‘ADA Apa Dengan Dosa’ (AADD), tajuk filem ini pasti mengingatkan anda kepada sebuah filem Indonesia berjudul “Ada Apa Dengan Cinta” (AADC)  yang meraih ‘box office’ lakonan Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo pada tahun 2002. Mungkinkah ada persamaan apabila Malaysia pula menampilkan judul seakan cuma cinta beralih pada dosa? : KitaReporters


Wanna Ali, Ashraf Muslim dan Haris Ismail  dalam salah sebuah babak filem "AADD".


Lagi pun cinta dan dosa ada hubung kaitnya bergantung kepada cara ia dikendalikan. 

Cinta boleh membawa kepada dosa jika tidak melalui jalan dibenarkan, waima cinta bisa menjadi indah apabila ikatannya sah di sisi agama.

Apa pun kelainan dengan kisah romantis antara Rangga dan Cinta dalam “AADC’ dengan kisah cinta dalam 'AADD', filem terbaharu terbitan Pencil Pictures & Records kali ini membawa genre drama Islamik yang mengetengahkan kisah anak luar nikah yang lahir daripada perlakuan zina seorang ustaz.

Wah!  Siapa sangka kan seorang ustaz terkenal boleh terpesong ke dalam lembah kehinaan. Ada ke golongan begini? 

Namun itulah hakikatnya apabila manusia pada zaman ini sering alpa dan hanyut dengan keindahan dunia sehingga lupa pahala, dosa dan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah, waima seorang alim ulama sekali pun kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Tentu anda tidak sabar mahu tahu bagaimana pengakhirannya jalan ceritanya dan mesej yang ingin ditonjolkan melalui filem arahan pengarah muda, Rahila Ali ni kan?

Pengarah Rahila Ali memberikan arahan kepada pelakon, Wanna Ali di set penggambaran.


Tetapi dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan pawagam pula masih belum dibenarkan beroperasi mungkinkah anda berpeluang menonton filem yang sebenarnya dirancang untuk tayangan bermula  24 September 2020?

Walau pun masih empat bulan lagi, belum pasti wabak COVID-19 dapat dibanteras sepenuhnya. 

Pun begitu, anda tidak perlu tunggu lama-lama kerana hikmahnya di sebalik COVID-19 ini, anda berpeluang menontonnya lebih awal.

Ya… dengan wujudnya konsep ‘Pawagam Di Rumah” yang diperkenalkan Astro Shaw pada bulan April lalu, peminat filem tanah air sudah mula menerima norma baharu dalam kehidupan masing-masing.

Terbukti filem “Manap Karaoke’ yang ditayangkan melalui saluran Astro First mendominasi tangga nombor 1 carta Astro First selama 14 hari berturut-turut mendapat sambutan. 

Begitu juga treler filem raya “Syif Malam Raya’ tersenarai dalam ‘trending’ di laman YouTube.

Susulan itu, Astro Shaw terus membuka ruang buat para penerbit membawakan filem baru mereka ke Astro FIrst dan terbaharu termasuklah ‘Ada Apa Dengan Dosa’.



Antara babak-babak dalam filem 'AADD'.


Dibarisi pelakon mantap seperti Ahsraf Muslim, Fasha Sandha, Wanna Ali, Haris Ismail, Adam Corrie dan Fauziah Nawi, ‘AADD” akan dibawa terus ke pawagam rumah anda di Astro First mulai  4 Jun 2020.


Babak menyentuh perasaan dalam "AADD".


‘Ada Apa Dengan Dosa’  mengisahkan tentang gadis 19 tahun, Aurora yang merupakan anak luar nikah dan dibesarkan di Eropah oleh keluarga bukan Islam sejak kecil. 

Keadaan berubah apabila dia mendapat tahu asal usulnya. Aurora rasa tertipu dan cuba bunuh diri. 

Namun, kehadiran Khaliq memberi sinar baru buatnya dan mereka pergi ke Malaysia untuk mencari ibu bapa kandungnya. 

Sepanjang pencariannya, Aurora mula rasa ingin tahu erti Islam yang sebenar memandangkan dia tidak mempraktikan ajaran Islam sebelum ini. 

Sementara itu, ibu kandung Aurora, Siti Zahrah hidup dihantui dengan dosa silam. 

Manakala, ayah kandungnya pula merupakan ustaz terkenal, Ustaz Aariz yang cuba lari dari dosa lalu dan tidak mengakui yang Aurora adalah anak kandungnya kerana takut maruah tercalar. 

‘AADD’ menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Scotland dan Malaysia pada 2018

Manakala, babak-babak utama diiringi dengan lagu OST bertajuk ‘Hakikat Jiwa’, nyanyian pemilik suara merdu Datin Alyah yang mana lagu itu juga merupakan percubaan pertamanya membawa lagu ketuhanan.

Bagaimana seorang ustaz menghadapi dosa silamnya sendiri apabila beliau pernah berzina sehingga melahirkan anak luar nikah? 

Salah sebuah babak antara Haris Ismail dan Wanna Ali di Scotland.


Lebih memeritkan anak itu dibesarkan sebagai seorang ‘freethinker’, tidak mempercayai kewujudan Tuhan yang satu sehingga mahu membunuh diri.

Jadi jika nak tahu kesudahannya bolehlah saksikan 'Ada Apa Dengan Dosa’ dengan hanya RM15 selama tempoh 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang di Astro First.

Selamat menonton! - KitaReporters

Krew produksi yang terlibat dalam penggambaran "AADD" di Scotland.

3
1
2
0
0

Copy Link: