SUATU musibah yang berlaku ada hikmahnya tersendiri. Bagi mereka terlibat perlu muhasabah dan wajar bersyukur dengan ketentuan Allah kerana menyayangi hamba-Nya dengan ujian sebagai dugaan sama ada individu mahupun kumpulan terkesan boleh bersabar atau sebaliknya. : KitaReporters


Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Langat bertungkus lumus memadamkan kebakaran di Surau Al Firdaus, Taman Banting Baru, Banting, Kuala Langat, Selangor pada Ahad 19 Julai 2020. - Kredit foto-foto: Surau Al Firdaus, Faza Hatta, Halim Mulahan, YIED, dan LZS. 


Sebagai umat Islam kita perlu menunjukkan contoh tauladan jika mengalami musibah yang merupakan ujian kepada hamba-hamba-Nya sama ada boleh menerima atau tidak, lebih-lebih lagi jika melibatkan institusi ibadat yang merupakan simbol keagungan agama. 

Inilah antara ciri-ciri dipupuk oleh ahli kariah dan para pegawai Surau Al Firdaus, Taman Banting Baru, Banting di Kuala Langat, Selangor yang terpaksa menerima hakikat dengan penuh reda dan sabar berikutan kemusnahan surau kesayangan mereka sebagai tempat berkumpul, selain berjemaah menunaikan solat fardu juga untuk pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Surau Al Firdaus taman perumahan berkenaan musnah hampir 80 peratus dalam satu kebakaran yang disahkan berpunca daripada litar pintas pada kira-kira jam 3.50 petang Ahad, 19 Julai 2020. 

Dalam kejadian yang berlaku terlalu pantas itu, api memusnahkan hampir keseluruhan struktur dalaman surau yang dianggarkan kerugian berjumlah kira-kira RM250,000.

Beginilah kemusnahan yang berlaku berikutan musibah kebakaran yang disahkan berpunca daripada litar pintas di Surau Al Firdaus, Taman Banting Baru, Banting. 


Berikutan insiden tersebut ahli kariah dan orang ramai terpaksa melakukan ibadah solat fardu di surau-surau taman berhampiran.

Bagi ahli kariah, hari kejadian disifatkan satu tarikh yang tidak akan dilupakan dan tersimpan dalam ingatan sejarah sepanjang hayat sebagai 'hari hitam', di samping berdoa semoga Allah S.W.T memberi suatu kekuatan dan kesabaran kepada mereka khususnya dalam melaksanakan ibadat harian.

Setiausaha surau berkenaan Hasmi Hassan berkata, satu tabung derma kilat kebakaran Surau Al Firdaus Taman Banting Baru dilancarkan mulai semalam Isnin, 20 Julai 2020 untuk memberi peluang kepada orang ramai khusus ahli kariah menginfakkan sumbangan bagi tujuan baik pulih surau tersebut.
"Sumbangan orang ramai dialu-alukan untuk mengisi tabung bencana kebakaran Surau Al Firdaus yang dilancarkan semalam, 20 Julai 2020 dengan harapan dapat membantu pihak AJK surau membaik pulih segera kemusnahan yang berlaku bagi kemudahan ahli kariah mengimarahkan surau  sebagai institusi ibadat dengan berbagai kegiatan kemasyarakatan selain untuk dijadikan tempat ibadat," ujarnya.

Para pegawai YIDE, LZS, JAIS, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Langat, Bank Islam Daerah Kuala Langat yang meninjau kemusnahan Surau Al Firdaus Taman Banting Baru di Banting, Kuala Langat.


Bagi tujuan ini, katanya, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan demi meringankan beban pihak pengurusan surau ke akaun Bank Islam Berhad (BIMB) 12074010041185 atas nama Surau Al Firdaus Taman Banting Baru, Banting, Kuala Langat, Selangor.
Sebarang pertanyaan mengenainya boleh hubungi Timbalan Pengerusi Surau Al Firdaus, Khellimi (019-2028572), Setiausaha, Hasmi Hassan (013-5011715) dan Bendahari, Khairul Azri (016-2514648)

Segala bantuan dan sumbangan diucapkan terima kasih jazakumullahu khairan kathiran.

Beliau memberitahu,surau berusia lebih kurang 12 tahun dengan diimarahkan hampir 450 orang jemaah yang terbakar ini dijangka sekurang-kurangnya memerlukan RM400,000.00 untuk baik pulih

Bagaimana ia bergantung kepada keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sama ada sesuai untuk dibaik pulih semula atau perlu pembinaan bangunan baharu di tapak sedia ada mahupun di kawasan berlainan.

Setiausaha MAIS yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif YIDE, Dr Ahmad Shahir Makhtar (empat dari kanan) selepas menyampaikan sumbangan bantuan segera kewangan kepada Pengerusi Surau Al Firdaus, Taman Banting Baru, Banting, Kuala Langat, Redzuan Nahar (tiga dari kiri) bersama para pegawai YIDE,  JAIS, LZS, Bank Islam Cawangan Kuala Langat dan PAID Kuala Langat.


Malahan surau berkenaan baharu dua tahun menyiapkan dewannya hasil projek melalui dana sumbangan orang ramai berjumlah RM20,000.

Musibah yang berlaku telah mendapat perhatian Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), kedua-duanya agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang pada pagi Isnin, 20 Julai 2020 menyumbangkan segera bantuan kewangan bagi tujuan baik pulih surau tersebut.

Setiausaha MAIS yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif YIDE, Dr Ahmad Shahir Makhtar bersama Pengurus Operasi YIDE Md Ariffin Jaafar, wakil-wakil JAIS, LZS, Pejabat Agama Islam Selangor (PAID) Daerah Kuala Langat dan Bank Islam Cawangan Kuala langat meninjau tempat kejadian dan menyerahkan sumbangan bantuan kewangan kepada Pengerusi Surau Al Firdaus, Redzuan Nahar.

Diharapkan setiap pihak dapat sama-sama membantu membaik pulih semula Surau Al Firdaus yang ditimpa musibah dengan menyumbang sedaya mungkin. 

Insya-Allah bakti yang dicurah, nikmat indah bakal dituai pada hari kemudian. - KitaReporters

Dua pegawai dari YIDE dan LZS meneliti dan membuat kajian mengenai kemusnahan yang berlaku akibat kebakaran Surau Al Firdaus Taman Banting Baru.

Bahagian tempat Imam dan pelbagai barangan termasuk kitab-kitab pengajian agama dan al-Quran Surau Al Firdaus, Taman Banting Baru turut musnah dalam musibah kebakaran berkenaan.

Turut musnah dalam kebakaran yang berlaku dengan pantas di Surau Al Firdaus,Taman Banting Baru termasuklah pendawaian eletrik, lampu-lampu, pendingin hawa, kipas angin, karpet dan sejadah.

0
0
0
0
0

Copy Link: