SIAPA dalam eksperimen Harimau Malaya (dari kiri), Rizal Ghazali, Nor Azam Azih, Luqman Hakim Shamsudin, Dominic Tan, Syamer Kutty Abba, Liridon Krasniqi dan Norshahrul Idlan Talaha. - Kredit foto: FAM


HARIMAU Malaya berpeluang menguji pilihan gandingan yang bersesuaian bagi menghadapi baki pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 mulai 3 Jun 2021 ini apabila mengharungi perlawanan persahabatan dengan Kuwait, pada Ahad, 23 Mei 2021.

Tanpa had pertukaran pemain yang dibenarkan di Stadium The Sevens, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti, inilah yang dimahukan oleh ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe daripada 25 pemain yang dikumpulkan sekarang.

Namun sebarang keputusan pasukan negara dalam perlawanan pemanas badan ini dijangka tidak mempengaruhi ranking rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) malah mungkin lebih bersifat eksperimen buat Cheng Hoe.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya


Stadium The Sevens, UAE. - Kredit foto: thesevensstadium.com


“Menentang Bahrain di Manama (28 Mei 2021) pula akan jadi perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa. Mata ranking keputusannya masih ada walaupun minimum kerana di luar kalendar perlawanan FIFA.

“Bagi persahabatan kedua ini, pertukaran dihadkan sehingga enam pemain sahaja,” katanya yang kembali membimbing skuad negara sejak kali terakhir mereka menewaskan Indonesia 2-0 dalam kelayakan itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 November 2019.


TAN Cheng Hoe (kanan) dijangka mengutamakan pemain bertubuh besar dan tinggi seperti Junior Eldstal (kiri) ini dalam memperkasa benteng Harimau Malaya khasnya menentang UAE. - Kredit foto: FAM


Kini persoalannya ialah adakah Cheng Hoe mahu mengutamakan gandingan penggempur naturalisasi, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula dalam dua pemanas badan ini atau Syafiq Ahmad dan Norshahrul Idlan Talaha?  

Siapa juga yang lebih layak di sayap kanan antara Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh? Arif Aiman Hanapi dan Luqman Hakim Shamsudin, apa pula peranan gandingan remaja 19 tahun ini? Nor Azam Azih dan Brendan Gan atau Syamer Kutty Abba menjana bahagian tengah?

Sejak ketiadaan Shahrul Saad yang tercedera dan diketepikan daripada kelayakan ini, bagaimana pula gandingan bek tengah negara, kapten Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Junior Eldstal atau Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin, di mana pula Dominic Tan?

Antara tiga penjaga gol iaitu Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid dan Samuel Somerville - siapa pula yang akan dirancang bagi babak pertama dan kedua?


KHAIRULAZHAN Khalid mempunyai ketinggian yang menepati kriteria penting penjaga gol, namun Farizal Marlias ada kelebihan pengalaman. - Kredit foto: FAM


Kali terakhir Malaysia menentang Kuwait ialah dalam perlawanan persahabatan antarabangsa A yang menyebelahi Al Azraq 3-0 pada 8 November 2013 di Stadium Al-Sadaqua Walsalam, Kuwait.

Bahrain pula memenangi pertemuan terakhir dengan Harimau Malaya, 1-0 dalam perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional Bahrain, Manama pada 15 November 2013.

Safawi dalam sidang media dalam talian hari ini, Sabtu, 22 Mei 2021 berkata: “Semua yang datang panggilan pasukan negara ada tanggungjawab masing-masing. Saya lihat Aiman pun pesaing saya di sayap kanan atau kiri. Sudah tentu saya mahu kesebelasan utama dan akan berhabis-habisan meraihnya. 

“Bagus juga apabila pasukan ada Sumareh dan Akhyar yang bersaing posisi itu. Mana-mana pemain muda yang tersenarai kali ini, tidak mustahil akan memberikan sesuatu untuk pasukan negara,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) FC ini.


LUQMAN Hakim Shamsudin (kiri) biarpun bertubuh kecil, mempunyai kederasan larian dan penyudahan yang tajam selain pendedahan Liga Belgium. - Kredit foto: FAM


Pasukan negara menurutnya perlu cepat menemui keserasian dan gandingan apabila menentang Kuwait dan Bahrain selain mengamalkan corak taktikal biarpun siapa dalam barisan utama terserah kepada Cheng Hoe.

“Kami hanya berlatih malam sebab siang terlampau panas (suhu lebih 40 darjah Celsius). Jadi tiada masalah tentang cuaca (dua persahabatan dan tiga kelayakan dengan UAE 3 Jun 2021, Vietnam 11 Jun 2021 dan Thailand 15 Jun 2021 juga berlangsung malam),” katanya.

Ditanya sama ada prestasi dan sentuhan semakin menurun terutama kerana baru pulih daripada kecederaan lutut pada Mac 2021 lalu, kata Safawi, “pasukan negara bukan bermain individu. Sokongan rakan sepasukan satu cara lain yang membantu mendapatkan dan meningkatkan prestasi terbaik." - KitaReporters 


SAFAWI Rasid (kanan) yakin telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut Mac 2021 lalu. - Kredit foto FAM  

2
0
0
0
0

Copy Link: