Kredit foto-foto: Islamic Relief Malaysia (IMR)


TANGAN rasa kebas mencucuk-cucuk dan ngilu antara yang dialami selebriti terkenal tanah air yang juga salah seorang ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia iaitu Irma Hasmie sewaktu mengikuti Misi Kemanusiaan Bersama Islamic Relief Malaysia (IMR).

Berkongsi pengalamannya menyertai misi berkenaan pada musim sejuk di Gaziantep, sempadan Turki awal tahun 2020, Irma mengakui dirinya tidak mampu bertahan jika terpaksa tinggal serta menjalani kehidupan pada musim berkenaan di sana.

Irma yang mengenali dunia lakonan dengan membintangi filem Cinta Fotokopi ini tidak dapat membayangkan keadaan atau penderitaan terpaksa dilalui penduduk-penduduk tempatan ketika musim sejuk.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Syria


Beginilah keadaan kanak-kanak pelarian Syria.


Menurut Irma, pengalaman singkat dilaluinya itu cukup membuatkan dirinya merasai cabaran serta kesengsaraan penduduk Syria apabila tibanya musim sejuk.

“Sewaktu menyantuni pelarian Syria di Turki awal tahun 2020, saya memang tidak mampu menahan kesejukan tanpa alat pemanas.

“Saya masih ingat ketika kami menaiki bas menziarahi penerima manfaat, bas kami naiki berhenti di kawasan pergunungan, hanya dalam tempoh setengah jam sahaja berada di luar bas tangan saya sudah mula rasa kebas mencucuk-cucuk dan ngilu.

“Tidak tahan, saya terus berlari menaiki bas kembali. Tidak dapat dibayangkan keadaan pelarian Syria yang terpaksa jalani kehidupan dalam musim sejuk melanda tanpa sebarang kelengkapan,” cerita Irma dalam sesi temu bual di sebuah stesen radio tempatan.


Irma Hasmie menyantuni kanak-kanak Syria. 


Ujar Irma lagi, penderitaan penduduk Syria tidak boleh kita lupakan dan perlu dibantu seperti mana isu rakyat Palestin kerana semua saudara seagama walaupun jauh di mata dan tidak pernah bersua muka.

“Musim sejuk mereka hadapi bukan sahaja ada salji tetapi keadaannya berangin dan juga ada ribut. Bayangkan jika struktur rumah yang kukuh pun boleh musnah apabila dilanda ribut salji, inikan pula khemah kanvas biasa.

“Menurut cerita salah seorang kakitangan Islamic Relief yang berkongsi pengalamannya bersama saya, ketika ribut salji melanda ibu-ibu akan memeluk erat anak-anak mereka dan ayah pula terpaksa keluar dari tempat berlindung bagi halang khemah terbang atau musnah.

“Lebih menyedihkan lagi akibat kesejukan ada ayah yang pengsan dan bagi yang khemah mereka terbang dan musnah mereka terpaksa mengigil sejuk serta menumpang di khemah orang lain.

“Tidak dapat digambarkan betapa sukarnya survival mereka kerana jika ribut melanda pastinya bukan satu atau dua khemah sahaja yang musnah. Entah ke mana hala tuju mereka untuk menumpang berteduh,” ujar Irma.


Alat pemanas adalah keperluan penting bagi penduduk sewaktu musim sejuk melanda.


Kongsinya lagi, selain di kem pelarian penduduk Syria yang tinggal di negara-negara jiran seperti yang dia temui di Turki turut berdepan masalah kekurangan dan ketiadaan kelengkapan musim sejuk.

“Kebanyakan daripada mereka adalah ibu tunggal. Kanak-kanak pula ada yang kehilangan bapa dan ada yang kehilangan kedua-dua orang tua sekaligus dalam peperangan yang melanda.

“Bilik yang mereka sewa untuk tinggal bersama anak-anak mereka sangat kecil. Bilik itulah yang digunakan untuk tidur, memasak, tempat anak-anak bermain dan belajar. Namun begitu, mereka tetap bersyukur dengan apa yang mereka ada. Itulah yang saya belajar daripada mereka.

“Kami pergi ke sana untuk membantu mereka dengan mengedarkan baucar belian keperluan musim sejuk tetapi sebenarnya saya merasakan mereka yang banyak membantu saya dari sudut ibrah dan pengisian rohani.

“Melihat kesabaran mereka dalam berdepan ujian membuatkan saya rasa benar-benar insaf. Kecekalan mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup juga membuatkan saya sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang saya miliki selain menyuntik semangat saya,” katanya.


Irma Hasmie(kiri) meneliti pakaian musim sejuk.


Untuk info, tahun 2021 ini Syria telah memasuki angka satu dekad terperangkap dalam konflik.

Berdasarkan laporan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), seramai 11.1 juta penduduk di Syria memerlukan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Krisis yang melanda mengakibatkan penduduk setempat berdepan masalah kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan dan minyak serta bencana COVID-19 menambahkan lagi tekanan sedia ada.


Kempen Rayuan Musim Sejuk.


Sementara itu, melihat realiti kesengsaraan dialami penduduk Syria, Islamic Relief Malaysia terus proaktif jalankan kempen Rayuan Musim Sejuk dengan menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 bermula 1 November hingga 31 Disember 2021.

Dana dikumpulkan itu bakal memberi manfaat kepada 4,844 individu dengan pecahan 1,904 penerima manfaat yang terdiri daripada 272 keluarga di Kabul, Kapisa, Balkh, Bamyan, Nangarhar dan Herat, Afghanistan serta 2,940 penerima manfaat daripada 588 buah keluarga di Idlib dan Aleppo, Syria.

Antara bantuan akan diberikan ialah bekalan pirina, sejenis bahan bakar diperbuat daripada buah zaitun, selimut dan pek makanan yang mengandungi tepung gandum, beras, minyak masak, kacang merah dan garam.

Terdapat 2 pakej sumbangan ditawarkan menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk ini iaitu ‘Stay Warm With Love’ dengan nilai RM150 dan ‘Stay Safe With Love’ bernilai RM250.

Bagaimanapun, Islamic Relief Malaysia turut mengalu-alukan sokongan bagi yang ingin menyumbang dengan jumlah yang lebih atau kurang daripada pakej sedia ada mengikut kemampuan masing-masing.

Irma Hasmie, selaku salah seorang Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia menyeru masyarakat Malaysia seluruhnya untuk sama-sama menyokong kempen Rayuan Musim Sejuk bersama Islamic Relief Malaysia dan menzahirkan rasa syukur dengan berkongsi kebahagiaan dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang kepada akaun Islamic Relief Malaysia iaitu 5621-4270-8704 (Maybank), 8602-0738-18 (CIMB Islamic) atau 1202-9010-0656-43 (Bank Islam) dengan kod rujukan iaitu Rayuan Musim Sejuk. - KitaReporters

Bantulah mereka, bantu anak-anak pelarian Syria.


8
12
0
12
0

Copy Link: