BERITA baik buat penduduk Terengganu apabila kerajaan negeri bakal benarkan rakyat kembali makan di dalam kedai atau restoran dalam tempoh terdekat ini, meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berjalan. Perkembangan semasa itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang memuat naik status dalam akaun Facebooknya hari ini (Jumaat, 29 Mei 2020). : KitaReporters

AHMAD SAMSURI MOKHTAR. - Kredit foto: Media MB Terengganu 



Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) serta persediaan ke arah itu sedang dibuat dan beliau mengingatkan rakyat serta peniaga agar mematuhi segala peraturan apabila kebenaran diberikan kelak.

"Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan membenarkan makan di kedai makan dan restoran secara 'dine in' di Terengganu.

"SOP dan persediaan sedang dibuat. Paling penting adalah persediaan minda iaitu dalam kalangan peniaga dan pengunjung.

"Adalah sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak terjaga. Insya-Allah, kita akan umumkan tarikh dalam masa terdekat," tulisnya.

Ahmad Samsuri turut menegaskan kebenaran diberikan nanti bukannya bermakna atau sebagai 'lampu hijau' kepada semua untuk bersembang berjam-jam atau "melepak" dengan hanya secawan teh tarik sahaja.

SOP dan persediaan sedang dibuat. Paling penting adalah persediaan minda iaitu dalam kalangan peniaga dan pengunjung. - Gambar hiasan 


Untuk info, meskipun sebelum ini  kerajaan Pusat membenarkan untuk makan dalam restoran dan kedai makan, namun Kerajaan Terengganu membuat keputusan untuk tidak membenarkannya. 

Bagaimanapun, restoran dan kedai makan  beroperasi seperti biasa dengan pelanggan dibenarkan untuk membungkus makanan.

Keputusan tidak membenarkan makan di kedai atau restoran itu dimaklumkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak kepada pihak media setelah membuat tinjauan perlaksanaan  PKPB di Pasar Payang, Kuala Terengganu pada 6 Mei 2020.

Beliau memaklumkan keputusan itu dalam satu mesyuarat Exco  setelah mempertimbangkan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) supaya tidak membenarkan pelanggan makan di premis kedai makan buat masa ini.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri juga mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2020 kepada semua wartawan seluruh Malaysia dan Terengganu khususnya.

Hari Wartawan Nasional (Hawana) jatuh pada 29 Mei setiap tahun. 

Tanggal 29 Mei dipilih bersamaan dengan tarikh pertama penerbitan akhbar Utusan Melayu (jawi) yang diterbitkan di Singapura.

Menteri besar berkata, berita yang tepat dan benar menjadi bukti dedikasi seorang wartawan dalam menyampaikan apa sahaja maklumat dan bertanggungjwab membentuk persepsi masyarakat.

Maka, "wartawan juga petugas barisan hadapan yang terpaksa berkorban masa, tenaga malah nyawa turut menjadi taruhan," tulisnya. - KitaReporters

 

- KitaReporters

0
1
1
2
0

Copy Link: