Video| Suara ke laut pun boleh juarai 'Sumbang Suara'! Asalkan ada gaya, persembahan meletup!
Published byLAZIMNYA apabila sesebuah program pertandingan nyanyian yang dianjurkan mana-mana stesen televisyen atau pun pihak tertentu, sudah pasti tujuannya ingin mencari seorang yang berbakat untuk diketengahkan sebagai penyanyi.
Namun, kali ini sebaliknya yang berlaku, menerusi program yang dinamakan ‘Sumbang Suara’, individu yang dicari adalah seorang yang sumbang dalam nyanyiannya tetapi diberikan habuan hadiah wang tunai.
Wow! Suara sumbang pun dapat hadiah RM500, siapa tak mahu kan apatah lagi yang amatur, yang suka menyanyi tetapi suaranya ke laut?
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pertandingan
Jadi, apakah kriteria yang dicari oleh Dato Awie mahu pun Hazama yang dilantik sebagai juri untuk mencari juara Sumbang Suara pada rancangan hiburan terbaharu TV3 yang mula bersiaran setiap hari Ahad, pukul 10.30 malam mulai 30 Mei 2021.
"Kami mencari penyumbang suara yang semula jadi dengan tahap konfiden yang tinggi serta dapat memberikan gaya persembahan yang paling meletup,” ujar Awie sependapat dengan rakannya, Hazama yang menjadi wakil netizen pada sidang media yang diadakan secara virtual tengah hari tadi, 30 Mei 2021.
“Ya walaupun dia bersuara sumbang dia harus konfiden dan mampu menonjolkan gaya persembahan yang mantap bagi memenangi hati kami untuk menggelarkannya juara dan menangi hadiah wang tunai RM500,” celah Hazama.
Turut bersama pada sidang media secara maya itu ialah hos program, Elly Mazlein atau lebih popular dengan sapaan ‘Kak Lina Pom Pom’.
Belum tonton pun dah dapat bayangkan bagaimana telatah para peserta yang bakal dipertontonkan malam ini ya tak apa tah lagi hosnya memang terkenal dengan celoteh yang spontan ditambah pula dengan kehadiran Awie dan Hazama yang tidak kurang mempunyai sisi kelakar mereka tersendiri.
Program 30 minit ini menyiarkan video-video hantaran yang menghiburkan daripada orang ramai.
Hanya 5 video terpilih akan disiarkan pada setiap episod dan hanya satu pemenang akan dipilih di mana mereka akan dihubungi menerusi panggilan video untuk berinteraksi dengan Tok Tizen (Dato’ Awie) dan Bang Tizen (Hazama).
Bercerita lanjut mengenai pengalamannya dalam pencarian peserta ‘Sumbang Suara’, Awie memberitahu ada antaranya yang begitu tekun merakamkan video dengan cantik sekali malah suaranya pun boleh tahan, tetapi tidak pada tahap begitu sumbang.
“Saya amat terpesona dan bangga dengan usahanya itu tetapi apa yang kami cari adalah penyumbang suara sumbang dan bukan buat-buat sumbang apabila menyanyi,” ujar Awie atau pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman ini.
Pencarian peserta Sumbang Suara dari usia seawal 6 tahun hingga 60 tahun telah berlangsung pada March 2021 secara dalam talian yang mana bakat-bakat luar biasa yang dicari perlu semula jadi ‘sumbang’ nyanyian mereka tetapi mempunyai keyakinan yang tinggi.
“Mereka perlu yakin bahawa nyanyian itu boleh menghiburkan sehingga ramai yang tak keruan mendengarnya,” sambung Hazama Ahmad Azmi yang turut terpegun dengan beberapa nyayian sumbang berdurasi 1 minit yang dimuat naik melalui akaun Instagram masing-masing dengan hastag #sumbangsuara ketika itu.
Nak tahu bagaimana kecohnya program yang santai dan menghiburkan ini pastikan anda menonton siaran ‘Sumbang Suara’ bersama trio Elly Mazlein, Awie dan Hazama setiap Ahad malam pukul 10.30 malam di TV3 atau strim secara langsung di www.tonton.com.my. - KitaReporters