ditonton lakonannya dengan Janna Nick melalui drama 'Melastik ke Hati mu' mahu mencipta kejayaan dan fenomena tersendiri dengan melastik hati peminatnya pula sebagaimana kejayaan yang diperoleh terdahulu.
Bekas bintang baru nak up (BBNU) Big Stage Musim pertama yang merupakan peserta kedua tersingkir ini pernah tular menerusi video parodi lagu Ziana Zain ‘Putus Terpaksa' dan lagu Indonesia ‘Tak Tun Tuang’ malah kejayaan yang dikecapi hari ini bukannya datang bergolek waima pernah juga gagal pada awal pembabitannya dalam industri tiga tahun lalu sehinggalah dikenali apabila single ketiganya ‘Donde’ mendapat sambutan pada Mac 2019.
Bagaimana pula agaknya dengan single kelapannya kali ini?
“Kais Pagi, Kais Petang” terbitan Warner Music Malaysia ini sudah boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music manakala lirik video rasminya boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia . - KitaReporters