Rai 10 Muharam: Penduduk Danau Kota masak bubur Asyura! Tambah baik kawasan kegiatan penduduk!

Published by
KitaReporters


SEMPENA 10 Muharam, penduduk Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur telah menganjurkan acara memasak bubur Asyura pada Sabtu, 21 Ogos 2021 di pusat kegiatan penduduk di kabin padang permainan kanak-kanak Danau Kota.

Acara ini dijalankan pada 12 Muharam memandangkan tarikh 10 Muharam adalah hari bekerja. Justeru lebih baik diadakan pada hujung minggu di mana lebih ramai mempunyai masa lapang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bubur

AHLI-AHLI kabin dan persatuan penduduk bekerjasama menjayakan acara memasak bubur Asyura di kabin Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.


Memasak bubur Asyura ini merupakan satu lagi aktiviti dijalankan oleh penduduk selain aktviti lain yang kini berjalan seperti gerobok makanan untuk mereka yang terkesan akibat Covid-19. Juga kempen mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September.

Idea memasak bubur Asyura tercetus apabila ‘ahli kabin’, yang merupakan kelompok paling aktif menjalankan pelbagai aktiviti di Danau Kota, merasakan wajar berbuat demikian memandangkan inilah adalah aktiviti yang biasa dijalankan pada bulan Muharam.

Kumpulan ini juga yang mengumpul sumber kewangan untuk membeli bahan keperluan membuat bubur dan bekerjasama menjayakan acara memasak. Mereka berganding bahu dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penduduk Danau Kota.


BUBUR Asyura dalam proses dimasak di kabin Danau Kota. Ia kemudian dimasukkan dalam 160 pek untuk diagihkan kepada penduduk.


Bubur Asyura yang dimasak adalah versi utara. Memang enak bubur ini, lemak manis dengan campuran bahan seperti kacang tanah, pisang, jagung dan bahan-bahan lain. 

Kerja memasak bubur Asyura bermula pukul 9 pagi. Kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa, jumlah yang menjalankan kerja-kerja memasak juga terhad.  

Prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan sanitizer.  

Bubur Asyura yang siap dimasak kemudian dimasukkan ke dalam bekas dan cukup untuk diagihkan kepada 160 penduduk. Penduduk yang ingin merasai bubur tersebut datang sendiri ke kabin kerana tiada hantaran dari rumah ke rumah.

Acara memasak ini berjaya dilaksanakan dengan lancar hasil kerjasama penduduk, terutama ahli kabin. Semangat kerjasama inilah yang biasa ditunjukkan apabila penduduk melaksanakan pelbagai program lain.

Sesungguhnya semangat kerjasama inilah yang menjadikan semua kerja lebih mudah. Ia akan menjadi pegangan berterusan sebagai pengikat hubungan mesra dan kekeluargaan dalam kalangan penduduk Taman Danau Kota.


AHLI kabin bekerjasama memindahkan kabin lebih rapat ke pagar agar kawasan tengah lebih lapang.


Sementara itu, kawasan kabin tempat aktiviti penduduk kini lebih luas dan selesa hasil usaha ahli kabin memindahkan kabin lebih rapat kepada pagar. Sebelum ini kedudukan kabin, yang asalnya treler, berada agak ke tengah sedikit.

Dengan menolaknya ke tepi pagar, ruang di tengah menjadi lebih lapang dan terbuka. Ini tambah memudahkan pelbagai aktiviti dijalankan dalam persekitaran lebih luas dan selesa.

Pada masa ini, kerja-kerja memasang atap bagi kawasan lapang ini sedang dijalankan agar tempat  kegiatan penduduk dilindungi daripada panas dan hujan. - KitaReporters


KERJA memasang atap di kawasan kabin Danau Kota kini giat dilaksanakan bagi mengelakkan hujan dan panas di kawasan berkenaan.

3
0
0
0
0

Copy Link: