ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) menerima kotak Senarai Hajat atlet-atlet Sukan Olimpik Tokyo Malaysia daripada Reezal Merican Naina Merican. - Kredit foto: MSN


‘SENARAI Hajat’? Takkan tidak cukup lagi dengan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) Majlis Sukan Negara (MSN)?

Mengikut skim itu, setiap pemenang pingat emas Sukan Olimpik dijanjikan ganjaran RM1 juta, manakala habuan peraih perak, RM500,000 dan pemilik gangsa pula, RM250,000.

Bukan itu sahaja, secara bulanan juga para pemenang pingat temasya empat tahun sekali ini bakal menikmati elaun persaraan menerusi Skim ImbuhanTetap Olimpik (SITO).

Elaunnya pun tidak kurang lumayan! RM5,000 untuk emas, RM3,000 untuk dan RM2,000 untuk gangsa selama sepanjang hayat atlet tersebut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik


Senarai Hajat atau Wish List ini datangnya daripada 30 atlet kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 sekiranya ada antara mereka yang memenangi pingat emas temasya itu.

Senarai berkenaan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada majlis Amanat Perdana di Menara KBS, Putrajaya bersama kontinjen negara secara maya, pada 13 Julai 2021.

Senarai itu dimasukkan ke satu kotak khas dan hanya akan dibuka selepas pingat emas sulung Olimpik Malaysia (atau berikutnya) berjaya dibawa pulang dan lagu Negaraku bergema di bumi Tokyo 2020 (2021).


'DEMI Malaysia!' disorak (dari kiri) Ketua Kontinjen Sukan Paralimpik negara, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, Reezal Merican Naina Merican, Ismail Sabri Yaakob, Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Lee Chong Wei. - Kredit foto: MSN


Malaysia belum pernah menikmati pingat emas Sukan Olimpik sejak menyertai temasya ini di Melbourne, Australia pada 1956 sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya.

“Seluruh rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi untuk melihat Jalur Gemilang berkibar megah di langit Tokyo serta menantikan lagu Negaraku bergema di bumi negara Matahari Terbit itu.

“Perjuangan di sana bukan untuk mencipta pencapaian diri semata-mata sebaliknya kejayaan membawa pingat emas atau apa-apa pingat merupakan kebanggaan buat negara,” kata Ismail yang juga Menteri Pertahanan.

Tegasnya, Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin turut menyampaikan kepadanya, hasrat kerajaan dan seluruh rakyat agar atlet-atlet negara berjuang habis-habisan demi memastikan nama Malaysia subur dan harum di pentas antarabangsa.


ISMAIL Sabri Yaakob banyak memberikan sokongan kepada persiapan atlet-atlet negara ke Sukan Olimpik Tokyo menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) biarpun dunia masih dicengkam pandemik Covid-19. - Kredit foto: MSN


“Tahniah juga kepada kontinjen negara ke Olimpik Tokyo yang berjaya dipersiapkan walaupun dunia berdepan cabaran pandemik Covid-19 dan buat kali pertamanya dalam cabaran norma baharu,” kata mantan Menteri Belia dan Sukan ini yang pernah menerajui Jawatankuasa Pemandu Sukan Olimpik Beijing 2008.

“Saya pernah duduk bersama-sama kontinjen negara untuk menyaksikan perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki Olimpik Beijing antara Datuk Lee Chong Wei dan pemain kidal China, Lin Dan.

“Ketika itu Chong Wei berjuang dan berjaya membawa pulang pingat perak malah kejayaannya untuk negara disambut seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

“Hari ini, dia masih turut bersama bukan sebagai atlet lagi, tetapi selaku Ketua Kontinjen negara,” kata Ismail.


REEZAL (dua dari kanan) melaungkan slogan 'Demi Malaysia!' di hadapan atlet-atlet Sukan Olimpik Tokyo negara secara dalam talian. - Kredit foto: MSN


PANDELELA Rinong Pamg (dalam skrin besar) membacakan ikrar perjuangan yang mewakili kontinjen 30 atlet negara ke Olimpik Tokyo. - Kredit foto: MSN 


Reezal pada 11 Julai 2021 lalu memberitahu, sandaran pingat Olimpik Tokyo negara terletak pada tiga sukan badminton, akuatik terjun dan berbasikal - seperti mana penyumbang empat pingat perak dan sebutir pingat gangsa di Rio 2016.

Berdasarkan pengalaman Olimpik lalu dan prestasi semasa, antara atlet sandaran itu dijangkakan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki badminton), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (badminton campuran badminton), Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun platform 10 meter individu) dan Mohd. Azizulhasni Awang (keirin berbasikal).

Beliau dalam sidang akhbar selepas Amanat Perdana itu, berkata, sasaran jelas kontinjen akan diumumkan pada Jumaat, 16 Julai 2021 ini selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN). - KitaReporters



0
0
0
0
0

Copy Link: